Menyemai Pengorbanan Dalam Diri : Pena Hijau

Menyemai Pengorbanan Dalam Diri

20240530 ibadat haji kaabah rukun islam
Ibrah Daripada Ibadah Haji
21 Jun 2024
20240104 azam tahun baharu
Amalan Dihitung Meskipun Masa Beredar
5 Jul 2024
20240530 ibadat haji kaabah rukun islam
Ibrah Daripada Ibadah Haji
21 Jun 2024
20240104 azam tahun baharu
Amalan Dihitung Meskipun Masa Beredar
5 Jul 2024
20101116 korban idil adha kambing haji aqiqah
icon follow us

Menyemai Pengorbanan Dalam Diri | Apabila kita sebut tentang Qurban atau udhiyyah, ia bermula sejak zaman Nabi Ibrahim ‘alaihis salam yang diperintah Allah subhanahu wa ta’ala melalui mimpinya untuk menyembelih putera kesayangan baginda iaitu Ismail ‘alaihis salam. Ketaatan Nabi Ismail dan keteguhan jiwa Nabi Ibrahim ‘alaihis salam telah terbukti dalam menjalankan perintah Allah. Di saat leher Ismail telah siap untuk disembelih, seketika itulah Allah subhanahu wa ta’ala menggantinya dengan seekor Kibash. Lalu melalui peristiwa itulah, kita diperintah untuk menyembelih haiwan Qurban. Allah subhanahu wa ta’ala telah berfirman dalam surah al-Kautsar, ayat 1-2 :

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban”

Ibadah qurban mengandungi hikmah yang sangat mendalam termasuk elemen kerohanian dan juga kemasyarakatan. Ia mampu mendekatkan hamba kepada Allah subhanahu wa ta’ala, sekaligus menyemai rasa peduli kepada sesama makhluk. Daging yang dibahagikan merupakan simbol kerjasama dan cakna yang mampu memperkuatkan kesatuan sesama umat Islam.

Dengan menyembelih binatang seperti unta, lembu, kerbau dan kambing, lalu membahagikan dagingnya kepada golongan fakir dan miskin, jiran tetangga dan sahabat handai, sesungguhnya ia merupakan sikap dan akhlaq yang harus kita miliki. Perasaan cinta untuk peduli kepada sesama manusia lebih-lebih lagi meringankan beban kesusahan saudara seagama, inilah sumbangan besar yang sedang dilaksanakan seseorang demi agama dan patuh kepada perintah Allah subhanahu wa ta’ala.

Dr. Abdul Halim Mahmud, salah seorang ulama besar dari Al Azhar, Mesir menjelaskan bahawa korban dan pengorbanan (at-tadhiyah) merupakan amalan Islam yang memerlukan kesabaran dalam mendekatkan diri kepada Allah. Ia juga dapat mengeratkan hubungan sesama insan, kerjasama melalui aktiviti melapah haiwan korban, mengagihkan daging kepada penerima, lalu mensyukuri nikmat pemberian Allah tersebut.

Sejak Islam mula bertapak di bumi Mekah dan Madinah, bermula saat itulah nilai-nilai pengorbanan mula disemai dalam diri umat Islam, sama ada pengorbanan harta, pengorbanan masa, pengorbanan fikiran, hinggalah kepada pengorbanan jiwa dan raga. Lihatlah bagaimana kehidupan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan Siti Khadijah rodhiallahu ‘anha yang terkenal sebagai hartawan Mekah telah menginfaqkan hartanya untuk tujuan dakwah. Demikian juga Saidina Abu Bakar rodhiallahu ‘anhu, sahabat terkemuka ini telah menggunakan hartanya sendiri untuk membebaskan Bilal bin Rabah rodhiallahu ‘anhu yang memeluk Islam.

Demikianlah pengorbanan generasi pertama umat ini, baik sewaktu di Mekah mahupun di Madinah. Pengorbanan masa juga dilakukan oleh seluruh Sahabat. Tiada seorang pun dari mereka kecuali mengorbankan masa dan waktu menyampaikan dakwah kepada orang lain demi membela agama yang mulia. Kita kenal nama seperti Salman Al-Farisi rodhiallahu ‘anhu yang telah memberi idea menggali parit sebagai persiapan pertahanan tentera Islam di saat pasukan Ahzab hendak menyerang Madinah. Lalu perang tersebut dikenali perang Khandaq. Kekuatan buah fikirannya dicurahkan bagi merancang strategi perang sehingga kaum muslimin mencapai kemenangan.

Pengorbanan nyawa juga sering terjadi kepada generasi pertama umat ini. Bermula dengan Sumayyah dan suaminya yang menjadi syuhada pertama yang dibunuh kafir Quraisy lantaran tidak mahu kembali kepada kehidupan dan anutan jahiliyah. Tidak terhitung banyaknya jumlah syuhada sejak perang Badar, Uhud, Khandaq dan perang-perang berikutnya.

Hari ini, kita mungkin belum berkesempatan lagi untuk jihad fi sabilillah sebagaimana generasi Sahabat terdahulu. Namun medan pengorbanan lain masih terbuka luas antaranya :

Pertama : Amar ma’ruf , Nahi munkar. Inilah pengorbanan yang harus ada dan kita perlu lakukan bersama. Dakwah adalah usaha bagi memperkuatkan iman dan keislaman umat ini. Melalui medan dakwah setiap muslim diajak untuk beramal dengan Islam secara menyeluruh baik dalam diri, keluarga dan seterusnya masyarakat.

Kedua : Berinfaq dan sedekah, baik yang wajib mahupun yang sunat. Seorang muslim hendaklah meneruskan jiwa pengorbanan dengan istiqamah mengeluarkan hartanya di jalan kebaikan melalui sedekah, baik yang wajib seperti zakat, mahupun yang sunat. Dengan menyantuni fakir miskin dan kaum dhuafa’, bukan hanya kita bersyukur kepada Allah tetapi juga berupaya untuk memperkuatkan keislaman mereka lalu menyuburkan rasa cinta kepada agama dan sesama Islam.

Ketiga : Sentiasa menyumbang sesuai dengan kekuatan dan kemahiran yang dimiliki. Ketika seorang muslim bekerja, hendaklah dia niatkan sebagai ibadah dengan membangun peradaban Islam, menyebar kebaikan dan manfaat bagi manusia. Dengan demikian, setiap penat lelahnya, peluh yang mengalir, buah fikiran yang diberikan kesemuanya dikira sebagai sumbangan pengorbanan yang akan diberi ganjaran pahala besar di sisi Allah subhanahu wa ta’ala nanti. Hal ini selari dengan sabda Nabi shollallahu ‘alahi wa sallam yang bermaksud :

“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia”

(Hadis Riwayat Ahmad)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Menyemai Pengorbanan Dalam Diri
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more