Kukuhkan Perpaduan, Elakkan Perpecahan : Pena Hijau

Kukuhkan Perpaduan, Elakkan Perpecahan

Tauladan Keperibadian Muhajirin Dan Ansar
5 Aug 2022
ANE 20220818 keseimbangan
Keseimbangan Hidup, Kunci Kebahagiaan
19 Aug 2022
Tauladan Keperibadian Muhajirin Dan Ansar
5 Aug 2022
ANE 20220818 keseimbangan
Keseimbangan Hidup, Kunci Kebahagiaan
19 Aug 2022
ANE 20220812 perpaduan
icon follow us

Islam merupakan agama yang menentang segala perkara yang membawa kepada perpecahan. Ini kerana, Islam amat menitikberatkan perpaduan sama ada sesama Islam atau sebaliknya. Justeru, umat Islam disifatkan sebagai umat yang satu sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al Anbiya ayat 92 :

إِنَّ هَـٰذِهِۦٓ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً وَأَنَا۠ رَبُّكُمْ فَٱعْبُدُونِ

Maksudnya : Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadatlah kepadaKu.

Walau kita berbeza warna kulit, berbeza bangsa, bahasa, budaya dan sebagainya, tetapi dengan nikmat Islam, Allah SWT telah menyatukan kita semua di atas akidah yang satu, perbuatan dan bacaan solat yang satu, mengadap ke arah kiblat yang satu serta menyembah Tuhan Yang Satu. Sama ada kita sedar atau tidak, Allah SWT menyatukan hati-hati kita tanpa kita melihat kiri dan kanan dalam mengerjakan ibadah seperti solat, siapakah di sebelah kita, apa warna kulit mereka, apa bangsa dan keturunan mereka. Inilah perpaduan yang terbina di atas asas Islam yang dizahirkan melalui saf-saf solat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Hendaklah kamu bersungguh-sungguh meluruskan saf-saf kamu atau Allah sungguh-sungguh akan memperselisihkan di antara wajah-wajah kamu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di atas dasar kesatuan aqidah inilah, yang berteraskan pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah, umat Islam bersatu dan tidak berpecah belah namun realitinya umat Islam masih bertelagah dan berbalah bukan sahaja dalam negara bahkan di seluruh dunia.

Antara sebab utama kenapa umat Islam berpecah :

Pertama, apabila umat Islam tidak mengikut ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini ada dinyatakan dan ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al An’am ayat 153 :

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang lurus. Maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan yang lain daripada Islam kerana jalan yang lain itu akan mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah. Demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertaqwa.

Perkara kedua yang menjadi sebab berlakunya perpecahan iaitu kerana umat Islam mengambil sebahagian sahaja daripada ajaran agama dan meninggalkan sebahagian yang lain. Inilah yang berlaku kepada golongan ahli kitab terdahulu.

Manakala yang ketiga ialah kerana sebahagian daripada umat Islam masih berada dalam kejahilan. Kejahilan merupakan salah satu faktor yang akan menatijahkan kepada perpecahan kerana ia tidak didasari dengan ilmu.

Perpecahan antara orang Islam dilihat begitu ketara sekali. Perbalahan dan pertelingkahan secara terbuka berlaku terutamanya dalam media sosial. Perbalahan ini mencakupi semua aspek sehingga perkara kecil pun dijadikan punca kepada pertelingkahan. Ianya bertambah buruk apabila terdapat segelintir individu yang sanggup mencipta akaun palsu dengan meninggalkan komen melaga-laga, menghentam, mengutuk, menyakitkan hati terhadap orang lain.

Allah SWT telah menegaskan bahawa budaya dan amalan seumpama ini adalah suatu dosa besar. Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 58 :

وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَـٰنًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Maksudnya : Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.

Islam sentiasa menyeru umatnya agar bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain. Nilai-nilai mulia seperti ini hendaklah dihayati kerana umat Islam diumpamakan seperti anggota tubuh yang saling memerlukan antara sesama anggota badan yang lain.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mulakan langkah dengan merapatkan saf, bersatu-padu, melupakan segala sengketa dan perselisihan faham walaupun kita berbeza dalam banyak perkara dan berusaha untuk bangkit semula menjadi umat yang kuat, bermaruah dan bermatlamat, demi kepentingan agama, bangsa dan negara kita.

Sesungguhnya perpaduan adalah asas kepada keharmonian dan pembangunan sesebuah negara. Sebaliknya, perpecahan, perbalahan dan permusuhan akan membawa kehancuran dan kemusnahan.

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

(Surah al-Anfal ayat 46)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Kukuhkan Perpaduan, Elakkan Perpecahan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more