Kehidupan Bermula Pada Usia 40 Tahun?
4 Jan 2023Sifat Mulia ‘Ibadur Rahmaan
12 Jan 2023Muhasabah adalah perkara baik namun tidak disukai kerana kebanyakan manusia tidak suka untuk menilai dan melihat kekurangan diri sendiri. Muhasabah umpama ubat yang pahit, tidak enak namun ia adalah penawar yang mengubati seribu satu penyakit. Sungguhpun menilai diri bukan sesuatu yang menyeronokkan, tetapi orang yang sering bermuhasabah akan dapat membersihkan diri daripada kejahilan, dosa dan noda. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya :
“Seseorang kamu dapat melihat habuk di mata saudaranya, sedang dia lupa dengan papan melintang di depan matanya sendiri”
(Hadith riwayat Ibn Hibban)
Sesungguhnya, seorang mukmin yang kuat serta yang teguh imannya ialah mukmin yang bukan saja beriman kepada Allah SWT dengan hati serta mengakui secara lisan, bahkan melaksanakan segala perintah Allah SWT serta menjauhi segala larangan-Nya. Manakala mukmin yang lemah imannya pula ialah mereka yang sekadar mempercayai dan membenarkan adanya Allah SWT, berikrar dengan mengucap dua kalimah syahadah, tetapi cara hidup dan tingkah laku mereka bercanggah dengan akhlak dan syariat Islam.
Firman Allah SWT dalam surah Anbia ayat 90 :
إِنَّهُمْ كَانُوا۟ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًۭا وَرَهَبًۭا ۖ وَكَانُوا۟ لَنَا خَـٰشِعِينَ
“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta terus takut dan mereka pula sentiasa khusyuk kepada kami.”
Dengan peringatan ini, maka dapat difahami, perlumbaan di sini membawa maksud perlumbaan melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Maka, kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Di dalam kehidupan kita seharian, kita akan selalu diuji oleh Allah SWT sama ada melalui kesenangan hidup ataupun musibah tertentu seperti merebaknya wabak COVID-19 yang masih dihadapi di seluruh dunia sehingga sekarang ini. Apabila kita memperolehi kejayaan atau kesenangan, kita wajib bersyukur kepada Yang Maha Berkuasa. Manakala, apabila kita ditimpa dengan musibah atau masalah, kita wajib bersabar dan redha dengan ketentuan Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 139 :
وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ١٣٩
“Janganlah kau bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman.”
Hasan Al-Basri pernah berkata : “Sekiranya kita ingin mengetahui kedudukan kita di sisi Allah SWT, maka lihatlah bagaimana kita mengutamakan Allah dalam kehidupan kita.” Dari situlah ia menjadi petanda sama ada kita dekat atau jauh daripada redha Allah SWT.
Seseorang mukmin itu haruslah lebih banyak bermuhasabah dan melihat setiap sudut hidup ini sebagai anugerah dari Allah Yang Maha Esa. Sesungguhnya tidak akan bererti apapun yang dimiliki manusia jika tidak disertakan dengan rasa syukur dan yakin apa sahaja yang dimiliki adalah pinjaman dari Allah SWT.
Imam al-Ghazali pernah berkata : “Barangsiapa yang sering bermuhasabah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak“.
Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan muhasabah diri. Janganlah hingga ketibaan tahun baharu, barulah kita berkira-kira untuk menanam azam baru. Justeru. perbanyakkanlah kita bertaubat setiap hari. Moga-moga dengan sikap kita yang suka menilai diri, suka mencari kesalahan diri, suka menyibukkan diri dengan mencari kekurangan dan kelemahan diri akan meraih kasih sayang ALLAH kepada kita.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ ١٨
“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah; dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.