Anugerah Agung Allah di Bulan Ramadhan : Pena Hijau

Anugerah Agung Allah di Bulan Ramadhan

ramadhan yang mulia
Ramadhan, Tawaran Mega Dari Allah
23 Apr 2021
Puasa sunat enam Syawal
Dah Puasa Sunat Enam Syawal?
3 Jun 2021
ramadhan yang mulia
Ramadhan, Tawaran Mega Dari Allah
23 Apr 2021
Puasa sunat enam Syawal
Dah Puasa Sunat Enam Syawal?
3 Jun 2021
ramadhan yang mulia
icon follow us

Nuzul Al-Quran

Bulan Ramadhan juga dikenali sebagai bulan Al-Quran, bulan yang telah dipilih oleh Allah untuk menurunkan Al-Quran sebanyak 30 juzuk dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadar, kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sedikit demi sedikit selama 23 tahun mengikut kesesuaian yang dikehendaki oleh Allah. Allah berfirman yang bererti :

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dan yang salah”

(Surah Al-Baqarah : Ayat 185)

Al-Quran yang suci lagi mulia ini telah dibawa oleh malaikat yang agung lagi mulia, Jibril AS di malam yang mulia iaitu malam Lailatul Qadar diturunkan kepada insan yang paling mulia yang merupakan penghulu kepada semua nabi iaitu Nabi Muhammad SAW. Allah berfirman yang bererti :

“Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar”

(Surah Al-Qadr : Ayat 1)

Allah juga ada berfirman yang bererti :

“Sesungguhnya Kami turunkan Al-Quran itu pada malam yang diberkati”

(Surah Ad-Dukhan : Ayat 3)

Antara tujuan utama Allah mewahyukan Al-Quran kepada umat manusia ini adalah seperti berikut :

Pertama : Sebagai petunjuk kehidupan manusia. Allah telah menciptakan langit dan bumi serta isinya, lalu Allah menjadikan manusia sebagai khalifah menjalani kehidupan dan memakmurkan bumi. Justeru, bagi menjamin kesempurnaan kehidupan manusia sesuai dengan fitrah kejadiannya, Allah mewahyukan Al-Quran sebagai panduan dan petunjuk yang terbaik untuk mereka. Allah berfirman yang bererti :

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberi berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”

(Surah Al-Isra’ : Ayat 9)

Kedua : Al-Quran juga Allah turunkan sebagai penawar atau syafaat kepada segala penyakit dan masalah dalaman manusia dan pembawa rahmat kepada manusia yang mampu memberi ketenangan dan kebahagiaan hidup manusia di dunia, manakala di akhirat sudah tentu dengan rahmat ini akan memberi kebahagiaan syurga kepada mereka. Allah berfirman yang bererti :

“Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”

(Surah Yunus : Ayat 57)

Ketiga : Al-Quran juga Allah turunkan sebagai kitab bacaan dan zikir yang terbaik yang diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada pembacanya. Nabi SAW bersabda dalam satu hadis yang bererti :

“Siapa membaca satu huruf dari kitab Allah, baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu akan menyamai sepuluh kebaikan, aku tidak maksudkan ‘Alif Lam Mim’ satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”

(Hadis Riwayat Imam At-Tarmizi)

Malam Lailaqul qadar

Anugerah terbesar kedua Allah kepada umat manusia di bulan Ramadhan ini ialah malam Lailatul Qadar yang akan berlaku pada satu malam dari malam-malam Ramadhan terutama di sepuluh akhir bulan Ramadhan.

Malam Lailatul Qadar adalah merupakan malam yang penuh dengan keberkatan, amal ibadah kita pada malam itu lebih baik dari kita beramal seribu bulan di bulan-bulan yang lain. Pada malam itu bumi akan dipenuhi oleh para malaikat Allah. Allah berfirman yang bererti :

“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa itu malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun yang berikutnya)”

(Surah Al-Qadr : Ayat 2-4)

Malam Lailatul Qadar juga adalah malam yang penuh keberkatan yang Allah janjikan keampunan Nya kepada hamba-hamba Nya yang menghidupkan malam tersebut dengan amal ibadah kepada Nya. Sabda Nabi SAW yang bererti :

“Siapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan Allah, Allah akan ampun dosa-dosanya yang lampau”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai kesimpulannya, marilah kita menambah kecintaan kita kepada Al-Quran di bulan yang agung ini dengan banyak mendampingi dan meningkatkan bacaan Al-Quran. Cubalah untuk khatam bacaan Al-Quran di bulan ini walaupun sekali. Berusahalah untuk meningkatkan kualiti bacaan kita dan belajar untuk tadabbur serta memahami isi kandungan Al-Quran dengan selalu kita melihat terjemahannya dan menghadiri kelas-kelas Al-Quran dan tafsir. Hiasilah rumah kita dengan cahaya Al-Quran dengan memastikan anak-anak kita celik Al-Quran dan sentiasa mengalunkan bacaan Al-Quran. Kita juga perlu berusaha agar kehidupan kita seharian dipandu dengan petunjuk Al-Quran serta berusahalah menghidupkan malam-malam Ramadhan yang masih berbaki ini dengan dengan solat terawih, bacaan Al-Quran, tahajjud, berzikir dan bersedekah. Semoga Allah kurniakan kita dengan malam Lailatul Qadar.

 

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Anugerah Agung Allah di Bulan Ramadhan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more