Terokai Teknologi, Syukuri Nikmat Allah : Pena Hijau

Terokai Teknologi, Syukuri Nikmat Allah

kebersihan
Islam dan Kebersihan. Apakah Peranan Kita?
4 Mar 2022
persediaan ramadhan
Persediaan Menyambut Ramadhan
25 Mar 2022
kebersihan
Islam dan Kebersihan. Apakah Peranan Kita?
4 Mar 2022
persediaan ramadhan
Persediaan Menyambut Ramadhan
25 Mar 2022
teknologi
icon follow us

Allah SWT telah menetapkan syariat Islam sebagai asas kejayaan dan jalan kebahagiaan dalam segenap aspek kehidupan manusia. Namun Islam tidak hanya menganjur umatnya untuk mendalami syariatnya, bahkan untuk mereka menerokai segala bidang ilmu yang bermanfaat, termasuklah sains dan teknologi kejuruteraan.

Sedar atau tidak sedar, sains dan teknologi kejuruteraan yang tulen adalah berpaksikan kepada prinsip-prinsip Sunnah Kauniyyah atau peraturan kejadian yang ditetapkan oleh Allah SWT ke atas makhlukNya. Hasilnya, pelbagai kebenaran dan bukti telah ditemui, menunjukkan kekuasaan dan keagongan Allah SWT, hasil daripada penemuan dan penyelidikan sains dan kejuruteraan yang jujur kepada hakikat kebenaran.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 147 :

ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُمْتَرِينَ

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

Sektor sains dan kejuruteraan juga adalah cabang ilmu yang merangkumi penguasaan ilmu dalam penggunaan sumber alam secara berkesan dan efisyen bagi tujuan kebaikan dan manfaat kepada manusia sejagat. Secara tidak langsung, ia merupakan satu wadah bagi membantu manusia mensyukuri nikmat penciptaan alam dan memenuhi tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Firman Allah dalam surah Hud, ayat 61 :

 وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَـٰلِحًا ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ وَٱسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَٱسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّى قَرِيبٌ مُّجِيبٌ

Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”.

Rasulullah SAW pula bersabda (yang bermaksud) :

“Manusia yang paling dikasihi Allah adalah yang paling banyak memberikan manfaat untuk manusia lain”

(Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Lantaran itu, para sarjana dan cendiakawan Islam terdahulu telah banyak membantu kepada perkembangan teknologi dunia. Al-Khawarizmi, Jabir Ibnu Hayyan, Al-Battani, Abdul Rahman Al-Sufi, Abbas Ibnu Firnas, Al-Biruni, Al-Jazari adalah antara nama-nama besar dalam sumbangan teknologi kejuruteraan, astronomi, fizik, aeroangkasa, matematik dan sebagainya.

Perkembangan teknologi dan ledakan kemajuan kejuruteraan pada hari ini pula, berperanan mengubah lanskap kehidupan manusia mengikut arus perubahan zaman, sama ada di daratan, lautan mahupun di udara.

Di sebalik tersergamnya keindahan sesebuah bangunan, seperti masjid, hospital, balai polis, sekolah, universiti, kemudahan fasiliti jambatan, lapangan terbang dan jalan raya, golongan profesion teknikal terus berjuang mencurah keringat idea dan fikiran demi memastikan keselamatan, keselesaan dan juga kemudahan manusia dapat dipertingkatkan.

Pelbagai bidang kejuruteraan lain seperti, automotif, aeroangkasa, penjanaan dan pengagihan tenaga, petrokimia, dan lain-lain turut berperanan menyumbang. Walaupun tugas ini amat mencabar, namun ianya terus digalas bagi memenuhi amanah yang ditugaskan, demi kelangsungan ummah dan pembangunan negara.

Sejajar dengan perkembangan global terutamanya ledakan teknologi IR4.0, warga profesion teknikal berperanan penting untuk bersama-sama mengembleng tenaga dan kepakaran ke arah menggerakkan negara dan melangkaui aspirasi rakyat dalam semua bidang pembangunan teknikal seperti kejuruteraan, kesihatan, penyelidikan, pendidikan, Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dan sebagainya.

Sejarah ketamadunan menjelaskan, walaupun teknologi kejuruteraan dan kepakaran umat terdahulu seperti yang dihasilkan oleh kaum Tsamud, Firaun, Kaum Ad, begitu canggih dan hebat ketika itu sehingga mampu menebuk gunung-gunung yang besar, namun apabila mengingkari perintah Allah SWT, tetap dimusnahkan oleh Allah SWT.

Ingatlah sentiasa, walau secanggih dan sehebat manapun teknologi serta keupayaan manusia, ia tidak akan sesekali dapat melepasi batasan ilmu Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mengetahui. Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menjelaskan kealpaan dan kedegilan umat-umat terdahulu yang dibinasakan oleh Allah SWT lantaran keingkaran mereka untuk mentaati suruhanNya, bahkan mencabar kekuasaan Allah SWT.

Marilah kita renungkan beberapa kesimpulan sebagai panduan kita bersama :

  1. Umat Islam hendaklah berupaya menguasai pelbagai kepakaran dan displin ilmu ke arah kehidupan yang lebih berkualiti demi kebahagiaan dunia dan Akhirat.
  2. Hiasilah kehidupan kita di dunia dengan melakukan perkara yang memberi manfaat kepada semua orang termasuk diri sendiri demi menggapai keredhaan Allah SWT.
  3. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa setiap tindakan dan perbuatan akan dibalas dengan adil oleh Allah SWT di akhirat.
  4. Umat Islam diingatkan agar jangan mencabar kekuasaan Allah yang boleh mengundang musibah atau malapetaka dengan melakukan pelbagai maksiat dan kemungkaran.

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

(Surah al-Rum : 41)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Terokai Teknologi, Syukuri Nikmat Allah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more