Persediaan & Pengharapan Dalam Menghadapi Peperiksaan
26 Dec 2024Penghayatan Isra’ Mi’raj | Sesungguhnya peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah berkait rapat dengan akidah umat Islam pada setiap zaman dan tempat, bukanlah sekadar peristiwa sejarah yang telah berlalu.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Isra’ ayat 1 ;
سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ ١
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”
Perjalanan pada waktu malam Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin membawa banyak makna dan pengertian dalam Islam.
Di bumi Palestin, sebahagian besar para Rasul dan Nabi dilantik oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Pelbagai risalah langit diturunkan secara bergantian hinggalah Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadikan Makkah yang terletak di Semenanjung Tanah Arab sebagai tempat terakhir perutusan Khatam al-Anbiya’ Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam.
Masjidil Aqsa yang merupakan destinasi perjalanan Isra’ Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam adalah juga qiblat pertama dalam syariat Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam sehinggalah ianya bertukar kepada Kaabah di Makkah al Mukarramah.
Hubungan antara kedua-dua tempat suci ini adalah selaras dengan sifat agama Islam yang menjadi syariat terakhir umat manusia. Umat ini merupakan pewaris umat-umat terdahulu, diamanahkan untuk menjaga warisan kenabian terdahulu dan tempat-tempat suci mereka.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memuliakan NabiNya dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, di mana jarak antara lokasi di bumi ini diperdekatkan untuk Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, manakala destinasi jauh antara bumi dan langit dipermudahkan baginya sehinggalah Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam sampai ke Sidratul Muntaha.
Melalui peristiwa Mi’raj, Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam difardukan solat lima waktu yang menjadi kewajipan kepada umat Islam sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan bagaimana pelaksanaan solat lima waktu adalah perintah Allah yang sangat besar dan perlu dijaga serta dilaksanakan dengan sebaiknya.
Peristiwa Isra’ Mi’raj juga turut menjadi bukti kesejagatan risalah Islam ini merentasi zaman dan tempat. Maka, umat Islam hari ini mempunyai tanggungjawab besar dalam menyampaikan risalah Islam yang suci kepada sekalian alam ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam. Sabda Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang bermaksud :
“Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada nabi sebelumku : (antaranya) Aku diutus kepada seluruh manusia, baik yang berkulit putih maupun hitam ………..”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Ketika mana kita mengenang peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi kita Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, kita juga sewajarnya bersimpati terhadap penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin bumi Isra’ itu.
Mereka mengalami penindasan yang semakin berat di tangan tentera rejim zionis. Ramai di kalangan mereka yang telah dibunuh, ditangkap, disiksa dan dipenjarakan dengan kejam. Rumah kediaman mereka dibom dan dihancurkan, malahan masjid tempat ibadat juga dirobohkan, hospital-hospital dibinasakan dan kemudahan kehidupan mereka dihapuskan.
Akan tetapi, kita yakin bahawa setiap kezaliman pasti akan dibalas pelakunya dan diambil tindakan, cepat atau lambat. Gembiranya kita umat Islam di sini, apabila ada di kalangan mereka yang berani mempertahankan tanah air dan berjuang meninggikan kalimah yang benar, sanggup berkorban demi agama dan watan yang tercinta. Kita percaya Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan membersihkan bumi yang diberkati itu dari kezaliman dan suatu ketika nanti akan mengembalikan kedamaian dan keadilan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala pasti akan menolong hamba-hambaNya yang lemah, ini adalah sunnatullah yang tidak akan berubah.
Marilah kita terus panjatkan doa untuk rakyat Palestin yang ditindas di sana agar Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan kudratNya mengurniakan kepada mereka kejayaan dan pelepasan yang baik, dijauhkan daripada kezaliman, dijadikan mereka golongan yang berjaya dalam menegakkan keadilah dan mengembalikan kehidupan yang aman untuk mereka dan buat seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada.