Berhati-Hati Dengan Penipuan Siber Dan Scam
19 Jan 2023Kesempurnaan Syahadah Dalam Islam
11 Mar 2023Iman merupakan nikmat Allah yang paling agung yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambaNya, berbanding dengan nikmat-nikmat yang lain. Oleh itu bersyukurlah kerana kita masih hidup dalam keadaan beriman kepada Allah. Tanpa iman, seseorang tidak akan dapat merasai nikmat syurga Allah.
Firman Allah dalam surah al Hujurat ayat 7 :
وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ ٱلْإِيمَـٰنَ وَزَيَّنَهُۥ فِى قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ ٱلْكُفْرَ وَٱلْفُسُوقَ وَٱلْعِصْيَانَ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلرَّٰشِدُونَ …
“…Dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus”
Kesyukuran terhadap nikmat iman dan hidayah ini bukan sahaja diucapkan di dalam dunia, tetapi juga diucapkan di dalam syurga nanti, sebagaimana Allah SWT menceritakannya dalam surah al A’raf ayat 43 dengan firman-Nya :
… وَنَزَعْنَا مَا فِى صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمُ ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ وَقَالُوا۟ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى هَدَىٰنَا لِهَـٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِىَ لَوْلَآ أَنْ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ
“Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); …”
Para sahabat juga sentiasa mengingati dan mensyukuri nikmat iman ini setiap masa dan keadaan sepanjang hayat mereka sehingga ketika sedang menggali parit dalam menghadapi peperangan Ahzab pun mereka selalu menyebut doa ini yang maksudnya :
“Ya Allah kalau tiada Mu, kami tidak akan mendapat hidayah, kami tidak akan tahu bersedekah dan kami tidak akan tahu mendirikan solat”
Iman bukan sesuatu yang boleh dijual beli atau diwarisi tetapi ia adalah anugerah khas daripada Allah SWT. Iman sentiasa berubah-ubah dari masa ke masa, kadang-kadang meningkat atau bertambah dan kadang-kadang menurun atau berkurang, bergantung kepada sejauh mana cara penjagaan dan pemeliharaannya. Antara aktiviti yang perlu dijalankan bagi menyubur dan meningkatkan keimanan ialah:
Pertama : Mendalami ilmu pengetahuan berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak, serta beramal dengannya. Ini kerana ilmu menjadi asas kepada kesempurnaan iman dan amal soleh, manakala amal soleh pula merupakan aktiviti yang boleh menyubur dan meningkatkan keimanan seseorang. Kombinasi antara iman dan amal soleh layaklah seseorang itu untuk memasuki syurga Allah.
Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 82 :
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
“Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya”
Kedua : Memperbanyakkan doa kepada Allah supaya mengekalkan keimanan dalam hati kita buat selama-lamanya. Tanpa pertolongan Allah kita tidak akan mampu menjaga dan memeliharanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
Sesungguhnya iman itu akan menjadi lusuh di dalam rongga seseorang kamu sebagaimana lusuhnya pakaian, oleh itu mintalah kepada Allah SWT supaya Ia memperbaharui iman di dalam hati kamu.
(HR al Tabrani)
Antara doa yang perlu didoakan ialah doa yang disebut oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 8 :
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya”
Dan doa yang Rasulullah SAW banyak membacanya ialah :
يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
“Wahai Tuhan Yang membalik-balikkan hati tetapkanlah hatiku di atas agamaMu”
(HR Ahmad)
Ketiga : Memperbanyakkan amalan ketaatan yang berbentuk fardu mahupun yang berbentuk sunat. Baca amalan-amalan fardhu ataupun sunat di sini.
Keempat: Menghindarkan diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan Iman, sama ada dalam bentuk percakapan, atau perbuatan atau Iktikad. Antara percakapan yang boleh merosakkan iman ialah memaki hamun dan mempersenda-sendakan Allah, agamaNya, para RasulNya, kitab-kitabNya, dan para Malaikatnya serta mengingkari kewajipan yang diketahui dari agama secara mudah, seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.
Antara perbuatan yang boleh merosakkan iman pula ialah beribadat kepada yang lain daripada Allah, menyertai aktiviti keagamaan agama lain, mengamalkan ilmu sihir atau menggunakan sihir terhadap seseorang, menghina mushaf al Quran seperti mengotorkannya, memijak ke atasnya atau membuangkannya di tempat kotor atau najis dan sebagainya dan menolong orang kafir untuk memerangi orang Islam.
Antara iktikad yang boleh merosakkan iman ialah menganggap semua agama itu adalah sama, menganggap hukum hakam dalam Islam tidak relevan lagi pada masa kini, beriktikad bahawa ada yang lain daripada Allah berhak untuk disembah dan menganggap tidak perlu lagi beribadah kerana telah mencapai maqam tertentu.
Kesimpulannya, Iman merupakan nikmat yang teragung yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang terpilih, justeru jaga dan peliharakanlah iman yang ada pada diri kita dengan baik, sebagai tanda bersyukur kepada nikmat Allah, jangan sekali-kali melakukan sesuatu yang boleh merosakkannya. Mudahmudahan ia akan berkekalan bersama kita hingga ke akhir hayat, yang melayakkan kita untuk memasuki syurga Allah SWT. Insya-Allah..
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ءَامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَٱلْكِتَـٰبِ ٱلَّذِى نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَٱلْكِتَـٰبِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا
“Wahai orang-orang yang beriman! tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, SAW), dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”