Jenis-Jenis Pelaburan Di Malaysia : Pena Hijau

Jenis-Jenis Pelaburan Di Malaysia

20240121 tips jimat duit kertas
6 Tips Simpan Duit
21 Jan 2024
20240129 kubur pinang baru pintu geng
Projek Pembelian Tanah Untuk Tanah Kubur Pinang Baru
29 Jan 2024
20240121 tips jimat duit kertas
6 Tips Simpan Duit
21 Jan 2024
20240129 kubur pinang baru pintu geng
Projek Pembelian Tanah Untuk Tanah Kubur Pinang Baru
29 Jan 2024
20240129 pelaburan di malaysia
icon follow us

Pelaburan mengikut Dewan Bahasa Dan Pustaka bermaksud sejumlah wang (modal dan sebagainya) yang dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga dan sebagainya [1]. Menurut Portal MyGOV, pelaburan adalah komitmen wang atau modal untuk membeli instrument kewangan atau asset lain untuk mendapatkan hasil yang menguntungkan dalam bentuk bayaran faedah, pendapatan, atau penambahan nilai intrumen [2].

Anda ingin melabur? Berikut adalah senarai pelaburan yang ada di dalam negara kita, Malaysia. Daripada seringkas membeli emas hinggalah melibatkan proses analisa teknikal dan fundamental bagi mencapai satu keputusan pelaburan yang terbaik.

#1 : Pelaburan Saham

Pelaburan saham merupakan salah satu kaedah pelaburan yang popular yang melibatkan aktiviti pembelian saham milik syarikat tertentu dan menjadi sebahagian pemilikan syarikat tersebut. Secara automatiknya, pelabur mempunyai tuntutan ke atas aset, pendapatan syarikat dan hak untuk menghadiri Mesyuarat Agung Pemegang Saham (MAPS).

Pelabur perlu ada pengetahuan dan kemahiran menggunakan pendekatan technical analysis dalam membaca carta pergerakan harga atau fundamental analysis dalam menilai sesebuah saham.

Keuntungan dalam saham dijana melalui kenaikkan harga saham dan juga melalui dividen yang dibayar oleh syarikat. Namun tidak semua saham akan membayar dividen kepada pemegang saham. Ia bergantung kepada kemampuan syarikat tersebut untuk membayar dividen. Kalau anda berjaya temui syarikat yang menunjukkan rekod membayar dividen dalam satu jumlah yang makin tinggi itu adalah satu bonus.

Walaupun harga saham ada pasang surutnya,  namun secara umumnya untuk jangka masa panjang, ia mampu memberi keuntungan kepada para pelabur.

Jika anda ingin mengetahui lebih mendalam tentang pelaburan saham, boleh dapatkan ebook Jom Labur Saham oleh Dr. Zul Izzi Nordin.

Jenis-Jenis Pelaburan Di Malaysia

#2 : Pelaburan Bon

Bon adalah instrumen kewangan yang dikeluarkan oleh kerajaan atau syarikat untuk mengumpulkan dana. Ia boleh dianggap sebagai pinjaman yang diberikan oleh pelabur kepada penerbit bon. Dalam pertukaran pinjaman ini, penerbit bon berjanji untuk membayar balik jumlah pinjaman beserta faedah dalam tempoh yang ditetapkan.

Begitu juga dengan sukuk, berfungsi sama seperti bon tetapi ianya patuh syariah.

Di Malaysia, penerbit bon terutamanya adalah kerajaan, bank-bank, dan syarikat-syarikat yang mempunyai keperluan untuk mendapatkan dana tambahan. Bon kerajaan adalah yang paling popular di kalangan pelabur. Bon kerajaan ini biasanya mempunyai tempoh penuh dari beberapa bulan hingga beberapa tahun.

Pelaburan bon atau sukuk berisiko rendah dan memberikan pendapatan yang tetap kepada pelabur. Namun jika kadar inflasi meningkat, keuntungan boleh mengecut.

