Musibah Penghapus Dosa Bagi Orang Beriman : Pena Hijau

Musibah Penghapus Dosa Bagi Orang Beriman

zakat
Zakat Membersihkan Dosa dan Menyucikan Jiwa
16 Dec 2021
20230908 taubat istiqamah solat
Jangan Pernah Tinggal Solat
28 Dec 2021
zakat
Zakat Membersihkan Dosa dan Menyucikan Jiwa
16 Dec 2021
20230908 taubat istiqamah solat
Jangan Pernah Tinggal Solat
28 Dec 2021
musibah banjir
icon follow us

Dalam menempuh kehidupan seharian, pastinya kita tidak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai perkara yang tidak diingini oleh semua manusia, seperti musibah kehilangan insan tersayang, kemusnahan harta benda, ditimpa wabak penyakit dan sebagainya.

Namun, Allah SWT tidak menjadikan semua yang berlaku itu sebagai perkara yang sia-sia. Orang mukmin yang beriman, bersabar dan reda dengan musibah tersebut akan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT dan kita sebagai hamba-Nya tidak mengetahui apakah hikmah yang Allah SWT kehendaki di sebalik musibah.

Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Hadid ayat 22 :

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri, melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”

Melalui ayat ini, Allah SWT mengingatkan kita, apabila kita diuji dengan sesuatu musibah, maka semua itu sudah tercatat di dalam Luh Mahfuz, hanya kita sahaja yang tidak tahu dan baru tahu setelah musibah itu terjadi. Oleh itu janganlah bersedih, risau, apatah lagi berputus asa.

Sikap terbaik ketika menghadapi musibah adalah dengan bersabar serta berusaha, lalu mengembalikanya kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa atas segala-galanya. Seperti firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 156 :

  ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ

“(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.”

Ingatlah apabila Allah SWT kasihkan hamba-Nya, maka Allah SWT akan menurunkan musibah ke atas hamba-Nya itu, sebagai penebus dosa kerana Allah SWT tidak mahu hamba-Nya itu berjalan di muka bumi-Nya ini dengan memikul sedikit pun dosa.

Saidatina Aisyah Radhiallahu’anha berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Tidaklah suatu musibah yang menimpa seseorang Muslim, melainkan Allah akan menghapuskan (dosa orang itu) dengannya, bahkan duri yang menyakitinya sekalipun.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun setiap ujian dan musibah yang menimpa itu adalah untuk menguji kesabaran kita, tetapi ramai yang merasa berat ketika didatangi dugaan tersebut. Ketahuilah bahawa salah satu sebab datangnya musibah adalah ketika Allah SWT menghendakki kebaikan bagi hamba-hamba-Nya. Anas bin Malik Radiallahu’anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada hamba-Nya, Allah akan segerakan hukuman untuknya di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan kepada hamba-Nya, Allah akan menahan azab baginya (akibat dosanya) di dunia, hingga Allah membalasnya (dengan sempurna) pada hari Kiamat ”.

(Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)

Maka, kita hendaklah reda dan bersabar apabila diuji dengan musibah. Kita hendaklah yakini bahawa semua itu adalah penghapus dosa-dosa yang telah kita lakukan saban waktu. Janganlah merungut, mengeluh dan tidak berpuas hati dengan ujian Allah SWT itu sehingga ada di antara kita yang menuding jari menyalahkan antara satu sama lain. Justeru, jangan biarkan kemuliaan diri yang dianugerahkan Allah SWT itu hilang kerana sikap dan budi bahasa kita sendiri ibarat bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.

Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran untuk dijadikan pedoman hidup kita, antaranya :

  1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa musibah yang menimpa seseorang hamba, sekecil apapun, itu akan menghapuskan kesalahannya sekiranya ia menerimanya dengan kesabaran.
  2. Umat Islam hendaklah sedar bahawa semua ujian musibah yang diturunkan oleh Allah kepada kita adalah juga salah satu bentuk teguran daripada Allah SWT dan ianya mengikut kemampuan kita.
  3. Umat Islam hendaklah sedar bahawa orang yang sabar dalam menghadapi ujian dan musibah daripada Allah SWT akan diganjari pahala yang tidak terhingga daripada Allah SWT.

 وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah : 155)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Musibah Penghapus Dosa Bagi Orang Beriman
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more