Iman, Nikmat Allah Yang Agung
23 Feb 2023Ramadhan Bulan Yang Mulia
16 Mar 2023Syahadah merupakan pintu gerbang suci bagi seorang manusia untuk memeluk agama Islam yang setia. Syahadah pada bahasa bermaksud ikrar dan pengakuan. Menurut istilah pula syahadah ialah pengakuan tentang keesaan Allah SWT dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Syahadah bukanlah sekadar pernyataan dan ikrar seorang Muslim dengan mengucapkannya, tetapi ia perlulah memenuhi beberapa syarat dan tuntutan agar ikrar syahadah menjadi lengkap dan diterima di sisi Allah SWT.
Berdasarkan kefahaman yang jelas daripada nas-nas al-Quranul Karim dan al-Hadis, terdapat beberapa syarat dan tuntutan kepada kesempurnaan kalimah syahadah, antaranya ;
Pertama : Ilmu. Ilmu merupakan asas kepada pengesahan syahadah. Oleh kerana itu, seseorang harus mengetahui maksud syahadah ketika melafazkannya. Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 19 :
فَٱعْلَمْ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسْتَغْفِرْ لِذَنۢبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَىٰكُمْ ١٩
Bermaksud: “Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada tuhan yang layak disembah selain Allah dan mohonlah keampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan”
Dalam ayat ini, Allah SWT telah memulai firman-Nya dengan kalimah فَٱعْلَمْ “maka ketahuilah” sebelum bersyahadah. Setiap orang yang bersyahadah harus mengetahui dengan benar tentang apa yang diucapkannya. Kejahilan dalam memahami kandungan kalimah syahadah menyebabkan ucapan seseorang tak ubahnya seperti alat perakam suara atau burung kakak tua yang pandai mengucapkan kata-kata tanpa mengetahui maknanya.
Kedua: Keyakinan. Melalui keyakinan, seseorang akan terhindar dari keraguan dan akan melangkah dengan kepastian. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15 :
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ ١٥
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-syorang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar”
Jika kalimah syahadah itu tidak diiringi dengan keyakinan secara total atas semua kandungannya, maka ia tidak mungkin lagi disebut syahadah yang benar.
Ketiga: Ketundukan. Sesungguhnya makna Islam itu sendiri membawa maksud kepatuhan dan ketundukan, di mana seseorang yang masuk Islam dikehendaki tunduk dan patuh terhadap segala aturan dan hukum-hakam yang ada di dalamnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tidaklah beriman seseorang kamu sehingga hawa nafsunya tunduk kepada ajaran yang aku bawa”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Justeru, Allah SWT menegaskan keabsahan iman hanyalah apabila adanya ketundukan tanpa keberatan dan keresahan. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ 65 :
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًۭا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًۭا ٦٥
Maksudnya : “Maka demi Tuhanmu, mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam perselisihan yang timbul di antara mereka kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”
Keempat: Kejujuran. Setiap orang yang berikrar syahadah hendaklah berlaku jujur, tidak berpura-pura atau berdusta. Ucapan lisan mestilah seiring sejalan dengan fikiran dan hatinya. Kerana itu Allah tidak memperakui ucapan Abdullah bin Ubai bin Salul yang berikrar syahadah dengan lisan tanpa kejujuran dalam hatinya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 8 dan 9 :
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ ٨ يُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ ٩
Bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang mengatakan: ‘Kami beriman kepada Allah dan hari akhirat’, padahal mereka itu sebenarnya bukanlah orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal hakikatnya mereka hanya menipu diri mereka sendiri, sedangkan mereka tidak menyedari”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Tiada seorang pun yang bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad saw adalah utusan Allah dengan jujur dalam hatinya, kecuali Allah mengharamkannya disentuh api neraka”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Kelima: Ikhlas. Ikrar syahadah harus dilakukan dengan penuh keikhlasan mengharap redha Allah SWT, bukan kerana pengaruh duniawi dalam bentuk apa jua sekali pun. Allah SWT berfirman dalam surah al-Bayyinah ayat 5 :
وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلْقَيِّمَةِ ٥
Bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar”
Marilah sama-sama kita menjaga kesempurnaan syahadah kita dengan ilmu, kepatuhan dan ketundukan kepada syariat dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, kerana itulah sahaja kunci termakbulnya syahadah dan amalan kita. Sebaliknya, kejahilan, keingkaran, kemunafikan dan kesyirikan merupakan penghancur amal dan wajib dijauhi agar tidak merosakkan kesaksian syahadah yang telah kita ikrarkan.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ فِرَٰشًۭا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءًۭ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًۭا لَّكُمْ ۖ فَلَا تَجْعَلُوا۟ لِلَّهِ أَندَادًۭا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ٢٢
Bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)”