Bertabayyun Bagi Mengelakkan Penipuan : Pena Hijau

Bertabayyun Bagi Mengelakkan Penipuan

20101123 24434 solat sembahyang
Solat Benteng Iman
11 Oct 2024
Muallaf Adalah Saudara Kita
7 Nov 2024
20101123 24434 solat sembahyang
Solat Benteng Iman
11 Oct 2024
Muallaf Adalah Saudara Kita
7 Nov 2024
20241101 scammer tabayyun penipuan
icon follow us

Bertabayyun Bagi Mengelakkan Penipuan | Tabayyun bermaksud mencari dan menyemak asas kebenaran terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Setiap berita atau maklumat yang diterima harus diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya. Perintah untuk melakukan tabayyun adalah merupakan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 6 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ ٦

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu mengenainya – sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Allah memerintahkan setiap manusia agar mencari dan memperolehi harta dengan cara yang halal dan bukannya melalui cara yang haram dan batil. Namun begitu pada hari ini, kegiatan penipuan di alam maya telah banyak berlaku dan ianya sudah pasti melibatkan pengambilan harta orang lain secara batil. Mereka berjaya menipu dan memperdaya masyarakat, tanpa mengambil kira latar belakang atau siapa bakal mangsa mereka.

Berdasarkan statistik, jumlah kes penipuan dalam talian yang dilaporkan di seluruh negara bagi tahun 2020 hingga 2023 adalah sekitar 108 ribu kes yang melibatkan kerugian mencecah RM3.2 billion.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti beberapa kaedah dan modus operandi yang digunakan melalui internet dan media sosial seperti penyamaran sebagai pihak berkuasa seperti pegawai polis, wakil mahkamah, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, pegawai bank, pegawai SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan sebagainya.

Penipuan dilakukan dengan pelbagai cara termasuk ugutan bertujuan untuk menakut-nakutkan mangsa agar mereka terpedaya sehingga membuat pembayaran dan pindahan dana serta mendedahkan maklumat peribadi dan data perbankan.

Ada juga masyarakat yang terlibat dan terpedaya menumpangkan akaun mereka untuk transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang dengan habuan tertentu. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda yang bermaksud :

“Setiap daging yang tumbuh daripada yang tidak halal, maka neraka yang lebih utama baginya”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Marilah kita bersama memelihara diri daripada menjadi mangsa atau terlibat secara langsung atau pun tidak dengan jenayah ini. Antara langkah-langkah keselamatan yang boleh kita ambil antaranya :

  1. Laksanakan tabayyun dalam setiap urusan dalam kehidupan kita. Semak dan rujuk pihak berkuasa dan jabatan yang berkaitan untuk pengesahan tentang sesuatu perkara. Janganlah dilayan sebarang panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali, segera putuskan panggilan jika berasa curiga atau takut.
  2. Elakkan daripada menekan sebarang pautan yang diterima daripada pihak yang tidak dikenali atau memuat turun sebarang pautan yang meragukan untuk mengelakkan daripada terdedahnya maklumat peribadi kita.
  3. Ahli keluarga, khususnya anak-anak yang telah dewasa, perlulah sentiasa memantau dan mengingatkan kepada kedua orang tua mereka yang sudah lanjut usia tentang penipuan di alam maya ini. Dapatkan panduan pelbagai pihak termasuk ahli keluarga sebelum melakukan pindahan wang dengan jumlah yang besar dan mencurigakan.

Bagi mereka yang terlibat dengan jenayah penipuan ini pula, ingatlah bahawa setiap perlakuan dan perbuatan yang kita lakukan itu akan dihisab oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kenikmatan dunia yang sementara dalam bentuk harta dan wang ringgit yang diperoleh dengan cara yang haram itu tidak akan bertahan lama kerana telah hilang keberkatannya. Mereka yang mengumpulkan harta dengan cara yang tidak halal akan tersungkur ke lembah kehinaan penghujung hayatnya dan di akhirat akan diazab dan diseksa oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan seksaan yang tidak terperi.

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa tabayyun dan mengamalkan segala panduan dan ajaran yang terkandung di dalam al Quran. Marilah kita meneliti dan menyemak segala sesuatu yang diterima bagi memastikan kebenarannya. Hindari diri kita daripada terlibat dengan jenayah yang dilakukan di alam maya kerana perkara tersebut merupakan satu kezaliman terhadap orang lain. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala merahmati dan memberkati kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Bertabayyun Bagi Mengelakkan Penipuan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more