Berbudi Kepada Tanah : Pena Hijau

Berbudi Kepada Tanah

20210325-nisfu-syaaban
Nisfu Syaaban, Mengetuk Pintu Kemaafan
25 Mar 2021
ramadhan yang mulia
Bulan Yang Dinantikan
10 Apr 2021
bertani satu ibadah

Alhamdulillah, bumi Malaysia terletak di dalam iklim Khatulistiwa yang sangat sesuai untuk aktiviti pertanian. Secara asasnya, pertanian dibahagikan kepada tiga jenis iaitu tanaman, ternakan dan perikanan. Hasil ketiga-tiga bentuk pertanian ini merupakan nikmat kurniaan Allah SWT dan sumber asas keperluan manusia.

Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahl ayat 14 yang bermaksud :

“Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.”

Dalam Surah An-Nahl ayat 66 pula, Allah SWT menyentuh beberapa manfaat daripada hasil-hasil penternakan yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

Demikian juga tanaman yang tumbuh dari tanah dan sumber air adalah tanda-tanda kebesaran dan kemurahan Allah SWT yang wajib kita syukuri. Firman Allah SWT di dalam Surah Yasiin ayat 33-35 yang bermaksud :

“Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair. Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?”

Jelas berdasarkan ayat-ayat tadi, pertanian adalah suatu bidang yang sangat penting. Bahkan pertanian adalah besar ganjarannya kerana hasil tanaman adalah dikira sebagai sedekah jariah dengan pahala yang berpanjangan kepada penanamnya sehinggalah setelah dia meninggal dunia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman lalu tanaman itu dimakan oleh manusia, binatang ataupun burung melainkan tanaman itu menjadi sedekah baginya sehingga ke hari qiamat”

Hadis Riwayat Imam Muslim

Dengan tanah yang subur, sumber air yang banyak dan cuaca yang sesuai untuk pertanian, negara kita sudah tentu berupaya untuk menjadi negara pengeluar pelbagai hasil-hasil pertanian di dunia. Tetapi keadaan adalah sebaliknya. Negara kita masih tidak mampu memenuhi keperluan makanan bagi warganya sendiri malah bergantung kepada negara-negara luar seperti China dan Thailand bagi membekalkannya.

Suasana ini meletakkan kita berhadapan dengan beberapa isu antaranya :

  1. Isu jaminan keselamatan bekalan makanan yang mencukupi terutamanya ketika menghadapi bencana atau musibah
  2. Isu keselamatan penggunaan dan kualiti makanan, kesan daripada penggunaan bahan-bahan terlaragn secara tidak terkawal
  3. Isu harga hasil-hasil ternakan dan tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang tinggi.

Oleh itu, kegiatan pertanian menjadi suatu tuntutan demi kepentingan awam iaitu bagi menghasilkan bekalan makanan yang cukup bagi masyarakat dan negara. bahkan sesetengah ulama berpendapat bahawa bidang pertanian adalah lebih afdhal diusahakan berbanding bidang lain kerana faedah adalah lebih meluas.

Dahulu, hampir setiap keluarga melayu mempunyai sumber bekalan makanan. Di setiap kampung, terdapat baluh-baluh yang menyimpan bekalan padi, reban-reban ayam serta halaman yang ditanam dengan sayuran, herba dan buah-buahan. Kita sewajarnya mencontohi sikap orang-orang tua kita yang memanfaatkan setiap ruang yang ada untuk bercucuk tanam mengikut kemampuan dan kesesuaian kediaman masing-masing. Janganlah kita sia-siakan kurniaan yang ada tanpa dimanfaatkan. Berbudilah kepada tanah, Insha Allah lambat laun akan nampak juga hasilnya.

Share, Follow & Like :
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
close

Enjoy this blog? Please spread the word :) TQ