
Adab Dalam Majlis Ilmu
17 Oct 2025
Amalan Fi Sabilillah membawa maksud berjuang atau berusaha di jalan Allah untuk tujuan kebaikan dan menegakkan agama. Ia bukan sahaja denganperbuatan dan kata-kata, tetapi juga dengan harta benda yang kita miliki. Antara bentuk amalan mulia melalui harta ialah wakaf yang merupakan salah satu amalan yang menghidupkan ekonomi umat islam serta dianugerahkan pahala berlipat kali ganda dan ganjarannya yang berpanjangan.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 :
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”
Ayat ini menjelaskan bahawa harta yang dibelanjakan fi sabilillah, termasuk dalam bentuk wakaf, bukanlah suatu kehilangan, bahkan pelaburan akhirat yang terus berkembang walaupun pewakaf telah tiada di dunia ini.
Sabda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam :
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya”
Inilah asas kepada amalan wakaf. Ia adalah sedekah jariah, amal yang berterusan walaupun kita sudah kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Islam merupakan agama yang seimbang. Umat Islam tidak hanya diseru untuk beribadah semata – mata tetapi juga dituntut untuk bekerja, mencari rezeki yang halal dan mengunakan rezeki itu untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Salah satu caranya ialah menyerahkan sebahagian harta untuk wakaf, agar rezeki yang kita cari diberkati dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah al-Jumu‘ah ayat 10 :
فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَٱبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ١٠
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat”
Marilah kita sama-sama berwakaf, samada RM10, RM100 atau lebih kerana semuanya mempunyai ganjaran di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Pihak majlis agama setiap negeri di Malaysia telah menyediakan ruang dan peluang kepada umat Islam untuk berwakaf melalui pelbagai cara sama ada secara tunai, potongan gaji bulanan atau secara dalam talian mahupun berwakaf tanah ataupun bangunan.
Marilah kita sama-sama menghidupkan amalan berwakaf dalam diri, keluarga dan organisasi kita agar negeri kita secara khasnya dan Malaysia secara umumnya terus diberkati dengan masyarakat yang pemurah dan bertaqwa sebagai salah satu jalan meraih cinta Ilahi.