#3 : Pelaburan Hartanah

Pelaburan hartanah melibatkan pembelian, pemilikan, pengurusan, penyewaan atau penjualan harta tanah sama ada rumah, bangunan komersial atau tanah dengan tujuan untuk mendapatkan pulangan yang baik melalui kutipan sewa atau peningkatan dari segi harga.

Salah satu kelebihan pelaburan hartanah di Malaysia adalah pulangan yang stabil dan berkekalan. Hartanah merupakan aset yang bernilai dan cenderung meningkat dari masa ke semasa. Dengan membeli hartanah pada harga yang berpatutan dan menunggu sehingga nilainya meningkat, pelabur boleh mendapatkan pulangan yang lumayan. Selain itu, penyewaan hartanah juga merupakan sumber pendapatan pasif yang stabil.

Berikut adalah ebook-ebook yang boleh anda baca jika berminat untuk mencebur diri dalam pelaburan hartanah.

Rahsia Ejen Hartanah

Rahsia Ejen Hartanah

Pintas Hartanah

Pintas Hartanah

Jutawan Homestay

Jutawan Homestay

Rahsia Rumah Lelong

Rahsia Rumah Lelong

#4 : Mutual Fund

Mutual fund beroperasi dengan mengumpulkan dana dari banyak pelabur untuk dilaburkan dalam sebuah portfolio yang mengandungi instrumen kewangan terdiri daripada saham, bon, dan lain-lain kelas aset yang dikawal oleh pengurus dana professional.

Ia sesuai untuk individu yang tiada masa dan kurang berkemahiran dalam menguruskan sendiri portfolio pelaburan.

#5 : Akaun Simpanan

Seperti ASB, Tabung Haji dan juga di akaun simpanan bank pilihan masing-masing. Ianya Selamat, mudah dicairkan/dikeluarkan, menghasilkan pulangan sekitar 0.25-0.30% sahaja dan simpanan dilindungi oleh PIDM sehingga RM250,000 untuk setiap pendeposit.

#6 : Akaun Fixed Deposit

Simpanan melalui FD biasanya menawarkan pulangan yang lebih besar berbanding akaun simpanan biasa. Kadar pulangannya antara 2.5-3.0%. Pendeposit tidak akan dapat mengeluarkan simpanan FD untuk satu tempoh yang dipersetujui.

#7 : Pelaburan Logam Berharga

Logam berharga seperti emas atau perak menyimpan nilai sesuatu matawang. Ianya tidak menyusut disebabkan kesan inflasi. Kebanyakan pelabur akan membeli emas dalam bentuk bar atau koin.

Pelaburan logam berharga melibatkan aktiviti pembelian logam dalam bentuk emas ataupun perak. Salah satu syarikat pengeluar emas adalah Public Gold.

Anda boleh membeli emas fizikal di PG Mall atau membuka akaun simpanan emas yang patuh syariah di Public Gold (Akaun Emas GAP).

#8 : Cryptocurrency

Pelaburan cryptocurrency melibatkan aktiviti perdagangan matawang kripto. Pelaburan ini boleh meningkat dan menurun secara mendadak dalam masa yang singkat. Di Malaysia, ada beberapa bursa yang mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Sekuriti untuk menjalankan aktiviti pelaburan cryptocurrency seperti :

  1. Hata Digital Sdn. Bhd.
  2. Luno Malaysia Sdn. Bhd
  3. MX Global Sdn Bhd
  4. Sinegy Dax Sdn. Bhd.
  5. Tokenize Technology (M) Sdn. Bhd.

Mengikut hukum Islam, ulama berbeza pandangan. Ada ulama yang mengharamkan dan ada yang mengharuskan.

Hukum Ulama
Haram Darul Iftaa’ Misriyyah, Syeikh ‘Ali Qaradaghi, Wifaq al-Ulama, Dr. Ahmad Sufyan Che Abdullah
Harus Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Dr. Zaharuddin & Mufti Muhammad Abu Bakar
Tawaqquf (belum memberi pandangan secara rasmi) International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)

Boleh rujuk Hukum Penggunaan Mata Wang Bitcoin oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan [3]s.

