Hikmah Sabar Di Sebalik Musibah : Pena Hijau

Hikmah Sabar Di Sebalik Musibah

parti pemimpin malaysia pru15
Panduan Memilih Pemimpin PRU15
17 Nov 2022
tafakkur
Anugerah Ilahi Untuk Orang Yang Beriman
1 Dec 2022
parti pemimpin malaysia pru15
Panduan Memilih Pemimpin PRU15
17 Nov 2022
tafakkur
Anugerah Ilahi Untuk Orang Yang Beriman
1 Dec 2022
icon follow us

Sabar adalah salah satu sifat yang memberi manfaat yang sangat besar kepada setiap umat Islam. Dengan sabar masalah yang kita hadapi menjadi lebih ringan dan setiap perkara dapat diselesaikan dengan lebih tenang tanpa merasa gelisah dan tertekan.

Allah SWT suka, kasih dan cinta kepada orang-orang yang beriman dan sabar ketika mana mereka diuji dengan pelbagai ujian dalam hidup ini, sepertimana Allah SWT berfirman dalam surah A’li Imran ayat 146 :

وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ

“Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar”

Orang beriman yang kuat kesabarannya, akan sentiasa mendapat kebaikan dalam segala urusannya, akan sentiasa berada pada kedudukan redha dan merasa cukup kerana dia sentiasa bersyukur kepada Allah SWT dan bersabar.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik, dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya”

(Hadis Riwayat Muslim)

Bagi seorang yang benar-benar beriman, kesenangan yang diterima adalah anugerah dari Allah SWT, manakala musibah yang menimpa pula adalah ujian yang mampu menaikkan kedudukannya serta membuahkan pahala dari sisi Allah SWT.

Sekarang ini, kita berada pada musim hujan dan banjir yang boleh mendatangkan musibah pada bila-bila masa. Perlu diingatkan setiap musibah yang menimpa adalah ujian dan ketentuan daripada Allah SWT. Selagi mana kita masih bernafas dan menjalani kehidupan di atas muka bumi Allah ini, maka kita pasti akan diuji dengan musibah, dan setiap dari kita tidak akan dapat lari dari ujian musibah ini.

Antara jenis-jenis musibah yang disebut dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 155- 156 :

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٥٥

ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ ١٥٦

“Demi sesungguhnya! kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”

Dalam ayat ini, Allah SWT mengajar kita agar sentiasa bersabar di atas segala musibah yang menimpa kita. Orang-orang yang sabar ketika ditimpa musibah akan memperolehi tiga kelebihan sekaligus, iaitu; selawat, rahmat dan petunjuk Allah ke atas mereka. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 157 :

أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَٰتٌۭ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌۭ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ ١٥٧

“Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari tuhan mereka serta rahmatnya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya”

Al-Imam Ibnu Kathir menjelaskan dalam kitab tafsirnya, bahawa makna selawat Allah kepada orang-orang yang sabar ketika mendapat musibah memberi maksud mendapat pujian dari Allah SWT.

Terdapat banyak hikmah, kelebihan serta pengajaran untuk kita renungi dan insafi di sebalik musibah yang menimpa kita. Apa yang paling utama ialah musibah yang menimpa kita itu merupakan penghapus dosa.

Sabda Nabi SAW :

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu musibah bahkan duri yang melukainya sekalipun melainkan Allah akan menghapus kesalahannya dengan sebab musibah-musibah tersebut menimpa dirinya”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Maka dengan ini, hendaklah seorang muslim itu bersangka baik terhadap Allah SWT bahawa musibah yang menimpa dirinya itu merupakan penghapus dosa-dosa yang pernah dilakukannya selama ini. Bukanlah kerana Allah SWT membencinya. Dengan kita bersangka baik kepada Allah SWT maka ianya membuka pintu harapan dan menghilangkan sikap berputus asa terhadap Allah SWT. Ketahuilah, Allah tidak sesekali menimpakan ujian kecuali sesuai kemampuan hambaNya. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 286 :

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang kecuali dengan apa yang dia mampu”

Nabi SAW pula bersabda dalam hadis qudsi:

“Allah SWT berfirman : Wahai anak Adam, jika engkau bersabar dan mengharap pahala sejak awal tertimpa musibah, maka Aku pasti jaminan syurga untuk kamu.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Pahala percuma bukan sahaja diperoleh mereka yang menghadapi ujian, malah akan turut dikurniakan kepada mereka yang memberikan bantuan kepada mangsa bencana. Mereka yang membantu hamba Allah yang sedang dalam ujian itu perlu menyedari bahawa Allah SWT yang memberikan kesempatan dan menggerakkan hati untuk melakukan kebaikan.

Kesimpulannya marilah sama-sama kita renungi bahawa setiap ujian itu sebagai peluang untuk kita bermuhasabah dan memperbetulkan diri. Justeru, perbanyakkanlah bersabar dan bersyukur atas setiap ujian, kerana Allah Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih terhadap  hamba-Nya dan pasti akan memberikan yang lebih baik untuk setiap makhluk ciptaanNya di dunia dan akhirat.

قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ ٥١

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu (musibah) pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”

(Surah At Taubah ayat 51)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Hikmah Sabar Di Sebalik Musibah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more