Lailatul Qadar Dicari, Keampunan Allah Diperolehi : Pena Hijau

Lailatul Qadar Dicari, Keampunan Allah Diperolehi

al quran
Rahsia Di Sebalik Nuzul Al-Quran
15 Apr 2022
persediaan ramadhan
Episod Akhir Ramadhan
29 Apr 2022
al quran
Rahsia Di Sebalik Nuzul Al-Quran
15 Apr 2022
persediaan ramadhan
Episod Akhir Ramadhan
29 Apr 2022
malam lailatul qadar
icon follow us

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang paling mulia di sisi Allah SWT yang berlaku hanya pada bulan Ramadan. Disebabkan itu ia dirahsiakan daripada pengetahuan hamba-Nya demi menggalakkan mereka untuk menghayati malam-malam bulan Ramadan secara menyeluruh, tanpa memilih malam-malam yang tertentu. Ia juga merupakan malam penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT, malam yang paling istimewa buat umat Nabi Muhammad SAW kerana segala ibadat yang dilakukan bertepatan dengan malam tersebut akan mendapat ganjaran lebih baik dari seribu bulan. Firman Allah dalam surah al Qadr ayat 3 hingga 5 :

لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌۭ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ ٣
تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍۢ ٤
سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ ٥

“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Allah mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Lailatul Qadar adalah suatu anugerah khas daripada Allah SWT. Justeru rebutlah peluang untuk mendapatkan anugerah tersebut sebelum ia luput.

Dalam tafsir Ibnu Kathir diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW pernah menceritakan kepada para sohabat mengenai kisah empat orang dari kalangan bani Israil. Mereka ini beribadat kepada Allah SWT selama 80 tahun tidak pernah menderhakai Allah walaupun sedetik, maka para sahabat pun merasa takjub dengan perkara itu, lalu Jibril datang kepada Nabi memberi tahu bahawa umatmu takjub dengan ibadat mereka selama 80 tahun tanpa menderhakai Allah walaupun sedetik, sekarang ini Allah menurunkan ayat mengenai perkara yang lebih baik dari itu, maka Jibril pun membaca kepada Nabi :

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ ١
وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ ٢
لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌۭ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ ٣

serta berkata : ini adalah lebih baik dari apa yang Engkau dan umatmu takjubkan itu.

Walaupun tidak ada penentuan daripada Allah dan juga daripada Rasulullah SAW mengenai bila berlakunya Lailatul Qadar, namun menurut pandangan yang termasyhur dari mazhab Syafie, Hambali dan satu pandangan dalam mazhab Maliki, ia berlaku pada sepuluh malam terakhir daripada bulan Ramadan. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayat daripada saiyidatina Aisyah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Carilah Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadan”

(H.R. Bukhari)

 

Malah diriwayatkan bahawa setiap kali masuk sepuluh akhir Ramadan Rasulullah SAW bersungguh-sungguh melaksanakan Ibadat melebihi masa-masa yang lain, sebagaimana hadis yang diriwayat daripada Aisyah RA berkata yang maksudnya :

“Adalah Rasulullah SAW bersungguh–sungguh beribadat pada bulan Ramadan melebihi bulan-bulan yang lain dan Baginda bersungguh–sungguh pada sepuluh akhir Ramadan melebihi masa yang lain”

(H.R Muslim)

 

Hadis-hadis tersebut menunjukkan bahawa Lailatul Qadar biasanya berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan, terutama sekali pada malam-malam ganjil. Justeru pada malam-malam tersebut Rasulullah SAW melipatgandakan ibadatnya kepada Allah SWT.

Oleh itu bagi kita yang menjadi umat Baginda SAW ini sepatutnya kita mencontohi perbuatan Baginda SAW dengan meningkatkan amalan-amalan kita pada malam-malam terakhir Ramadan ini, mudah-mudahan dengan izin Allah amalan yang kita lakukan pada salah satu malam tersebut menepati dengan Lailatul Qadar, yang ganjarannya lebih baik dari 1000 bulan itu.

Di antara amalan-amalan yang dituntut dan dilipatgandakan untuk dilaksanakan pada malam-malam tersebut ialah :

Pertama : Solat sunat Tarawih dan qiamullail, iaitu menghidupkan malamnya dengan ibadah solat, membaca Al-Quran, zikir dan  sebagainya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sesiapa yang meghidupkan malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampunkan dosa dosanya yang lalu”

(H.R. Bukhari dan Muslim)

 

Kedua : Membangunkan ahli keluarga untuk beribadat, seperti mana yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW. Hadis yang diriwayat daripada saiyidatina Aisyah RA menyebut yang bermaksud :

“Adalah Nabi SAW apabila masuk pada sepuluh malam terakhir Ramadan Baginda mengikat kainnya (bersungguh-sungguh), menghidupkan malamnya dan membangunkan ahlinya”

(H.R. Bukhari)

 

Ketiga : Beriktikaf di dalam masjid disamping melakukan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Justeru setiap kali kita berada di dalam masjid, jangan lupa untuk niat beriktikaf supaya kita mendapat ganjaran pahala.

Keempat : Berdoa kepada Allah dengan meminta keampunan-Nya. Aishah pernah bertanya kepada Baginda Rasulullah SAW : apakah yang perlu dikatakan pada malam Lailatul Qadar, maka Baginda menjawab : Katakanlah yang bermaksud :

“Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampunkan, maka ampunilah daku”

(H.R Imam Amad dan al Tirmizi)

 

lailatul qadr

Kelima : Bersedekah dengan keikhlasan kepada Allah. Ini kerana jika sedekah yang dilakukan itu bertepatan dengan malam Lailatul Qadar maka pahala amalan sedekah itu juga akan dilipat gandakan lebih baik dari seribu bulan.

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi  sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”

(Surah al Baqarah ayat 261)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

1 Comment

  1. […] kerana umat Islam lebih seronok dan banyak masa dihabiskan untuk persiapan hari raya. Anugerah Lailatul Qadar yang dijanjikan melebihi 1000 bulan seolah-olah menjadi tidak berharga dan tidak ada […]

Lailatul Qadar Dicari, Keampunan Allah Diperolehi
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more