#9 : Akaun Persaraan

Akaun persaraan adalah salah satu instrumen pelaburan untuk membantu individu mempunyai dana yang mencukupi untuk tujuan persaraan. Bagi orang yang bekerja di Malaysia, kita mempunyai akaun persaraan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Selain KWSP, ada juga institusi kewangan lain yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang menawarkan Skim Persaraan Swasta (PRS).

#10 : Komoditi

Di Malaysia, di antara komoditi yang popular yang biasa didagangkan adalah minyak mentah (WTI dan Crude), FCPO (minyak kelapa sawit), emas dan perak. Pelabur membuat pelaburan komoditi menerusi kontrak niaga hadapan (futures contract) atau exchange traded funds (ETF) dan boleh menyemak pergerakkan harga komoditi melalui carta pergerakkan harga.

Jika anda ingin mengetahui lebih mendalam mengenai salah satu pelaburan komoditi iaitu FCPO (Crude Palm Oil Futures), boleh dapatkan ebook di bawah.

Jenis-Jenis Pelaburan Di Malaysia

#11 : Forex Trading

Forex adalah singaktan daripada foreign exchange. Forex trading pula adalah “aktiviti perniagaan” tukar beli mata wang. Dengan kata lain, individu “berdagang” mata wang untuk tujuan mendapatkan keuntungan. Mereka boleh membuat keuntungan sama ada ketika nilai sesebuah mata wang itu sedang naik atau ketika ia turun.

Perdagangan forex adalah salah satu perdagangan yang mempunyai kecairan (liquidity) yang tinggi. Pemain forex boleh melihat hasil atau kesan keputusan pelaburan yang dilakukan dalam masa yang singkat, sama ada rugi atau untung. Walau bagaimanapun, bagi orang Islam, hukum berdagang forex adalah HARAM . Anda boleh rujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 : Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik [4] dan juga Hukum Trading Forex Untuk Tujuan Bersedekah [5].

#12 : Barangan Koleksi

Barangan koleksi seperti karya seni, barangan antik, kereta vintaj, jam tangan, mainan, duit lama dan barangan yang mempunyai had pengeluaran (limited edition) sering dijadikan koleksi bagi individu yang mempunyai minat mengumpul barangan tersebut. Harga barangan koleksi tersebut akan meningkat dari segi nilainya apabila dijual semula kepada individu lain yang ingin menjadikannya sebagai koleksi juga.

#13 : Ilmu

Ilmu dan kemahiran baru juga merupakan satu pelaburan yang boleh menjana pendapatan. Individu yang membelanjakan wang untuk mengikuti program ilmu, kursus, workshop atau pembelajaran kendiri sebenarnya melaburkan masa dan wang untuk meningkatkan pengetahuan. Seiring dengan bertambahnya ilmu, kemahiran dan kepakaran dalam sesuatu bidang, individu tersebut berupaya menjana pendapatan yang lumayan.

#14 : Anuiti Tetap

Anuiti tetap atau fixed annuities merupakan satu kontrak insurans yang menawarkan bayaran tetap dan terjamin sepanjang tempoh tertentu atau seumur hidup. Pelabur akan membeli kontrak anuiti tetap sama ada dengan membuat bayaran secara lump sum, atau pun membuat bayaran secara berkala. Pihak penanggung insurans kemudiannya akan membuat bayaran tetap, biasanya dengan kadar faeedah tetap apabila telah tiba masanya.

#15 : Real Estate Investment Trusts (REIT)

REIT atau Amanah Pelaburan Hartanah adalah sebuah instrumen pelaburan yang membolehkan seorang individu “membeli” hartanah mahal atau mewah seperti hotel pada harga mampu milik. Hartanah di bawah REIT mampu menjana pendapatan seperti pusat membeli belah, hospital, kilang, pejabat dan ladang.

