Manusia, perasaan dan kehidupan, anugerah oleh Allah SWT
28 Sep 2020Untuk wanita dan ahli keluarga – Islam dan rumah tradisional Melayu
29 Sep 2020Mak-mak mula berleter ni biasanya sebab dah tak tahan anak ulang kesilapan yang sama. Tetapi yang menyakitkan hati, leteren itu seolah-olah tak ada kesan. Umpama masuk telinga kanan keluar telingan kiri. Agaknya apa yang silap dalam situasi ini sebenarnya?
Haaa… jawapannya ada dalam kupasan Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Noor Afidah Abu Bakar kali ini. Jom semak…
SOALAN:
“Puan, orang cakap kalau kita mahu sesuatu itu melekat di hati dan ingatan anak, kita perlu ulang banyak kali, barulah anak ingat, barulah anak buat. Saya dah letih berleter, kadang-kadang sampai naik angin hilang sabar tetapi anak tidak buat juga. Tidak disuruh, tidak dibuat.”
BACA JUGA :: Kajian Membuktikan Ibu Yang Kerap Berleter Punca Anak Lebih Berjaya
*Ada yang berleter kerana kita juga dileteri suatu masa dahulu. Itu sudah menjadi budaya dan amalan keibubapaan dalam keluarga.
*Ada yang berleter sebab tidak tahu cara lain untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati.
*Ada yang berleter untuk memberi arahan kepada anak yang tidak mahu patuh.
*Ada yang ingin menunjukkan kuasa dan otoriti walaupun berleter itu seringkalinya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
*Ada yang berleter sebab rasa panik, kaget dan bersalah dengan diri sendiri. Untuk menutup kegusaran itu maka leteran digunakan.
*Ada yang takut anak mengulangi kesilapan yang pernah kita dilakukan maka cara yang terbaik adalah berleter untuk menutup rasa tidak selamat yang dirasakan.
Kebanyakannya berleter kerana itu adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk ‘memaksa’ anak menurut kata tanpa perlu banyak usaha dan perancangan.
Adakah leteran berkesan untuk jangkamasa panjang?
Seperti dalam soalan di atas, selalunya tidak. Ia hanya berkesan ketika saat itu saja.
Perangai yang sama akan diulangi. Anak akan menunggu leteran sekali lagi. Selagi tidak dileteri, selagi itulah perbuatan yang sama diulang.
Perbuatan diulang, berleter lagi. Berleter lagi, perbuatan diulang.
Ia menjadi satu kitaran yang tidak sudah, tidak efektif dan tidak produktif.
Leteran akhirnya menjadi irama dan lagu yang hanya membuai dan mendodoikan tanpa kesan pada anak.
Leteran adalah proses mencari silap bukannya proses memperbetulkan kesilapan.
Ia hanya memfokuskan pada apa yang buruk dan apa yang salah pada anak sahaja. Pernahkah dalam leteran itu kita selitkan perkara yang positif yang dilakukan anak?
Tidak bukan? Ataupun jarang-jarang sekali.
Selalunya kita hanya semburkan apa yang negatif sahaja seolah-olah tiada langsung yang baik pada anak. Selalunya kita guna istilah yang ekstrim.
“KAMU TIDAK PERNAH….”
“SELALU MACAM NI…”
”DAH BERAPA KALI DAH…”
Semua yang ekstrim negatif sahaja dan langsung tidak ada yang positif. Anak akan berhenti mencuba untuk berubah dan menjadi baik kerana usaha kecil mereka tidak ada nilainya di mata ibubapa di kala berleter.
Kaedah yang lebih efektif untuk membentuk tingkah laku yang baik adalah bukannya mencari silap tetapi mencari kebaikan. Semakin banyak kebaikan yang kita cari, semakin banyaklah kebaikan yang akan kita lihat dalam diri anak. Ini adalah kitaran positif yang efektif.
Dalam leteran itu juga kita berkemungkinan membuat andaian yang tidak betul dan tuduhan yang melulu tanpa memeriksa terlebih dahulu apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu tingkah laku itu. Ini juga amat mengecewakan anak yang dileteri.
Mungkin harapan kita terlalu tinggi dan anak tidak dapat mencapainya dengan mudah. Mungkin persekitaran tidak kondusif untuk fizikal anak melakukan apa yang diharapkan.
Mungkin anak tidak faham arahan yang disampaikan kerana cara komunikasi kita tidak kena dengan anak.
Jika inilah sebabnya, maka tidak hairanlah leteran kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tuduhan dan andaian tidak akan terkesan di hati. Ia hanya menyakitkan hati.
Jika kita inginkan kerjasama yang berpanjangan, kita perlukan perancangan. Tidak ada penyelesaian segera dalam proses keibubapaan. Semuanya memerlukan usaha, pertimbangan yang teliti dan kesabaran yang tinggi.
Buat perancangan dengan anak. Jemput anak untuk sama-sama menyelesaikan masalah secara diplomasi. Anak-anak harus diajar kesan dan akibat perbuatan mereka ke atas dirinya, keluarga dan orang sekeliling. Tidak perlu tunggu sehingga anak remaja untuk membincangkannya. Anak kecil juga faham jika kita menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami.
Adakan peraturan dalam rumah. Sentiasa berbincang tentang peraturan yang ada. Jika anak tidak ikut peraturan ada kesan dan akibatnya. Ini juga harus dibincangkan dari awal bersama-sama dengan anak bukannya dibuat secara rawak apabila anak melakukan kesilapan.
Kita harus berusaha menjadi ibubapa proaktif yang bersedia sebaik mungkin dengan segala kemungkinan dan bukannya menjadi reaktif dengan leteran dan hukuman yang tidak efektif untuk mendidik.
Pastikan sistem pendidikan di rumah adalah yang terbaik untuk anak menjadi seorang manusia.
Sumber : Kataustaz.com