Sifat Mulia 'Ibadur Rahmaan : Pena Hijau

Sifat Mulia ‘Ibadur Rahmaan

Bermuhasabah Dengan Ketentuan Allah
5 Jan 2023
ANE 20230119 info scammer
Berhati-Hati Dengan Penipuan Siber Dan Scam
19 Jan 2023
Bermuhasabah Dengan Ketentuan Allah
5 Jan 2023
ANE 20230119 info scammer
Berhati-Hati Dengan Penipuan Siber Dan Scam
19 Jan 2023
insan rabbani
icon follow us

Marilah kita mengambil pedoman al-Quran tentang ciri-ciri hamba Allah yang terpuji di dalam kitab suci ini, yang diberi gelaran ‘ibadur rahmaan (hamba Allah Yang Maha Penyayang). Mereka adalah tauladan terbaik dalam ketaatan kepada Allah secara sempurna dan ketinggian akhlak sesama hamba untuk dijadikan pedoman bagi sekelian manusia.

Antara ciri-ciri ‘ibaadur rahmaan ialah :

Pertama : Merendah diri dan penyantun. Apabila mereka berjalan di muka bumi, terlihat dari sikapnya itu sifat kesederhanaan, jauh dari sifat sombong, langkahnya teratur sopan tanpa mengada-ngada untuk menarik perhatian orang. Apabila ada orang yang mengucapkan kata-kata yang tidak senonoh, mereka tidak membalas kata-kata itu kecuali dengan ucapan yang baik, yang mengandungi nasihat dan doa kesejahteraan semoga dia mendapat hidayah Allah SWT. Mereka ini berjiwa besar dengan bersifat penyantun dan mudah memaafkan orang lain. Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan ayat 63 :

وَعِبَادُ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى ٱلْأَرْضِ هَوْنًۭا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلْجَـٰهِلُونَ قَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا ٦٣

“Dan hamba-hamba Allah ar-Rahmaan ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan-santun, dan apabila bercakap kepada orang yang jahil, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini”

Kedua : Bertaqarrub kepada Allah secara ikhlas dengan Qiamullail. Apabila malam telah sunyi sepi, ketika manusia lain dibuai tidur yang lena, mereka bangkit bersolat tahajjud dan mendekatkan diri dengan penciptanya tanpa riya dan sum’ah serta jauh dari pandangan manusia. Mereka tinggalkan seketika kerehatan badan dan kenyamanan tempat tidur, untuk mereka menikmati dengan sepenuh jiwa dan hati yang tenteram keseronokan munajat bersama Tuhan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Furqan ayat 64 :

وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًۭا وَقِيَـٰمًۭا ٦٤

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri”

Ketiga : Takutkan pembalasan azab Allah SWT. Mereka selalu mengingati nasib di hari akhirat, iaitu hari perhintungan di mana semua manusia akan dipersoalkan amal perbuatan mereka. Di saat munajat itu tergambarlah dalam fikiran mereka, betapa dahsyatnya api neraka yang menanti manusia yang derhaka. Di kala itu menitislah air mata mereka ketakutan lalu memohon kepada Allah agar disisihkan dari siksaan bakaran api neraka. Firman Allah dalam Surah Al-Furqan ayat 65-66 :

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا ٦٥ إِنَّهَا سَآءَتْ مُسْتَقَرًّۭا وَمُقَامًۭا ٦٦

“Dan juga mereka yang berkata: Wahai Tuhan kami, palingkanlah azab Neraka Jahannam dari kami, kerana azabnya itu adalah seksa yang berkekalan. Sesungguhnya Neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk”

Keempat : Berbelanja dan berinfaq secara sederhana. Mereka tetap menjalani kehidupan dunia sebagaimana adatnya. Namun apabila berbelanja harta benda samada secara wajib, sunat atau harus, mereka tidak terlalu boros dan tidak pula terlalu kedekut. Mereka bijak memelihara keseimbangan dan kesederhanaan antara kedua sifat yang buruk itu. Sifat boros akan membawa kepada kemusnahan harta dan kerosakan sosial. Sifat kedekut pula akan memudaratkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling. Di dalam ayat 67 Surah Al-Furqan, Allah berfirman :