Mengikut Bursa Malaysia, ada lima REIT yang patuh syariah (i-REIT) [6] iaitu :

  1. Al-‘Aqar Healthcare REIT (ALAQAR) – hospital dan hotel
  2. Axis REIT (AXREIT) – gudang, pejabat dan kilang
  3. KLCC REIT (KLCC) – pejabat dan kedai
  4. Al-Salam REIT (ALSREIT) – pejabat dan kilang
  5. AME REIT

#16 : Robo Advisor Investment

Robo Advisor merupakan sebuah platform digital yang menggunakan teknologi algorithm untuk mengautomasikan portfolio pelaburan anda. Pelabur akan diminta untuk menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan matlamat pelaburan dan toleransi risikonya. Kemudian secara automatik, platform robo advisor ini akan mencadangkan portfolio pelaburan yang bersesuaian dengan pelabur.

Di Malaysia, antara platform Robo Advisor Investment adalah Raiz, BEST Invest,

Wahed Invest adalah sah di sisi undang-undang Malaysia kerana ianya merupakan robo-advisor yang pertama dikawal selia di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC). Bahkan Wahed Invest merupakan satu-satunya daripada tujuh robo-advisory di Malaysia yang patuh syariah dan mesra muslim. Jadi tiada keraguan untuk menggunakannya. Baca selanjutnya di sini : Modal Pelaburan Percuma RM10 Dengan Berdaftar di Wahed Invest.

#17 : Laman Web atau Blog

Laman web dan juga blog boleh dijadikan sebagai salah satu alat untuk melabur. Buktinya, sesiapa pun boleh menjana pendapatan melalui :

  1. Program pengiklanan
  2. Program affiliate
  3. Jualan produk atau perkhidmatan
  4. Langganan konten

Ada 2 cara anda boleh melabur di laman web

  1. Bina laman web sendiri atau upah orang buatkan laman web untuk anda dan masukkan konten yang berkaitan dengan niche yang dipilih
  2. Beli mana-mana blog yang sudah terbukti sedang menghasilkan pendapatan secara terus dengan pemilik blog. Sesetengah pemilik blog mungkin tiada masa untuk menjaga blog miliknye disebabkan mempunyai banyak blog di bawah kendaliannya. Jika anda membuat tawaran yang menarik, tak mustahil ada pemilik blog yang bersetuju untuk menjual blog miliknya.

#18 : Kesihatan

Melabur untuk kesihatan juga adalah satu pelaburan yang baik. Anda boleh mengekalkan dan meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental anda dengan melakukan aktiviti senaman secara berkala, mengamalkan diet pemakanan yang seimbang, membuat pemeriksaan kesihatan, mengambil suppliment dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Dalam masa yang sama, anda dapat menjimatkan kos bagi tujuan rawatan dan ubat-ubatan yang sedia maklum semakin meningkat sekarang.

Kesimpulan

Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza terhadap pelaburan bergantung kepada faktor seperti ilmu, modal, tujuan yang ingin dicapai dan sebagainya. Kita semua patut melabur. Cumanya, di mana ingin melabur itu terpulang kepada anda. Selamat melabur.

 

Rujukan :

[1] Dewan Bahasa dan Pustaka. https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pelaburan

[2] MyGOV. https://www.malaysia.gov.my/portal/content/30864?language=my

[3] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (15 Nov 2018). Bayan Linnas Siri Ke-153 : Hukum Penggunaan Mata Wang Bitcoin. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2773-bayan-linnas-153-hukum-penggunaan-mata-wang-bitcoin

[4] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. (2012). Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/10293

[5] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (14 Mac 2022). Irsyad Fatwa Siri Ke-675 : Hukum Trading Forex Untuk Tujuan Bersedekah. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5160-irsyad-fatwa-siri-ke-675-hukum-trading-forex-untuk-tujuan-bersedekah

[6] Bursa Malaysia. Shariah-compliant Real Estate Investment Trusts (i-REITs). https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/islamic_market/bursa_malaysia_i/shariah_compliant_real_estate_investment_trusts

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Jenis-Jenis Pelaburan Di Malaysia
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more