Ramadhan, Tawaran Mega Dari Allah : Pena Hijau

Ramadhan, Tawaran Mega Dari Allah

rutin harian ramadhan
7 Design Rutin Harian di Bulan Ramadhan
18 Apr 2021
ramadhan yang mulia
Anugerah Agung Allah di Bulan Ramadhan
29 Apr 2021
ramadhan yang mulia

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling istimewa bagi umat Islam kerana terkandung di dalamnya segala kebaikan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba Nya yang beriman, yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. Antaranya ialah bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran yang membawa hadiah dan menjadi panduan hidup kepada seluruh manusia.

Allah berfirman yang bermaksud,

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-QUran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…)”

(Surah Al-Baqarah : Ayat 185)

Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, keampunan dan kerahmatan Allah, yang dianugerahkan kepada hamba-hamba Nya yang beriman. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, Allah telah memfardhukan ke atas kamu berpuasa, segala pintu syurga dibuka, segala pintu neraka ditutup dan para syaitan dibelenggu, padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang dihalang dari mendapat kebaikan maka sesungguhnya ia dihalang dari mendapat kebaikan yang sempurna”

(Hadis Riwayat Ahmad dan An-Nasa-e)

Ayat dan hadis tersebut menjelaskan tentang kelebihan, keistimewaan dan limpah kurnia Allah terhadap hamba-hamba Nya yang beriman, dalam bulan Ramadhan. Justeru itu rebutlah peluang keemasan dari tawaran mega ini dengan memperbanyakkan amal ibadat kita sepanjang bulan yang diberkati Allah ini.

Selain dari ibadat puasa yang wajib dilaksanakan dengan sempurna, terdapat banyak lagi ibadat-ibadat sunat yang dituntut, antaranya :

Pertama :

Pastikan solat fardhu lima waktu sepanjang bulan Ramadhan ini dilakukan secara berjemaah di masjid atau di surau kerana solat berjemaah ganjarannya lebih besar berbanding solat bersendirian, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud

“Solat berjemaah lebih afdhal dari solat seorang diri dengan 27 darjat”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kedua :

Pastikan tilawah atau bacaan Al-Quran dilakukan setiap hari sama ada secara persendirian atau bertadarus secara berkumpulan supaya kita akan mendapatkan syafa’at Al-Quran di Hari Akhirat nanti. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Hendaklah kamu membaca Al-Quran kerana sesungguhnya pada Hari Qiamat nanti ia akan datang memberi syafa’at kepada para pembacanya”

(Hadis Riwayat Muslim)

Malah kalau boleh pastikan ia dapat ditamatkan sekurang-kurangnya satu kali dalam bulan yang mulia ini.

Ketiga :

Pastikan solat terawih dapat dilaksanakan setiap malam sepanjang bulan Ramadhan secara berjemaah di masjid atau di surau bagi mendapatkan keampunan Allah pada bulan yang mulia ini. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Sesiapa yang melakukan qiam (solat malam) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan Allah, nescaya akan diampunkan dosanya pada masa yang lalu”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Keempat :

Perbanyakkanlah sedekah dalam bulan Ramadhan ini kerana ia merupakan sedekah yang lebih afdhal dan besar pahalanya berbanding dengan sedekah pada masa-masa yang lain. Tersebut dalam hadis Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud “Rasulullah SAW adalah manusia yang bermurah hati dan masa yang Baginda paling bermurah hati adalah pada bulan Ramadhan”

Termasuk dalam bersedekah pada bulan Ramadhan ialah menyediakan juadah berbuka puasa untuk orang yang berpuasa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Sesiapa yang menyediakan juadah berbuka puasa untuk orang yang berpuasa nescaya diberi pahala menyamai pahala orang yang berpuasa tanpa terkurang sedikit pun”

(Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Kesimpulannya, rebutlah peluang keemasan dan tawaran mega dari Allah dalam bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan ibadat kita sepanjang bulan yang mulia ini, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir dengan penuh harapan bahawa salah satu dari malam-malamnya adalah menepati dengan malam Lailatul Qadar. Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan ganjaran setiap ibadat padanya lebih baik daripada beribadat selama 1000 bulan. Justeru itu, peluang yang ada ini janganlah disia-siakan kerana bila ia sudah pergi belum tentu kita berkesempatan untuk bertemu dengannya semula.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Tinggalkan Balasan