Hikmah Dan Keberkatan Ramadhan : Pena Hijau

Hikmah Dan Keberkatan Ramadhan

20240314 ramadhan madrasah tarbiyah masjid keluarga puasa
Ramadhan : Madrasah Tarbawiyyah
14 Mar 2024
20240328 nuzul quran
Iktibar Daripada Peristiwa Nuzul Al-Quran
28 Mar 2024
20240314 ramadhan madrasah tarbiyah masjid keluarga puasa
Ramadhan : Madrasah Tarbawiyyah
14 Mar 2024
20240328 nuzul quran
Iktibar Daripada Peristiwa Nuzul Al-Quran
28 Mar 2024
20240322 ramadhan puasa
icon follow us

Hikmah Dan Keberkatan Ramadhan | Hari ini, kita berada di bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkat dan rahmat dari Allah. Di bulan Ramadhan ini terdapat peristiwa agung, iaitu Nuzul al-Qur’an (turunnya kitab suci al-Qur’an) yang berperanan sebagai Nur (cahaya), Hudan (petunjuk), dan rahmah bagi manusia seluruhnya.

Allah berfirman dalam surah al-Dukhan ayat 3 :

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةٍۢ مُّبَـٰرَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ٣

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran”

Antara hikmah dan keberkatan Bulan Ramadhan boleh difahami menerusi hadith Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, iaitu bulan yang diberkati, Allah telah memfardhukan atas kalian berpuasa padanya, dalam bulan tersebut dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, dan dalamnya pula terdapat Lailatul Qadar (Malam Qadar) yang lebih baik dari seribu bulan. Siapa sahaja yang terhalang dari kebaikan malam itu, maka sesungguhnya ia terhalang dari rahmah Tuhan”

(Hadis Riwayat. al-Nasa’i)

Persoalannya, mengapa kita dianjurkan untuk memohon keberkatan di bulan ini?

Jawapannya ialah keberkatan hidup menjadi idaman dan matlamat setiap muslim. Berkat memberi maksud bertambahnya kebaikan dalam setiap sesuatu, termasuk sejahtera dalam aspek material mahupun bukan material dalam hidup setiap manusia.

Berkat dalam aspek material umpamanya, seperti harta benda yang kita miliki dan usahakan makin bertambah dan beroleh keuntungan, lalu usaha untuk membuat kebajikan serta infaq juga turut meningkat.

Berkat dalam aspek bukan material pula bermaksud, wujudnya rasa ketenteraman hati dan jiwa kita, lalu mendorong untuk mempelajari, menambah ilmu pengetahuan dan memperbaiki hidup ke arah yang lebih baik dan bermanfaat, hati pula mengarahkan kepada sikap dan perbuatan yang penuh kebijaksanaan, tidak suka bermusuh dengan orang lain, tidak melampaui batas dalam membuat sesuatu pekerjaan, bahkan sentiasa memiliki sikap dan akhlaq yang mencerminkan rahmah dan kebaikan untuk seluruh alam (Rahmatan lil ‘alamin).

Antara hikmah dan berkat bulan Ramadhan ini sebagaimana mafhum daripada hadith Qudsi iaitu : Allah memakbulkan doa bagi orang yang berdoa; menerima taubat bagi orang yang bertaubat, serta memberi pengampunan atau maghfirah bagi orang yang pohon keampunan.

Pada bulan Ramadhan kita semua diwajibkan berpuasa, untuk menjadikan kita golongan yang bertakwa. Selain dari itu, terdapat banyak hikmah dari kewajipan puasa Ramadhan antaranya mensyukuri nikmat Allah yang diberikan kepada kita selama ini. Ini kerana, makna ibadah secara mutlak, termasuk ibadah puasa, adalah ungkapan tanda syukur dari seorang hamba kepada Tuhannya atas nikmat-nikmat yang telah diberikan kepadanya.

Dalam melaksanakan puasa Ramadhan, terdapat 3 manfaat iaitu :

  1. manfaat jiwa dan Rohani dengan membiasakan diri untuk bersikap sabar mengekang hawa nafsu, lalu melahirkan ciri taqwa sebenar. Sedangkan, taqwa kepada Allah itulah yang menjadi tujuan khusus dalam berpuasa Ramadhan.
  2. manfaat kemasyarakatan pula adalah mendidik kita untuk memiliki sifat tertib-terning, berdisiplin dan bersatu padu, cinta keadilan, lahirnya kasih sayang dan kesamaan sesama umat Islam : antara yang kaya dan yang miskin, antara pemimpin dan rakyat, antara pengusaha, majikan dan pekerja dan seterusnya. Tidak ada perbezaan di antara mereka, semuanya wajib berpuasa apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.
  3. manfaat kesihatan dengan membersihkan organ pencernaan, merehatkan anggota dan membersihkan dalaman badan daripada lendir-lendir, lemak-lemak, kolesterol yang menjadi punca segala penyakit.

Kesimpulannya, marilah kita menjadikan Ramadhan sebagai bulan kesederhanaan, bulan peribadatan, bulan memperbanyak berbuat kebajikan kepada orang-orang fakir, lagi yang memerlukan bantuan, bulan menjaga kesihatan anggota tubuh kita, ucapan kita dan hati kita dari hal-hal yang dilarang agama, seperti perkataan keji, mengumpat, menyebar fitnah, ungkapan kebencian, dan adu domba, baik secara langsung mahupun melalui media sosial.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Hikmah Dan Keberkatan Ramadhan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more