Insan Rabbani Insan Berkualiti : Pena Hijau

Insan Rabbani Insan Berkualiti

dunia fatamorgana
Indah Dunia Fatamorgana Melalaikan Menipu Daya
20 Jan 2022
masa
Masa Hidup Di Dunia Hanya Sekali
3 Feb 2022
dunia fatamorgana
Indah Dunia Fatamorgana Melalaikan Menipu Daya
20 Jan 2022
masa
Masa Hidup Di Dunia Hanya Sekali
3 Feb 2022
insan rabbani
icon follow us

Insan yang hidup dalam dunia ini, dari segi ketaatan dan keingkarannya terhadap perintah Allah terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama adalah golongan Rabbani iaitu golongan yang menyembah Allah SWT dengan ilmu dan amal yang sempurna. Golongan ini betul-betul mengenali Allah, mencintai Allah dan mendampingi Allah dalam semua urusan hidup mereka. Mereka mentauhidkan Allah dan mematuhi segala syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW selaras dengan perintah Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 31 :

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Golongan kedua adalah golongan Syahwaniy iaitu golongan yang tunduk kepada nafsu syahwat. Golongan ini tidak cuba untuk mengenali Allah, tidak mantap aqidah Tauhid dan menyimpang dari syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Urusan hidup mereka hanya bertujuan untuk memenuhi kehendak hawa nafsu semata-mata. Mereka ini adalah golongan yang terdedah kepada dosa dan kesesatan. Firman Allah dalam surah al Qasas ayat 50 :

فَإِن لَّمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَكَ فَٱعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَآءَهُمْ ۚ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ بِغَيْرِ هُدًى مِّنَ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya).

 

Sifat Insan Rabbaniy

Jika kita ingin menjadi insan yang sentiasa mengabdikan diri kepada Allah selaras dengan tujuan penciptaanNya, maka hendaklah kita bersifat dengan sifat Insan rabbaniy, yang telah ditetapkan oleh para Ulama, antaranya ialah :

Pertama : Mentauhidkan Allah SWT, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu dalam apa urusan sekalipun, selaras pengakuan yang dibuat dalam surah al Fatihah ayat 5 :

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Dan Firman Allah dalam surah al An’am ayat 164 :

(164)…..قُلْ أَغَيْرَ ٱللَّهِ أَبْغِى رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَىْءٍ ۚ

Katakanlah: “(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? ….. (164)

Kedua : Segala urusan hidupnya sentiasa terikat dengan syariat Allah dan sunnah RasulNya, tidak tunduk kepada kehendak akal semata-mata, hawa nafsunya sendiri dan pandangan yang menyesatkan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

Aku tinggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu : kitab Allah (al Quran) dan sunnah RasulNya.

(H.R. Imam Malik)

Ketiga : Melaksanakan ibadat kepada Allah secara beristiqamah dan berterusan tanpa terikat dengan masa-masa tertentu, atau pada musim-musim tertentu, seperti hanya menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadhan semata-mata, sebaik sahaja habis Ramadhan kembalilah dia kepada keadaan asalnya semula. Firman Allah dalam surah al Ahqaf ayat 13 :

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Sufyan bin Abdullah al Thaqafi berkata yang bermaksud :

Wahai Rasulullah! ceritakanlah kepadaku sesuatu perkara yang aku boleh berpegang dengannya. Sabda Baginda : Katakanlah Tuhanku itu ialah Allah, kemudian beristiqamahlah….

(H.R. Tirmizi)

Keempat : Tidak berputus asa dari rahmat Allah, apabila berlaku ketelanjuran atau terjerumus ke dalam kemaksiatan, malah hendaklah cepat-cepat bertaubat dan meminta ampun kepada Allah, selaras dengan perintah Allah dalam surah al Zumar ayat 53 :

۞ قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kelima : Tahu mengimbangi antara tuntutan rohani dan jasmani, atau antara tuntutan dunia dan akhirat, tidak terlalu mementingkan urusan rohani hingga mengabaikan keperluan jasmani, atau mementingkan urusan akhirat hingga mengabaikan keperluan dunia. Firman Allah dalam surah al Qasas ayat 77 :

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.

Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

Demi Allah sesungguhnya aku lebih takut kepada Allah dan lebih bertakwa kepadaNya dari kamu, tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku sembahyang dan aku tidur dan aku berkahwin dengan perempuan, oleh itu siapa yang tidak suka kepada sunnahku maka dia bukan dari kalangan orang yang mengikut sunnahku

( H.R Bukhari)

Kesimpulan

Kesimpulannya, insan rabbani adalah insan yang hidupnya berkualiti kerana ia sentiasa mengabdikan diri kepada Allah dalam semua urusan hidupnya, mentauhidkan Allah, mematuhi segala syariat Allah dan sunnah RasulNya, tidak beputus asa terhadap rahmat Allah dan tidak lalai daripada beribadat kepada Allah sekalipun sibuk dengan segala urusan dunia.

رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَـٰرَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلْقُلُوبُ وَٱلْأَبْصَـٰرُ

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

(Surah An Nur ayat 37)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Insan Rabbani Insan Berkualiti
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more