Belia Aset Pembangunan Ummah
16 May 2024Tuntutan Menepati Janji
30 May 2024Ibadat Haji Kewajipan Dalam Islam | Sebagaimana makluman bersama, agama Islam ditegakkan di atas lima elemen terpenting sebagaimana hadith Baginda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Islam dibangunkan di atas lima perkara, iaitu : persaksian bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadan”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Ibadah haji yang merupakan rukun kelima dalam Islam, wajib ditunaikan oleh mereka yang mempunyai kemampuan diri dan kewangan mencukupi pada bulan Zulhijjah yang bakal menjelang tiba.
Keberangkatan jemaah haji ke tanah suci Makkah al Mukarramah telah pun bermula pada 9 Mei 2024 yang lalu dan akan berakhir pada 9 Jun 2024.
Pelbagai Kursus Asas Haji (KAH), kursus intensif dan kursus perdana telah dikendalikan oleh pihak Tabung Haji dengan jayanya, bagi mengukuhkan maklumat dan cara kerja haji kepada mereka yang telah disenarai bagi menunaikan haji pada tahun 1445H kali ini.
Kesemuanya adalah bagi mencapai maksud firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam Surah Ali Imran, ayat 97 :
وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًۭا
“Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) mereka yang mampu mengadakan perjalanan ke Baitullah”
Menurut para ‘ulama, syarat kemampuan yang dinyatakan dalam ayat tadi adalah keupayaan fizikal dengan keadaan jasmani dan mental yang sihat, termasuk juga kemampuan untuk pembiayaan pengangkutan, makan-minum dan tempat tinggal sepanjang berlangsungnya ibadah haji tersebut. Ditambah lagi dalam suasana terkini, pemilihan jamaah haji adalah juga berdasarkan jumlah bilangan yang diperuntukkan untuk negara Malaysia daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
Justeru, galakan untuk pendaftaran awal dan penyimpanan kewangan secara konsisten telah dilakukan oleh pihak Tabung Haji bagi menanam dan memupuk semangat kita untuk mengerjakan haji agar berupaya bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.
Bagi memupuk semangat dan niat untuk pelaksanaan haji pada masa akan datang, kita sering kali diingatkan tentang kelebihan ibadah yang mulia tersebut. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam telah menjelaskan balasan bagi mereka yang menunaikan ibadah haji dengan penuh ketaqwaan dalam sabdanya yang bermaksud :
“Haji yang mabrur (terbaik) tiada balasan lain kecuali syurga”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Pada saat seseorang berada di tanah suci untuk beribadah dengan ikhlas dan penuh keimanan, Allah subhanahu wa ta’ala membuka baginya pintu pengampunan dosa dan anugerah redhaNya. Sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Jamaah haji dan umrah adalah tetamu Allah, bila mereka berdoa, Allah akan memenuhi permintaan mereka dan bila mereka meminta keampunanNya, Allah pasti mengampuni mereka”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)
Akhir kalam, marilah kita menyelami kesimpulan daripada khutbah berkaitan ibadah haji ini, antaranya :
- Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang berkemampuan. Ia mempunyai pelbagai kelebihan dan keutamaan yang besar di sisi Allah subhanahu wa ta’ala
- Belajarlah untuk mengetahui dan memahami segala rukun dan syarat wajib haji sebelum menunaikannya
- Berusahalah sedaya upaya untuk mencapai tahap kemampuan atau istito’ah untuk menunaikan ibadah haji terutama dari aspek kewangan, kesihatan, persiapan diri dan keperluan perbelanjaan ahli keluarga yang ditinggalkan di tanah air.
Marilah juga kita sentiasa berdoa ke hadrat Allah subhanahu wa ta’ala agar diberikan kekuatan olehNya, dibukakan pintu rezeki untuk perbelanjaan kehidupan kita, dikurniakan kesihatan yang baik dan kesempatan umur ditakdirkan untuk dapat pergi menunaikan haji di Baitullah.
Juga didoakan untuk jemaah Haji tahun ini dan mendatang agar dikurniakan haji yang mabrur, umur yang diberkati, selamat pergi dan pulang dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah subhanahu wa ta’ala, serta dipelihara keluarga mereka di tanah air ini dalam keadaan baik dan sejahtera. Aamiiin Ya Rabbal Alamin.