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا۟ لَمْ يُسْرِفُوا۟ وَلَمْ يَقْتُرُوا۟ وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًۭا ٦٧

“Dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan perbelanjaan mereka adalah betul sederhana”

Kelima : Mereka menjauhi dosa-dosa terbesar. Allah berbangga dengan bersih sucinya mereka dari kesalahan dosa besar khususnya dosa syirik, membunuh dan zina. Tiga perbuatan ini adalah dosa yang terbesar yang membinasakan agama, nyawa dan keturunan, serta merosakkan hubungan dengan Pencipta dan membawa malapetaka kepada kehidupan manusia. Dengan penuh rasa kesal dan insaf, mereka segera bertaubat apabila terjatuh melakukan kesalahan dosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 68 :

وَٱلَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًۭا ٦٨

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak, dan tidak pula mereka berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya”

Keenam : Menjauhi kesaksian palsu dan tidak mempedulikan perkara yang sia-sia. Allah SWT menyebutkan mereka adalah orang yang tidak sanggup menjadi saksi palsu sehinggakan menghilangkan hak mereka yang layak atau untuk membantu perbuatan zalim atau batil. Mereka juga akan menjauhi majlis-majlis mungkar yang melalaikan. Mereka melewati majlis-majlis sedemikian tanpa memperdulikannya kerana memelihara kemuliaan diri dari kebatilan dan kesesatan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 72 :

وَٱلَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا۟ بِٱللَّغْوِ مَرُّوا۟ كِرَامًۭا ٧٢

“Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka melintasinya dengan menjaga kehormatan diri (tanpa mempedulikannya)”

Ketujuh : Patuh dan tunduk kepada peringatan tuhan. Ketika terlalai atau terlupa, mereka mudah menerima baik peringatan yang datang tanpa sikap degil. Hati mereka terbuka untuk menerima nasihat dan mengambil pelajaran. Fikiran mereka lapang untuk merenungi ayat-ayat tuhan untuk difahami dan dihayati. Maka bertambahlah iman dan keyakinan mereka bahawa perintah Allah itu adalah tertinggi untuk ditaati. Allah berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 73 :

وَٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمْ لَمْ يَخِرُّوا۟ عَلَيْهَا صُمًّۭا وَعُمْيَانًۭا ٧٣

“Dan mereka yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang yang pekak dan buta”

Kelapan : Sentiasa berdoa untuk kebaikan diri, keluarga, keturunan dan umat. Tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, mereka selalu berdoa kepada Tuhan agar dianugerahkan pasangan dan keturunan yang baik yang benar-benar menyenangkan hati dan menyejukkan jiwa, dan ahli keluarga mereka menjadi orang yang soleh dan bertaqwa. Dengan demikian, bertambah ramailah di muka bumi ini manusia bercirikan ‘Ibadur rahmaan (hamba-hamba Allah yang maha penyayang). Di samping itu, mereka juga mengharapkan agar mereka menjadi pemimpin yang dapat mengajak manusia untuk bertaqwa di muka bumi ini, bukan pemimpin sekadar untuk mencari kedudukan dan pangkat. Ini terakam dalam firman Allah surah Al-Furqan ayat 74 :

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍۢ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا ٧٤

“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa”

Demikianlah ciri-ciri ‘ibadur rahmaan (hamba-hamba Allah Yang Maha Penyayang). Alangkah agung dan mulianya sifat-sifat mereka ini. Sesiapa yang berjaya memilikinya akan diredhai Allah dan ditempatkannya di akhirat nanti pada kedudukan termulia di sisinya.

أُو۟لَـٰٓئِكَ يُجْزَوْنَ ٱلْغُرْفَةَ بِمَا صَبَرُوا۟ وَيُلَقَّوْنَ فِيهَا تَحِيَّةًۭ وَسَلَـٰمًا ٧٥

“Mereka itu akan dibalas dengan tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya”

(Surah Al-Furqan : 75)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Sifat Mulia ‘Ibadur Rahmaan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more