Iktibar Daripada Peristiwa Nuzul Al-Quran : Pena Hijau

Iktibar Daripada Peristiwa Nuzul Al-Quran

20240322 ramadhan puasa
Hikmah Dan Keberkatan Ramadhan
22 Mar 2024
20240407 kisah mata hati khalifah umar tentera islam
Mata Hati Khalifah Umar Al-Khattab
7 Apr 2024
20240322 ramadhan puasa
Hikmah Dan Keberkatan Ramadhan
22 Mar 2024
20240407 kisah mata hati khalifah umar tentera islam
Mata Hati Khalifah Umar Al-Khattab
7 Apr 2024
20240328 nuzul quran
icon follow us

Iktibar Daripada Peristiwa Nuzul Al-Quran | Nuzul al-Quran bermula pada bulan Ramadhan secara beransur-ansur mengikut peristiwa dan keadaan yang berlaku. Al-Quran memperihalkan kisah umat terdahulu, termasuk suruhan dan larangan, serta perkara ghaib.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Al-Baqarah ayat 185 :

… شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al- Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)…”

Antara hikmah penurunan al-Quran bolehlah dirumuskan sebagaimana berikut :

Pertama : sebagai keterangan dan panduan kepada manusia. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah An-Nahl ayat 44 :

وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ…

“…Dan Kami turunkan kepada mu (Wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya”

Kedua : Al-Quran sebagai hukum yang membawa kebenaran dan keadilan kepada manusia. Firman-Nya dalam surah al-Nisa’, ayat 105 :

إِنَّآ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَآئِنِينَ خَصِيمًۭا ١٠٥

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepada mu (Wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum dalam kalangan manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepada mu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang yang khianat”

Al-Quran selain untuk dibaca dan dihafal, ia juga perlu difahami, diamalkan dan dijadikan panduan hidup dalam segenap perkara.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membuktikan kepada dunia bahawa ajaran al Quran tidak sekali-kali membawa kekerasan, keganasan atau kezaliman terhadap umat manusia termasuklah alam sekitar. Al-Quran juga bukanlah sumber kelahiran  golongan yang sempit pemikirannya atau yang berjuang secara ekstrem tanpa menghormati hak-hak kemanusiaan.

Sebaliknya kita berpegang dan beramal berasaskan kefahaman mulia yang jelas berpandukan ajaran al-Quran dan Hadith Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam.

Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah NabiNya shollallahu ‘alaihi wa sallam”

(Riwayat Imam Malik bin Anas)

Umat Islam disarankan agar membaca al-Quran dengan betul dan mengikut hukum tajwid yang diajarkan dengan baik. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Al-Muzammil ayat 4 :

وَرَتِّلِ ٱلْقُرْءَانَ تَرْتِيلًا…

“…Dan bacalah Al-Quran dengan Tartil”

Bacaan secara tartil bermaksud membaca al Quran secara teratur, penuh perhatian serta menyempurnakan makhraj dan sifat huruf.

Justeru itu, pembacaan al Quran secara tartil dalam suasana kumpulan tadarus adalah peluang terbaik untuk memperbaiki bacaan al-Quran serta menyelidiki hikmah yang terkandung di dalamnya, supaya dapat bersama-sama mengambil manfaat daripadanya. Ini akan meningkatkan ketakwaan dan memperbanyakkan amalan soleh yang diredhai Allah subhanahu wa ta’ala.

Kesalahan yang berlaku dalam membaca al Quran, boleh dielakkan dengan kaedah mengaji secara berguru dan bertalaqqi. Selagi kita masih dalam suasana pembelajaran, sebarang kesilapan yang berlaku tanpa sengaja adalah dimaafkan dan tidak akan dilaknat oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Kesimpulannya, antara hikmah Nuzul al-Quran adalah :

  1. Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam dan panduan hidup bagi umat Islam sepanjang zaman.
  2. Al-Quran menjadi rujukan dan penawar diri bagi umat Islam yang inginkan kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
  3. Bacalah al-Quran, tadabbur maknanya dan beramal dengan isi kandungannya.
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Iktibar Daripada Peristiwa Nuzul Al-Quran
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more