
Buli di Malaysia: Lebih Dari Sekadar Isu Disiplin, Ia Luka Dalam Hati Kita!
30 Jul 2025

Islam adalah agama yang dibina di atas asas yang sangat mulia, iaitu memberi rahmat kepada seluruh alam agar semua memperoleh kebaikan, kebahagiaan, berjaya dan terselamat daripada kebinasaan.
Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
” الدِّينُ النَّصِيحَةُ ” قُلْنَا لِمَنْ قَالَ ” لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ ”
“Agama itu adalah nasihat.” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Baginda bersabda : “Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk para pemimpin kaum Muslimin dan untuk seluruh kaum Muslimin”
Hadis ini merupakan antara prinsip teras kepada agama Islam. Menurut Imam an-Nawawi, kalimah “nasihah” di sini membawa makna keinginan untuk memberikan kebaikan dengan penuh keikhlasan. Ia bukan sekadar teguran, bahkan merangkumi kasih sayang, kejujuran, dan keprihatinan demi kebaikan orang lain tanpa niat tersembunyi.
Apabila Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam menyatakan bahawa agama itu adalah nasihat, ini bermaksud bahawa seluruh kehidupan beragama terletak pada hasrat yang tulus untuk memberi manfaat kepada pihak lain. Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bukan mengajar kita sekadar menjadi “tukang tegur”; bahkan untuk kita menjadi manusia yang tulus, yang hidup dengan hati yang mahu melihat dunia ini
menjadi lebih baik.
Dengan mengambil roh Islam yang dinyatakan dalam hadis, beberapa perkara berikut perlu diberi perhatian :
Pertama : Kembali kepada Allah. Iaitu dengan kita mengakui keesaan-Nya, menjunjung perintah-Nya, menjauhi segala larangan-Nya dengan penuh rasa cinta dan mengagungkan-Nya. Kita juga menjalani hidup sebagaimana ketetapan syariat Allah, bahkan gigih berusaha memartabatkannya dengan penuh syukur, sabar dan harapan kerana kita yakin Allah Yang Maha Mengetahui jalan terbaik untuk kita.
Sesungguhnya seseorang yang menunaikan nasihat untuk Allah akan sentiasa mendorong dirinya untuk lebih jujur dan lebih berani memilih yang benar walau seantero dunia menolaknya.
Kedua : Kembali kepada al-Quran. Iaitu kita menghormati al-Quran, membaca dengan tadabbur dan mengamalkan ajarannya. Maka, janganlah jadikan al-Quran hiasan dinding atau lapuk di atas rak sahaja. Bacalah! kalau tak mampu banyak, sedikit pun tak mengapa, asalkan terus istiqamah membacanya.
Namun, bukan sekadar membaca, kita mesti jadikan al-Quran sebagai penunjuk jalan dalam hidup. Tanpa al-Quran, kita umpama kapal terumbang-ambing tanpa pedoman. Biasakanlah anak isteri mendengar dan membacanya. Asuhlah mereka secara beransur-ansur agar memahami dan mengamalkannya.
Ketiga : Kembali kepada Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam. Ia bermaksud kita meneladani Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dalam kehidupan atau mudah cakapnya, kita hidup cara Nabi. Bukan kerana dipaksa tetapi kerana kita cintakan Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam melebihi diri kita sendiri. Sampaikan juga ajaran Baginda dengan penuh hikmah dan bijaksana, bukan secara beremosi atau penuh marah. Ketahuilah bahawa orang yang melaksanakan nasihat untuk Rasulullah, dia akan hidup dengan prinsip kasih sayang, adab sopan yang tinggi dan kelembutan dalam menyampaikan kebenaran.
Keempat : Nasihat dan mendoakan kebaikan kepada Pemimpin. Dalam hal ini, marilah kita mendoakan agar para pemimpin kita dipimpin oleh Allah dalam melaksanakan setiap tindakan. Kita menyokong mereka dalam perkara kebaikan, menyampaikan nasihat dengan penuh hikmah. Semoga mereka senantiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk terus memimpin umat dengan bijaksana lagi amanah.
Kelima : Nasihat kebaikan kepada Umat. Inilah intipati kehidupan bermasyarakat; mahu agar saudara kita berjaya dunia mahupun akhirat. Kita jaga maruah saudara kita, mendoakan mereka dalam diam, menegur dengan hikmah dan menyokong mereka saat goyah.
Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Nom Hadis 13 & Muslim, Nom Hadis 45)
Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa “nasihah” untuk sesama Muslim adalah keinginan agar mereka tetap berada di atas hidayah, dijauhi keburukan dan diteguhkan dalam iman dan amal soleh. Nasihat juga mesti disampaikan dengan niat ikhlas, bukan untuk mengangkat diri atau merendahkan pihak lain. Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa “nasihat tanpa keikhlasan adalah riak yang tersembunyi“.
Jadikan hidup kita pencetus kebaikan dalam kehidupan orang lain, benar-benar ikhlas menginginkan kesejahteraan, hidayah dan kejayaan kepada semua yang ada di sekeliling kita. Mudah-mudahan, kita dapat membina masyarakat yang saling menyayangi, menasihati dan saling
memperkukuhkan.
Ingatlah, kalau kita tak sudi memberi, mahupun menerima nasihat, maka hilanglah sudah roh agama dalam diri. Nauzubillah min zalik.