Tuntutan Menjaga Masa Dalam Islam
15 Dec 2022Kepentingan Integriti Dalam Kehidupan
29 Dec 2022Hidup kita di dunia ini tidak selalunya indah, langit pun tidak selalunya cerah, ada suka, ada duka, ada riang ada tangisan, namun kita ada panduan daripada nabi SAW dalam menghadapi segala keadaan hidup di dunia ini. Antara pegangan hidup baginda SAW yang sangat utuh sehingga mendorong menjalani kehidupan tenang dan bahagia dalam apa jua situasi, susah atau senang adalah menyerahkan ketentuan hidup sepenuhnya kepada Allah SWT setelah berusaha bersungguh-sungguh.
Apa yang berlaku di alam ini semuanya dalam ketentuan Allah SWT. Manusia tidak dapat lari daripada hakikat ini. Manusia hanyalah perlu berusaha dan berikhtiar untuk mencapai sesuatu, namun yang menentukan adalah Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah Al-An’am 71 :
قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلْهُدَىٰ ۖ وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.
Penyerahan dalam ayat di atas adalah menerima segala ketentuan qada’ dan qadar daripada Allah SWT, redha dan tenang hati apabila menghadapi musibah dan bersyukur dengan nikmat-Nya. Firman Allah lagi dalam surah At-Taghabun ayat 11 :
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ ١١
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Kata ‘Alqamah : Ayat ini berkait dengan seseorang yang ditimpa sesuatu malapetaka, dia sedar bahawa ianya daripada Allah, dia menerima dan redha. Tanpa adanya penyerahan kepada Allah SWT apabila ditimpa musibah, ia mengundang rasa kecewa, putus asa, kemurungan serta boleh menjejaskan kesihatan diri. Oleh itu, marilah menghayati sabda nabi SAW yang bermaksud :
“Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin. Semua urusannya adalah kebaikan seluruhnya. Ia tidak dimiliki sesiapa kecuali bagi mukmin. Apabila dia menerima kegembiraan, dia bersyukur. Itu terbaik baginya. Apabila dia ditimpa malapetaka, dia bersabar. Itu terbaik baginya.”
(HR Muslim)
Harus difahami, semua perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah SWT. Hakikatnya segala apa yang berlaku kepada seseorang sama ada yang manis atau pahit adalah terbaik bagi dirinya di sisi Allah SWT. Sebab itu terimalah dengan hati yang tenang. Juga menjadi kebiasaanya bagi nabi SAW apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini, sama ada pada diri atau pada umatnya, segera baginda SAW berdoa mengadu pada tuhan di dalam solatnya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Huzaifah RA yang bermaksud :
“Apabila nabi SAW menghadapi sesuatu perkara yang besar baginda segera melakukan solat”
(Riwayat Imam Abu Daud)
Hadis ini menjelaskan apabila menghadapi sebarang musibah, perkara yang utama patut dilakukan adalah berdoa bersungguh-sungguh memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT sebagai tempat pengaduan utama sebagaimana yang dilakukan oleh baginda SAW. Setelah itu berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan sesuatu perkara yang dihadapi dengan tenang.
Penyerahan dan redha (tenang hati walaupun menempu sesuatu yang sukar) kepada Allah SWT setelah melakukan usaha yang sepenuhnya adalah di antara amalan nabi SAW yang sangat istimewa. Sebagai contohnya baginda SAW pernah pergi ke Thoif untuk menyampaikan dakwah di sana. Setelah beberapa hari berdakwah, masyarakat Thoif menolak dakwah baginda SAW secara terang-terangan. Mereka menghalau nabi SAW sambil melontar batu-batu sehingga berdarah tumit baginda SAW.
Setelah itu baginda SAW berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud :
“Ya Allah! Sesungguhnya aku mengadu kepada Mu lemah kekuatan dan helah serta hinanya daku pada pandangan manusia, wahai tuhan yang amat mengasihani, Engkau lah tuhan bagi orang-orang yang lemah… Namun begitu jika Kamu tidak murkakan daku aku tidak peduli apa pun yang berlaku pada ku”
Dalam kisah ini baginda SAW sentiasa mengadu kepada Allah apa yang berlaku. Di sebalik derita dan sengsara, redha Allah adalah lebih utama dalam perjuangan baginda. Rasulullah SAW mengajar kepada kita bagaimana mencapai ketenangan dan redha Allah dengan mengamalkan zikir berikut pada waktu pagi dan petang yang bermaksud :
رَضِيْتُ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنًا، وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيًّا وَرَسُوْلًا
“Aku meredhai Kamu ya Allah sebenar-benar tuhan, aku meredhai agama Islam sebenar-benar agama dan aku meredhai nabi Muhammad SAW sebenar-benar nabi dan rasul”
Allah berfirman
أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ٢
وَلَقَدْ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَلَيَعْلَمَنَّ ٱلْكَـٰذِبِينَ ٣Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Surah Al-‘Ankabut : 2-3