Tauladan Keperibadian Muhajirin Dan Ansar : Pena Hijau

Tauladan Keperibadian Muhajirin Dan Ansar

Iktibar Daripada Hijrah Nabi SAW
29 Jul 2022
ANE 20220812 perpaduan
Kukuhkan Perpaduan, Elakkan Perpecahan
12 Aug 2022
Iktibar Daripada Hijrah Nabi SAW
29 Jul 2022
ANE 20220812 perpaduan
Kukuhkan Perpaduan, Elakkan Perpecahan
12 Aug 2022
icon follow us

Daripada peristiwa hijrah, lahirnya kaum Muhajirin dan Ansar yang membantu kejayaan Baginda SAW dalam perjalanan bersejarah ini. Mereka adalah terbaik daripada kalangan umat Muhammad SAW.

Golongan Muhajirin ialah mereka yang yang berhijrah bersama Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah. Mereka ini sanggup meninggalkan tanah kelahiran, harta benda dan sanak saudara semata-mata untuk mencari redha Allah SWT.

Allah SWT memuji kaum Muhajirin dalam Surah Al-Hasyr ayat 8 :

لِلْفُقَرَآءِ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ ٱلَّذِينَ أُخْرِجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِمْ وَأَمْوَٰلِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنًا وَيَنصُرُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ

(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya)

Sementara Ansar pula ialah penduduk Madinah yang beriman, yang menyambut baik kedatangan Nabi SAW dan para Muhajirin dengan segala kemurahan hati dan mengorbankan segala perasaan kedekut serta sanggup berkongsi harta benda dan seluruh kehidupan.

Allah SWt memperkenalkan siapakah Ansar dalam Surah Al-Hasyr ayat 9

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلْإِيمَـٰنَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّآ أُوتُوا۟ وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Keperibadian termulia pada Muhajirin dan Ansar untuk dijadikan tauladan umat ialah :

Pertama : Kejujuran dan Keikhlasan

Al-Quran mengiktiraf para Muhajirin dan Ansar sebagai golongan jujur iaitu mereka yang membuktikan kata-kata mereka dengan tindakan dan perlaksanaan. Mereka dinobatkan sebagai penghulu golongan ikhlas lagi jujur.

Imam Qatadah, seorang ahli tafsir menyebut : “Mereka adalah Muhajirin yang sanggup meninggalkan tanah air dan harta benda serta kaum keluarga. Mereka keluar hanya lantaran cinta dan kasihkan Allah dan Rasulullah SAW. Mereka mengutamakan Islam walaupun terpaksa merempuh segala jenis jerih kepayahan sehingga ada disebutkan bahawa seseorang terpaksa mengikat batu di perut kerana kelaparan. Ada pula yang tidur dalam pasir yang digali kerana tiada selimut kerana kesejukan”.

Kedua : Memberi Pertolongan Penuh Kepada Rasulullah SAW

Kaum Muhajirin dan Ansar adalah orang yang paling memahami bahawa Rasulullah SAW adalah manusia pertama di dalam hidup yang mesti didahulukan dengan kesetiaan, keimanan dan kasih sayang. Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 6

ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ

Nabi SAW itu lebih patut untuk didahulukan oleh kaum Mukminin lebih dari diri mereka sendiri

Justeru para Muhajirin sangat memahami bahawa membantu Nabi SAW dalam semua situasi adalah kewajipan utama yang mesti ditunaikan.

Ketiga : Sabar dan Kuat Bertawakkal

Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kesabaran Muhajirin dan Ansar serta tawakkal mereka. Dalam Surah An-Nahl ayat 41-42, Allah SWT berfirman

وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ فِى ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا۟ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ ۖ وَلَأَجْرُ ٱلْـَٔاخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ ٤١
ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ٤٢

Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.
Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.

Keempat : Jihad dan Pengorbanan

Allah SWT menyebut perihal jihad dan jasa pengorbanan Muhajirin dalam Surah At-Taubah ayat 20

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ

(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Menurut Ibn ‘Aasyur : “Ayat ini menjadi bukti bahawa terdapat tiga serangkai amalan besar Islam iaitu, iman, hijrah dan jihad dengan nyawa dan harta yang melayakkan seseorang mendapat kejayaan sebenar iaitu habuan syurga”.

Marilah kita sebagai generasi terkemudian ini menjadi pengikut terbaik kepada generasi Muhajirin dan Ansar. Tiada pedoman sebaik pedoman yang ditinggalkan mereka. Tiada tauladan sebaik tauladan dan cara hidup pilihan mereka. Semoga kita meraih kejayaan yang telah diraih mereka dan terhimpun bersama golongan mereka di dalam nikmat abadi.

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

(Surah At-Taubah : 100)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Tauladan Keperibadian Muhajirin Dan Ansar
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more