Makanan Yang Halal, Haram dan Syubhah : Pena Hijau

Makanan Yang Halal, Haram dan Syubhah

penyalahgunaan dadah
Bahaya Dan Kesan Penyalahgunaan Dadah
27 May 2022
nabi muhammad saw
Kasihilah Pencinta Rasulullah SAW Dan Bencilah Penghina Rasulullah SAW
17 Jun 2022
penyalahgunaan dadah
Bahaya Dan Kesan Penyalahgunaan Dadah
27 May 2022
nabi muhammad saw
Kasihilah Pencinta Rasulullah SAW Dan Bencilah Penghina Rasulullah SAW
17 Jun 2022
makanan yang halal
icon follow us

Makanan yang halal ialah makanan yang zatnya halal dan diperolehi daripada sumber yang halal. Manakala makanan yang haram ialah makanan yang zatnya haram atau halal yang diperolehi melalui sumber yang haram. Makanan yang halal dan suci serta mengikut sunnah bukan saja menambahkan cahaya iman dalam diri malah ianya juga mendorong membina kesihatan zahir dan batin. Makanan yang haram pula boleh menggelapkan hati, menyebabkan hidup yang tidak berkat dan juga dimurkai Allah SWT. Mengenai suruhan ini Allah SWT menjelaskan dengan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 168 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِى ٱلْأَرْضِ حَلَـٰلًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”

Baginda SAW juga bersabda yang bermaksud :

“Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, nerakalah yang lebih layak untuknya”

(Riwayat Imam Tirmizi)

Sepanjang kehidupan Baginda SAW, Baginda sangat menitik beratkan perkara yang halal dan haram dalam pemakanan. Sebagaimana yang dimaklumi, Baginda dan ahli keluarga tidak dibenarkan secara khusus oleh Allah SWT menerima sedekah dan zakat sehinggakan Baginda sanggup mengeluarkan semula kurma yang dimakan oleh cucunya kerana dibimbangi kurma tersebut adalah daripada harta zakat.

Antara makanan haram yang patut dijauhi adalah hasil daripada amalan yang tidak diizinkan syarak seperti rasuah, perbuatan memberi, meminta, atau menerima suapan, dan lain-lain lagi. Mengenai perkara ini Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud :

“Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan di masukkan ke dalam api neraka”

(Riwayat Imam at-Thobarani)

Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud :

“Pasti akan tiba kepada manusia zaman yang seseorang itu tidak menghiraukan dengan jalan apa yang dia mendapat harta, adakah dari halal atau haram”.

(Hadis riwayat al Bukhari)

Manakala syubhah pula adalah kesamaran antara halal atau haram, benar atau salah. Mengenai perkara ini Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan daripada Numan bin Bashir r.a yang bermaksud :

“Sesungguhnya halal itu adalah jelas, haram juga adalah jelas dan di antara keduanya adalah kesamaran yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Sesiapa yang menjaga daripada melakukan sesuatu yang syubhah, agama dan maruahnya terjaga. Sesiapa yang menjadi kebiasaannya melakukan perkara yang syubhah, mendorongnya melakukan sesuatu yang haram dengan mudah, seperti pengembala memelihara ternakannya di batas sempadan, hampirlah ia memakan tanaman orang lain”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Imam Ibn Munzir, di antara maksud makanan yang syubhah ialah :

  1. Suatu perkara yang sudah diketahui haram tetapi selepas itu timbul syak tentang halalnya, adakah menjadi halal atau tidak? Seperti dua ekor ayam yang salah satunya disembelih oleh orang kafir dan tidak dapat dipastikan yang mana satu, hukumnya tidak boleh memakan ayam tersebut.
  2. Suatu perkara yang mana halal dan haramnya pada tahap yang sama iaitu tidak dapat dipastikan mana yang lebih kuat. Pada tahap ini adalah lebih baik ditinggalkan perkara tersebut kerana menjaga agama. Perkara ini pernah terjadi apabila Baginda SAW balik ke rumah didapati ada sebiji buah kurma, apabila diambil Baginda SAW teringat kemungkinan kurma itu dari harta zakat lantas Baginda SAW tidak memakannya. (Hadis riwayat al Bukhari dan Muslim).

Jelas daripada hadis di atas Baginda SAW tidak memakannya kerana ada kesamaran antara halal dan haram iaitu halal (mungkin kurma milik Baginda) atau kurma zakat (haram dimakan oleh Baginda). Justeru sikap Baginda SAW yang berhati-hati memilih makanan yang akan dimakannya yang sekaligus mengajar umat supaya mengamalkan peraturan yang sama apabila membeli, memilih atau memakan sesuatu.

Dalam masyarakat hari ini, menurut para ulama, memakan makanan yang status kehalalannya diragui adalah dikira syubhah. Sebagai seorang Muslim, hendaklah memastikan makanan yang akan dimakan adalah berstatus halal seperti makanan yang ada terdapat padanya logo halal yang dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti. Para Ulama juga menjelaskan hukum memakan makanan yang tidak halal adalah haram dan berdosa, kecuali dalam keadaan dhorurat. Demi menjaga agama, keturunan dan keberkatan hidup jangan sekali-kali memakan makanan yang haram dan cubalah hindari semampu yang boleh daripada memakan makanan yang ada unsur syubhah, insya-Allah  agama akan lebih terjaga, hidup akan lebih sejahtera.

وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”

(Surah Al-Baqarah, ayat 188)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Makanan Yang Halal, Haram dan Syubhah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more