Memperkasa Institusi Kejiranan : Pena Hijau

Memperkasa Institusi Kejiranan

20240104 azam tahun baharu
Muhasabah Dan Azam Tahun Baharu
5 Jan 2024
20230908 taubat istiqamah solat
Solat Membentuk Peribadi Mulia
19 Jan 2024
20240104 azam tahun baharu
Muhasabah Dan Azam Tahun Baharu
5 Jan 2024
20230908 taubat istiqamah solat
Solat Membentuk Peribadi Mulia
19 Jan 2024
20240112 jiran rumah kejiranan
icon follow us

Memperkasa Institusi Kejiranan | Perkataan jiran bukanlah suatu yang asing dalam kehidupan kita. Sebagai manusia, kita perlu hidup dalam masyarakat dan secara tidak langsung ia bermakna kita mempunyai jiran tetangga. Tersebut dalam kitab ‘mughni al muhtaj‘, jiran bermaksud orang yang tinggal berdekatan dengan rumah atau tinggal setempat sama ada dari arah kiri, kanan, hadapan atau belakang sehingga 40 buah rumah dari setiap arah. Ini bermakna, setiap orang dari kita semua mempunyai jiran tetangga sepanjang kehidupan kita.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, bahawa Islam sentiasa menyuruh umatnya agar sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan jiran dan sekali-kali tidak menyakiti mereka. Hal ini sejajar dengan sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang mafhumnya :

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Saya mempunyai jiran, dan anda juga mempunyai jiran. Namun, adakah jiran-jiran kita terselamat dari keburukan tangan-tangan kita? Adakah Jiran-jiran kita terselamat dari bahana lidah kita? Adakah jiran-jiran kita merasa aman dari perbuatan buruk kita? Renungkan Hadis Nabi di atas. Dan sejauh manakah kita beramal dengan hadis Rasulullah tersebut?

Terdapat satu lagi hadis Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Tidak masuk syurga, orang yang jirannnya tidak merasa aman dari keburukan perilakunya”

(Hadis riwayat Muslim)

Dalam satu hadis lagi yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA, bahawa Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud :

“Sentiasa Jibril berpesan kepadaku untuk berbuat baik kepada jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa tetangga itu boleh menerima harta pusaka”

(Hadis riwayat Ahmad)

Maka hayatilah betul-betul hadis-hadis Rasulullah di atas, agar kita memahami bagaimana agama kita memandang tinggi keharmonian dalam hidup berjiran serta kita berazam untuk mengamalkannya dalam kehidupan kita.

Ketahuilah, apabila kita mula menerapkan adab-adab Islam dalam kehidupan berjiran, kehidupan kita akan dipenuhi dengan kedamaian dan keharmonian, serta yang paling penting, kehidupan kita akan diberkati oleh Allah. Sikap hidup bermuafakat mula akan timbul dan segala kemungkaran yang berlaku dalam kawasan kediaman akan dapat dibasmi dengan mudah. Kehidupan akan menjadi lebih selesa dan berkualiti. Ini semua adalah hasil dari adab-adab Islam dalam kejiranan yang telah kita terapkan dalam kehidupan.

Namun sebaliknya, jika kita mengabaikan adab-adab Islam dalam berjiran, maka kehidupan akan menjadi tidak tenang, keharmonian masyarakat akan terjejas, kita akan disisihkan dari masyarakat setempat serta sukar mendapat pertolongan tatkala kita berada dalam kesusahan.

Memandangkan institusi kejiranan ini diberi perhatian yang besar oleh agama kita, marilah kita bersama-sama memperkasakan institusi kejiranan kita dengan menerapkan beberapa langkah berikut :

  1. Mengamalkan sikap bertegur sapa dan memulakan pertemuan dengan memberi salam.
  2. Menghormati jiran dengan menunjukkan muka yang ceria.
  3. Menghulurkan bantuan sekiranya jiran memerlukannya.
  4. Mempunyai semangat gotong-royong dan prihatin terhadap suasana kejiranan.
  5. Menghindari apa jua yang boleh mengganggu, menjejaskan kesentosaan atau menimbulkan ketidakselesaan dalam kejiranan, baik dari segi kebersihan, kerosakan harta benda, tanaman atau sebagainya lagi.

InshaAllah, sekiranya kita menerapkan langkah-langkah tersebut dalam kehidupan, kehidupan kita akan menjadi lebih berkualiti dan bermakna.

Sebagai penutupnya, marilah kita hayati kalam Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 36 :

وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًۭٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًۭا وَبِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلْجَنۢبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًۭا فَخُورًا ٣٦

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Memperkasa Institusi Kejiranan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more