Formula 6T, menjadi isteri solehah
19 Oct 2020Amalkan 10 Teknik Ayat Padu Ini Di Dalam Berdoa & Alami Sendiri Perubahan
21 Oct 2020Mertua adalah sebahagian daripada rumah tangga saat anda sah dinikahkan sebagai pasangan suami isteri. Artikel bertajuk ‘Mertua sebagai ibu bapa – suami isteri dan rumah tangga’ ini cuba melihat kepada hak dan tanggungjawab kepada ibu bapa mertua sama seperti hak dan tanggungjawab kepada ibu bapa sendiri. Hormati ibu bapa mertua sama seperti anda menghormati ibu bapa sendiri.
Sudah tentu kehidupan anda akan berubah selepas berumah tangga kerana anda mempunyai dua buah keluarga besar yang perlu dijaga hatinya. Sekiranya salah satu pihak terasa atau berkecil hati, sedikit sebanyak akan mengganggu keharmonian rumah tangga bersama pasangan.
Menghormati dan menyayangi mertua penting kerana doa mereka sama berkat dengan doa ibu bapa anda sendiri. Apabila hati mereka gembira, maka berkatlah kehidupan rumah tangga dan bertambahlah rezeki anda. Tugas dan tanggungjawab menantu bukan sahaja terletak di bahu isteri tetapi juga suami.
Menantu lelaki juga mempunyai peranan yang berat terhadap mertua. Selepas Allah SWT dan Rasul, suami tidak boleh mengabaikan mertua kerana membiarkan mereka adalah sama seperti anda mengabaikan ibu bapa sendiri. Kesejahteraan rumah tangga bergantung sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua. Jika diabaikan, sudah tentu isteri akan berasa kurang selesa begitulah sebaliknya.
Usah letakkan jurang di antara anda dan mertua tetapi layani mereka secara adil sepertimana anda melayani kedua ibu bapa anda. Jangan membandingkan mertua dengan ibu bapa anda tetapi terimalah mereka seadanya kerana setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anak.
Ambil masa seberapa lama yang boleh untuk mengenali mertua dan menyesuaikan diri. Apabila anda sanggup menerima pasangan, anda juga seharusnya sudah memikirkan untuk sanggup juga menerima mertua pilihan anda. Tidak ada manusia yang sempurna. Anda menerima kekurangan mertua dan menghargai kelebihan mereka, ini akan menjadikan rumah tangga anda lebih harmoni, aman dan tenteram.
Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah Al Rum, ayat 21)
Sayyid Qutb berkata bahawa: Islam memandang rumah tangga sebagai tempat kediaman, keamanan dan kedamaian dan memandang kepada hubungan suami isteri sebagai hubungan kasih mesra dan menegakkan hubungan ini di atas pilihan yang bebas supaya ia dapat berlangsung di atas asas saling mengerti, saling bersimpati dan saling berkasih sayang.
Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
“Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
(Surah al-Nisa, ayat 19)
Apabila anda mempunyai kemampuan untuk hidup berasingan dengan mertua, ia adalah yang terbaik. Sama-sama menjaga mertua sebagai ibu bapa, suami isteri dan rumah tangga. Dengan hidup berpasangan, hak privasi dan membina kehidupan dapat dicapai dengan lebih selesa. Sekali gus, ia mengelak campur tangan ibu bapa kedua-dua belah pihak suami mahupun isteri.
Sumber : Salam Web Today