Kelebihan Bulan Zulhijjah
7 Jun 2024Ibrah Daripada Ibadah Haji
21 Jun 2024Kelebihan Hari Arafah | Hari Arafah merupakan suatu hari yang paling mulia dalam satu tahun sebagaimana jua hari Jumaat adalah hari yang paling mulia dalam satu minggu.
Ibadat wukuf di Padang Arafah yang menjadi rukun asas dalam ibadah Haji yang berlangsung setiap tahun pada tarikh sembilan Zulhijjah. Tanpa berada di Padang Arafah pada hari tersebut, ibadah haji seseorang tidak akan sempurna dan tidak sah.
Sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam :
الحَجُّ عَرَفَة
“Haji itu adalah (berwukuf di) Arafah”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Hari Arafah adalah antara hari-hari yang ditentukan untuk jamaah haji banyak mengingati Allah subhanahu wa ta’ala.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 198 :
فَإِذَآ أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَـٰتٍۢ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ عِندَ ٱلْمَشْعَرِ ٱلْحَرَامِ
“Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah)”
Justeru, hari Arafah disunatkan bagi mereka yang mengerjakan wukuf haji, untuk tidak berpuasa padanya bahkan dianjurkan agar makan dan minum. Ini sebagaimana sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Sesungguhnya hari Arafah, hari raya korban dan hari-hari tasyriq adalah hari raya kita, umat Islam”
(Hadis Riwayat al Tirmidzi)
Tetapi bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, amat digalakkan agar berpuasa pada hari tersebut dengan dianugerahkan ganjaran yang amat lumayan. Sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Puasa hari Arafah, saya mengharapkan agar, Allah akan menghapus dosa setahun sebelumnya dan setahun setelahnya”
(Hadis Riwayat Muslim)
Allah subhanahu wa ta’ala menjadikan Hari Arafah sebagai hari pengampunan dosa dan Dia akan membebaskan sesiapa yang dikehendaki daripada Neraka.
Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Tidak ada hari yang Allah membebaskan hamba dari neraka sebanyak yang Dia bebaskan pada hari Arafah”
(Hadis Riwayat Muslim)
Kerana itu, digalakkan kepada semua kita, untuk membanyakkan doa kepada Allah subhanahu wa ta’ala memohon pengampunan dan keredaanNya.
Antara doa khusus pada hari tersebut adalah sebagaimana sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, dan sebaik-baik doa yang aku dan para Nabi terdahulu bacakan adalah :
“لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير “
(Tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya, kepunyaannya seluruh kerajaan, baginya segala kepujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segalanya)
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Kelebihan hari Arafah dinyatakan lagi oleh Baginda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, menjelaskan perihal syaitan yang merasakan kehinaan diri yang paling dahsyat, kerana dia dapat melihat terlalu hebat pengabdian diri daripada manusia yang patuh kepada Allah dan Allah subhanahu wa ta’ala dengan rahmatNya mengampuni dosa para hambaNya. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Tidaklah syaitan diihat terlebih hina dina, terusir, dan sangat marah dan kecewa kecuali pada hari Arafah”
(Hadis Riwayat imam Malik)
Itulah antara kelebihan hari Arafah yang mengajak kita semua agar dapat memperbanyakkan ibadah dan amal soleh pada hari Arafah tersebut. Ajaklah juga keluarga kita untuk sama-sama berpuasa Arafah pada hari itu di samping banyakkan berzikir, membaca al-Quran, bersedeqah dan amalan baik yang lain.
Semoga Allah subhanahu wa ta’ala menerima semua ketaatan kita dan juga ibadat haji saudara-saudara kita, semoga mereka semua selamat kembali ke tanah air, menganugerahkan kekuatan kepada kita dalam meneruskan kehidupan di dunia ini, Dia sentiasa menurunkan rahmatNya kepada kita, mengampuni dosa-dosa kita dan membebaskan kita dari api neraka. Aamiin ya Rabbal’alamin.