Berhati-Hati Dengan Penipuan Siber Dan Scam : Pena Hijau

Berhati-Hati Dengan Penipuan Siber Dan Scam

insan rabbani
Sifat Mulia ‘Ibadur Rahmaan
12 Jan 2023
insan rabbani
Iman, Nikmat Allah Yang Agung
23 Feb 2023
insan rabbani
Sifat Mulia ‘Ibadur Rahmaan
12 Jan 2023
insan rabbani
Iman, Nikmat Allah Yang Agung
23 Feb 2023
ANE 20230119 info scammer
icon follow us

Syariat Islam telah diturunkan oleh Allah SWT sebagai suatu bentuk penyempurnaan nikmat terbesar ke atas umat manusia. Syariat ini merangkumi segala aspek kehidupan seorang muslim di dunia mahupun di akhirat dan salah satunya ialah syariat tentang perolehan dan pemeliharaan harta. Tujuannya supaya setiap manusia memperoleh hak dan memelihara harta dengan cara yang dibenarkan syariat dan bukannya melalui cara yang batil dan haram. Hayatilah firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 29 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًۭا ٢٩

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan salah, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antaramu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihi kamu”

Menerusi kefahaman ayat ini, umat Islam tidak dibenarkan untuk mengambil harta orang lain tanpa keizinan daripada pemiliknya. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, aktiviti jenayah penipuan siber atau scam banyak berlaku melibatkan pengambilan harta secara batil. Melalui kecanggihan dan kemudahan teknologi serta perbankan, penipu siber atau scammer berjaya memanipulasi, menipu dan memperdaya masyarakat dalam melakukan jenayah tersebut.

Hari demi hari, kes melibatkan penipuan siber atau scam direkodkan. Berdasarkan statistik, jumlah kes penipuan siber yang dilaporkan di seluruh negara bagi tahun 2017 hingga Jun 2022 adalah hampir mencecah 90 ribu kes yang melibatkan kerugian bernilai RM2.9 billion. Kes Belian Atas Talian mencatatkan kes tertinggi berbanding kes-kes yang lain iaitu melebihi 32 ribu kes. Pastinya, jumlah kes penipuan ini amatlah membimbangkan.

Kaedah dan cara jenayah siber sering berubah-ubah. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti beberapa kaedah dan modus operandi yang digunakan melalui internet dan media sosial. Antaranya adalah Macau Scam, Love Scam, jenayah e-Dagang, aplikasi malware, tipu pelaburan atau pinjaman tidak wujud, penyamaran sebagai pihak berkuasa seperti polis, pegawai pencegahan rasuah, pegawai kastam, wakil mahkamah, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, pegawai bank dan sebagainya.

Penjenayah semakin bijak memanipulasi kecanggihan teknologi masa kini dengan membangunkan aplikasi yang tidak selamat menggunakan perisian malware bertujuan untuk mengintip maklumat peribadi dan data perbankan mangsa. Jenayah parcel scam juga menjadi antara trend terkini di mana penjenayah bijak menyamar, sebagai contoh penyamaran sebagai syarikat kurier. Mangsa yang terpedaya didakwa mempunyai parcel atau barang yang tidak dituntut. Kemudiannya mendakwa laporan polis telah dibuat dan menyebabkan kegelisahan kepada mangsa sehingga mangsa mendedahkan maklumat peribadi akibat takut akan tindakan polis. Kedua-dua jenayah ini boleh disabitkan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Masyarakat yang terdesak atau ingin mencari pendapatan lebih mudah menjadi sasaran jenayah siber ini. Terpedaya dengan habuan kewangan yang ditawarkan, tanpa disedari mereka telah dipergunakan bagi tujuan akaun keldai atau akaun tumpang. Sebagai pemilik akaun, mereka akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas transaksi kewangan yang tidak sah dan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh penjenayah. Jika disabitkan kesalahan, pemilik akaun akan didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Haram dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Lindungilah diri daripada menjadi mangsa atau terlibat dengan jenayah ini. Antaranya:

  1. Semak dan rujuk agensi rasmi berkaitan untuk pengesahan tentang sesuatu perkara. Janganlah layan sebarang panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali, segera putuskan panggilan jika berasa curiga atau takut.
  2. Elakkan daripada klik sebarang pautan yang diterima daripada pihak tidak dikenali atau memuat turun sebarang aplikasi yang meragukan untuk mengelak daripada terdedahnya maklumat peribadi kita.
  3. Ahli keluarga perlulah berbicara dan mengingatkan tentang kaedah penipuan siber ini dan berbincanglah dengan orang lain sebelum melakukan transaksi kewangan yang besar dan mencurigakan.
  4. Berfikirlah dengan waras sebelum bersekongkol dengan penjenayah sebagai pemilik akaun keldai yang menyalahi undang-undang.

Beberapa saluran dan inisiatif yang digerakkan oleh PDRM dan institusi perbankan boleh menjadi rujukan kita semua. Antaranya, PDRM telah menubuhkan Pusat Respon Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), infoline, aplikasi SemakMule, hebahan maklumat dan informasi melalui aplikasi media sosial Facebook dan Instagram Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

ANE 20230119 info scammer

Institusi perbankan juga telah banyak menyebarkan informasi tentang bahaya menjadi mangsa jenayah penipuan dan akibat terlibat dengan akaun keldai. Oleh yang demikian, diharapkan supaya kita dapat sama-sama menyebarkan mesej ini kepada rakan, ahli keluarga dan orang di sekeliling kita sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 :

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ٢

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”

Kesimpulan yang dapat diambil ialah :

  1. Islam amat mementingkan aspek penjagaan harta dalam kehidupan manusia dan dilarang mengambil harta dan merampas harta orang lain dengan cara yang batil.
  2. Sentiasa waspada dengan sebarang bentuk penipuan / scam dan cakna dengan muslihat yang dilakukan oleh scammer serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa.
  3. Lindungi data peribadi dan maklumat akaun bank supaya kita tidak mudah menjadi mangsa jenayah siber.

مَّا يَفْتَحِ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحْمَةٍۢ فَلَا مُمْسِكَ لَهَا ۖ وَمَا يُمْسِكْ فَلَا مُرْسِلَ لَهُۥ مِنۢ بَعْدِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ ٢

“Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

(Surah Fathir : 2)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Berhati-Hati Dengan Penipuan Siber Dan Scam
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more