Jasmani Bersifat Sementara
27 Feb 2022Terokai Teknologi, Syukuri Nikmat Allah
17 Mar 2022Islam dan kebersihan tidak dapat dipisahkan. Apabila disebut Islam maka tergambarlah kebersihan sebagai salah satu ciri utamanya. Di antara ayat-ayat terawal al-Quran yang diturunkan kepada Nabi SAW, ialah ayat 4 surah al-Muddaththir :
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan”
Seterusnya perintah supaya orang-orang Islam menjaga kebersihan wujud dalam pra-syarat mengerjakan solat iaitu suci daripada najis dan hadath. Apa yang menarik ialah perintah berwudu’, sebagai proses membersihkan diri sebelum mengadap Allah, begitu terperinci gesaannya. Perhatikan firman Allah dalam ayat 6 surah al-Maidah :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًۭا فَٱطَّهَّرُوا۟ ۚ ….
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib ….. “
Apa yang lebih menarik lagi, bukan sahaja Allah mahukan kita bersikap bersih dan suci, malah disediakan bahan atau sumber untuk membersihkan iaitu air mutlak antaranya air hujan. Firman-Nya dalam surah al-Furqan ayat 48 :
وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ ٱلرِّيَـٰحَ بُشْرًۢا بَيْنَ يَدَىْ رَحْمَتِهِۦ ۚ وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً طَهُورًا
“Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci”
Rasulullah SAW pula menegaskan bahawa kebersihan itu sebahagian daripada Iman, yang memberi maksud bahawa Iman seseorang tidak sempurna tanpa mengamalkan kebersihan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud :
“Kebersihan itu sebahagian daripada Iman.”
(Riwayat Muslim)
Malah Nabi s.a.w hampir-hampir mewajibkan amalan membersih mulut (bersugi) sebelum solat. Sabda Baginda SAW yang bermaksud :
“Kalaulah tidak menjadi kesusahan kepada ummatku, nescaya aku perintahkan mereka bersugi setiap kali hendak solat”
(Riwayat Malik dan Ahmad)
Islam bukan sahaja menganjurkan kebersihan diri, malah turut merangkumi persekitaran dan tempat awam seperti kebersihan masjid dan jalan raya. Daripada Aisyah RA, menyebut :
“Rasulullah SAW memerintahkan pembinaan masjid-masjid di kawasan-kawasan penempatan dan mengarahkan supaya dibersih dan diwangikannya.”
(Riwayat Abu Dawud)
Dalam sebuah hadith lain, Nabi SAW menjamin pahala kepada sesiapa yang menyingkirkan kotoran daripada jalan sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud :
“…dan kamu menyingkirkan perkara-perkara yang boleh menyusahkan pengguna jalan merupakan sedekah yang diberi pahala”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan beberapa dalil al-Quran dan as-Sunnah sebelum ini, ia menjadi bukti betapa Islam sangat mementingkan kebersihan dan kesucian. Sehubungan dengan itu perlu ditegaskan, kebersihan dalam konteks Islam merangkumi zahir dan batin, jasmani dan rohani. Justeru apakah sikap dan peranan kita sebagai umat Islam terhadap amalan kebersihan ini? Apakah budaya hidup kita selari dengan hakikat bahawa Islam itu agama kebersihan?
Dilihat dari satu sudut, kita sebagai warga Islam di Malaysia, perlu menyedari tentang tuntutan Islam terhadap kebersihan. Hal ini boleh di buktikan; seperti melalui tahap kebersihan di kebanyakan halaman rumah, kawasan kediaman dan perkampungan. Yang paling ketara ialah; keseluruhan masjid-masjid perlu memberi keutamaan kepada kebersihannya dan menyediakan peruntukan khas bagi memastikan kebersihan dan keceriaannya terjaga.
Sementara itu kebersihan di tempat-tempat awam seperti di pasar-pasar, di pantai-pantai peranginan dan kawasan-kawasan rekreasi perlu dipertingkatkan terutama di lokasi-lakasi yang tiada pekerja pembersihan. Di sinilah individu, orang ramai malah pertubuhan-pertubahan bukan kerajaan (NGO) berperanan membantu memastikan kebersihan yang terbaik dan memberi keselesaan kepada para pengunjung.
Kiat sebagai orang awam janganlah hanya meletakkan tanggungjawab memelihara kebersihan kepada pihak tertentu semata-mata. Malah, setiap orang daripada kita perlu memastikan bahawa unsur-unsur yang boleh menyebabkan kekotoran bukan datang daripada kita atau orang bersama kita seperti anak-anak. Sebaliknya kita sendiri sewajarnya berusaha menyingkirkan kekotoran atau perkara yang boleh membahayakan.
Selain daripada tempat-tempat awam yang perlu dipastikan kebersihan yang maksima, sungai-sungai tempat mengalirnya air bersih, sumber kehidupan kita perlu diberi perhatian supaya tahap kebersihannya dipertingkatkan. Bersama-samalah kita berkongsi tanggungjawab dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), iaitu dengan memastikan bahan-bahan terbuang tidak dicampak atau dialirkan ke dalam sungai dengan sewenang-wenangnya. Ingatlah sungai adalah anugerah Allah yang perlu dipelihara dan menjadi sumber kehidupan untuk semua, termasuklah hidupan di dalamnya.
Sebagai warga Islam yang mengakui Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah, marilah kita membudaya dan meningkatkan amalan kebersihan dalam kehidupan dengan :
- Berusaha meningkatkan iman kita dengan mengamalkan budaya bersih dan suci.
- Menjadikan kebersihan sebagai Sunnah dan amalan soleh.
- Setiap orang perlu bertanggungjawab menjadikan persekitaran yang bersih, tanpa menyerah kepada pihak bertanggungjawab semata-mata.
- Menjadikan kebersihan sebagai satu sumbangan kepada masyarakat.
- Sifat pengotor boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri dan orang lain, justeru ia perlu dijauhi.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Tiada kemudaratan dan tidak boleh membuat hal yang memudaratkan”.
(Riwayat Ibn Majah)
لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ
“Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”
(Surah at-Taubah ayat 108)