Fungsi Manusia Memakmurkan Bumi : Pena Hijau

Fungsi Manusia Memakmurkan Bumi

ANE 20221103 perbezaan pandangan
Bijaksana Dalam Menguruskan Perbezaan Pandangan
3 Nov 2022
parti pemimpin malaysia pru15
Panduan Memilih Pemimpin PRU15
17 Nov 2022
ANE 20221110 memakmurkan bumi

Kehadiran manusia di muka bumi ini bukanlah tanpa tujuan. Mereka hadir dengan penuh pertanggungjawaban yang bakal dipersoalkan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun ayat 115:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَـٰكُمْ عَبَثًۭا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ١١٥

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu sia-sia (dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu)? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Allah SWT telah memberikan amanah kepada manusia untuk beribadah kepadanya. Melalui ibadah itulah akan tertanam ketaqwaan dalam jiwa manusia, sehingga mereka sentiasa mengagungkan Allah dan mengingatinya, tunduk dengan penuh ketaatan dan takutkan hari pembalasan. Mereka selalu meneguhkan ketauhidan serta berpegang teguh terhadap syariat dan hukum hakam. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur ayat 55

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًۭا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًۭٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan yang baik bahawa Dia pastilah akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang masih kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.”

Fungsi manusia untuk memakmurkan bumi melibatkan dua perkara utama.

Pertama : Dari segi kebendaan.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Hud ayat 61 :

 هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ وَٱسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

“Dia (Allah) telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu sebagai pemakmur di dalamnya.”

Zaid ibn Aslam berkata : “Ayat ini satu perintah kepada manusia untuk memakmurkan bumi dengan membina bangunan dan tempat tinggal, menggali saliran, bercucuk tanam dan sebagainya yang menjadi keperluan kehidupan“.

Kedua : Dari segi rohani.

Allah SWT berfirman dalam surah al Taubah ayat 18:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ ١٨

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta tetap mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain kepada Allah. Merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Ayat ini menganjurkan agar pengimarahan bumi bermula dari pengimarahan masjid. Pengimarahan masjid pula bukanlah dengan binaan fizikal semata-mata. Yang lebih utama ialah pengimarahan maknawi iaitu pengisian jiwa dan pembinaan insan yang hasilnya melahirkan manusia yang beriman, beribadat sebagai hamba Allah dan berbakti sebagai anggota masyarakat. Allah SWT berfirman dalam Surah al Hajj ayat 41:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ ٤١

“Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan.”

Kesimpulannya, tanggungjawab memakmurkan bumi bukan terhad kepada pembangunan materialistik semata-mata, sebaliknya membabitkan amanah memelihara prinsip-prinsip nilai keagamaan dan kesejagatan. Inilah tugas dan tanggungjawab manusia dalam memakmur dan membangunkan dunia selaras dengan maqasid syariah. Demikianlah, indah dan sempurnanya Islam sebagai “addin” satu cara hidup yang mencakup semua aspek dalam urusan agama dan kehidupan di dunia dan akhirat.

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ ٧٧

“Dan tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”

(Surah Al-Qasas : 77)

Share, Follow & Like :
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

close

Enjoy this blog? Please spread the word :) TQ