Usaha, Doa dan Tawakal Kunci Kejayaan
1 Jul 2021Mencintai Nabi Muhammad SAW Kunci Kesempurnaan Iman
7 Oct 2021Sahabat pembaca sekalian, marilah kita menginsafi bahawa setiap musibah yang berlaku adalah merupakan ketentuan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah At-Taubah, ayat 51 yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad) : Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.
Kehidupan kita sejak lebih setahun yang lalu terpaksa dilalui dalam situasi norma baharu. Walaupun begitu kita tetap perlu mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang masih banyak dikurniakan dan dinikmati oleh kita semua.
Sememangnya kita masih lagi diuji dengan wabak COVID-19 ini. Kepada Allah SWT jualah tempat kita memohon pertolongan. Semoga Dia menghilangkan semua wabak ini dan mengangkat ujian yang kita hadapi ini.
Sesungguhnya tiada daya dan upaya kita semua melainkan dengan ketakwaan dan kekuasaan Allah SWT jua.
Marilah kita sama-sama menjaga batas-batas hukum yang ditetapkan Islam. Antaranya mendirikan solat, menutup aurat, saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain.
Pasa masa sama, kita hendaklah saling membantu kerana ia adalah amalan mulia lebih-lebih lagi jika ada dalam kalangan ahli keluarga atau adik beradik kita yang diuji sama ada diuji dengan kemiskinan, penyakit dan lain-lain khususnya yang terkesan dengan wabak ini.
Sentiasalah terus bersabar menghadapi situasi pandemik ini.
Marilah sama-sama kita bertaubat dengan bersungguh-sungguh, bermunajat dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT agar Dia mengampunkan segala dosa kita, dosa ahli keluarga dan dosa seluruh umat Islam di dunia ini seterusnya melimpahkan rahmat dan berkat kepada kita semua serta menghilangkan wabak penyakit ini dengan segera.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita mematuhi segala ketetapan dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib di samping menyahut seruan mendapatkan vaksin sebagai ikhtiar kita, berdoa dan bergantung harap kepada-Nya. Mudah-mudahan wabak COVID-19 ini segera berakhir dan kita kembali kepada kehidupan normal.