Ramadhan Gelanggang Menggandakan Amalan : Pena Hijau

Ramadhan Gelanggang Menggandakan Amalan

20210410 ramadhan yang mulia
Menuju Ke Gerbang Ramadhan
28 Feb 2025
20240328 nuzul quran
Menghayati Peristiwa Nuzul Al-Quran
13 Mar 2025
20210410 ramadhan yang mulia
Menuju Ke Gerbang Ramadhan
28 Feb 2025
20240328 nuzul quran
Menghayati Peristiwa Nuzul Al-Quran
13 Mar 2025
20240314 ramadhan madrasah tarbiyah masjid keluarga puasa
icon follow us

Ramadhan Gelanggang Menggandakan Amalan | Ramadhan adalah medan yang luas untuk melakukan pelbagai amalan saleh
untuk meraih keuntungan akhirat yang amat hebat. Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda yang bermaksud :

“Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berpuasa pada bulan Ramadhan adalah ibadat yang wajib lagi istimewa kerana seseorang yang berpuasa sanggup meninggalkan aktiviti biasanya seperti makan, minum dan kemahuan syahwatnya semata-mata menurut perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud :

“Setiap amalan anak Adam digandakan ganjarannya, satu kebaikan adalah seumpama 10 gandaannya sehingga 700 ganda. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala : Kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku, Akulah yang akan membalasnya, dia sanggup meninggalkan keinginannya dan makanannya kerana Ku”

(Hadis Riwayat Muslim)

Pada bulan Ramadhan juga dianjurkan untuk bersedekah dan Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam adalah orang yang paling dermawan pada bulan Ramadhan. Antara bentuk sedekah adalah sumbangan wang dan makanan kepada yang memerlukan, pemberian bakul Ramadhan, menyediakan makanan berbuka untuk mereka yang akan berbuka puasa, mengagihkan bantuan dan pertolongan kepada mana-mana pihak yang berhajat.

Ramadhan juga adalah bulan Al-Quran. Bertadarus, bertadabbur dan beramal dengan isi kandungannya merupakan amalan yang amat
digalakkan, sesuai dengan kemuliaan Ramadhan sebagai bulan diturunkan al-Quran. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 185 :

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.……”

Adalah digalakkan juga bagi mereka yang dalam proses pembelajaran, gunakan kesempatan Ramadhan ini untuk meningkatkan kemahiran
membaca al-Quran dan bertadarus. Baginda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam sering kali bertadarus dan membaca Al -Quran bersama Jibril as pada setiap malam di bulan Ramadhan yang menjelaskan keistimewaan membaca Al-Quran pada bulan Ramadhan ini.

Baginda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam juga menganjurkan kepada umat Islam agar menghidupkan malam Ramadhan dengan qiamullail, antaranya solat tarawih yang hanya dikhususkan pada bulan Ramadhan, selain amalan berdoa, bersedeqah dan seumpamanya.

Sabdanya Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang bermaksud :

“Barangsiapa yang solat malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran Allah, dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuniNya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Amalan berkenaan perlu digandakan terutama apabila masuknya 10 terakhir Ramadhan nanti, yang ada padanya Lailatul Qadar dengan ganjaran beribadah padanya lebih baik daripada seribu bulan.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al- Qadr ayat 3-4 :

لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌۭ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ ٣ تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍۢ ٤

“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).”

Bagi mereka yang diberikan kelebihan dan kesenangan, dianjurkan pada bulan Ramadhan untuk mengerjakan ibadat umrah kerana ganjaran pahalanya amat tinggi.

Sabda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang bermaksud :

“Apabila datangnya Ramadhan, laksanakanlah ibadat umrah kerana suatu umrah pada bulan Ramadhan menyamai suatu haji bersamaku.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kesemua amalan soleh pada bulan Ramadhan yang disediakan pahala yang hebat itu menunjukkan bahawa Ramadhan adalah gelanggang untuk beramal soleh. Allah Subhanahu Wa Ta’ala melimpahkan kepada hamba-hambaNya pelbagai kurniaan, rahmat, ampunan, dan maghfirahNya.

Sambutlah kehadiran Ramadhan pada tahun ini dengan sebaik-baik sambutan dan serlahkanlah kesungguhan masing-masing untuk beribadah padanya dengan terbaik mungkin. Jauhilah diri daripada sebarang majlis yang melalaikan hati, menghiburkan syahwat, siaran tontonan yang melekakan dan mainan yang menjauhkan diri daripada rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Orang yang beramal dan beriman diumpamakan seperti lebah, yang berpindah-pindah di kebun-kebun ibadah dan di antara bunga-bunga
ketaatan. Sesekali dilihat dia bersolat, kadang-kadang dia membaca alQuran, dia tekun bertasbih, bertakbir, bertahlil dan beristighfar. Dia juga sering menghulurkan bantuan dan bersedekah, bersama golongan da’i dengan penuh hikmah dan menggunakan nasihat yang baik.

Golongan sebeginilah yang memiliki ciri-ciri taqwa dan dikasihi oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagaimana dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud :

“Dan senantiasa hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan amalanamalan sunnah sehingga Aku mencintainya, jika dia meminta kepadaKu, pasti Aku akan memberinya dan jika dia mohon perlindunganKu, pasti Aku akan melindunginya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru, marilah kita bersama-sama merebut peluang Ramadhan dengan menggandakan amalan ibadah serta meneladani golongan yang soleh, meniru kegiatan mereka yang berjaya dalam hidup akhiratnya, menjauhi sifat pemalas dan golongan yang menjauhi amalan kebajikan, agar kita mendapat keberkatan dalam kehidupan dunia ini dan kejayaan di Akhirat kelak.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Ramadhan Gelanggang Menggandakan Amalan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more