Kasihilah Pencinta Rasulullah SAW Dan Bencilah Penghina Rasulullah SAW : Pena Hijau

Kasihilah Pencinta Rasulullah SAW Dan Bencilah Penghina Rasulullah SAW

makanan yang halal
Makanan Yang Halal, Haram dan Syubhah
3 Jun 2022
20220623 awal zulhijjah
Kelebihan 10 Awal Zulhijjah
24 Jun 2022
makanan yang halal
Makanan Yang Halal, Haram dan Syubhah
3 Jun 2022
20220623 awal zulhijjah
Kelebihan 10 Awal Zulhijjah
24 Jun 2022
nabi muhammad saw
icon follow us

Firman Allah Taala dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

Cinta adalah ungkapan yang sering diucapkan. Kalimah cinta menggambarkan perasaan sangat sayang terhadap sesuatu atau seseorang. Cinta itu bukan sekadar tumbuh subur di dalam jiwa bahkan sesuatu yang dapat dinilai melalui akhlak dan perilaku seseorang. Sebagai Muslim, kita tidak dapat lari daripada membicarakan perasaan kasih dan sayang kepada Allah SWT dan juga rasul-Nya Nabi Muhammad SAW. Baginda diutuskan kepada manusia untuk membimbing mereka ke jalan yang benar melalui tunjuk ajar dan akhlaknya.

Mari kita renungkan sifat cinta Rasulullah SAW kepada umatnya. Baginda dikurniakan Allah SWT sebagai seorang insan yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya begitu mendalam. Baginda sanggup memperjuangkan Islam hingga sampai kepada kita walaupun banyak sekali menghadapi ujian, ancaman dan kesulitan. Bahkan ancaman bunuh terhadap baginda SAW. Namun begitu baginda tetap memperjuangkan Islam hingga kita mampu merasai kemanisan Islam ini. Tanda cinta Nabi SAW turut dapat dilihat dari sikap prihatinnya terhadap umatnya di padang Mahsyar kelak. Tatkala manusia gementar berhadapan penghakiman Allah SWT terhadap setiap amalan, Baginda SAW merayu kepada Allah SWT supaya umatnya diringankan beban dan dilepaskan daripada seksa api neraka. Baginda bukan risaukan isteri, keluarga dan sahabat sahaja, sebaliknya baginda amat risaukan umatnya.

Setiap cinta itu berbalas. Marilah kita buktikan cinta kita kepada Rasulullah SAW, berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud :

“Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia”.

(Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)

Persoalannya, apakah bentuk cinta yang perlu kita buktikan terhadap Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian? Antara syarat yang perlu ada untuk menjadi umat Muhammad SAW yang sempurna ialah tanamkan perasaan cinta dan kasih yang begitu ikhlas dan tinggi kepada Nabi SAW.

Perasaan ini perlu dipupuk dan disuburkan dalam jiwa kita serta ahli keluarga sepanjang masa melebihi segala-galanya. Jika rasa cinta pada Nabi SAW tidak subur, akan menyebabkan tiada usaha dan semangat untuk menghayati serta mencontohi cara hidup Baginda. Tetapi jika cinta itu subur, pasti kita mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad SAW daripada difitnah sama ada secara fizikal atau dengan kata-kata.

Contohilah Zaid bin Harithah yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi mempertahankan Nabi SAW daripada dicederakan oleh penduduk Thaif semasa melaksanakan seruan dakwah terhadap masyarakat di bandar itu.

Hayatilah cintanya sahabat seperti Talhah bin Ubaidillah dan Abu Dujanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi Nabi SAW daripada terkena anak panah musuh dalam peperangan Uhud. Sanggupkah kita mempertahankan kemuliaan Nabi SAW dan ajarannya dengan fizikal dan lidah seperti mana dilakukan oleh sahabat Baginda?

Ketahuilah bahawa mereka yang menghina dan menyakiti Allah dan RasulNya, nescaya dilaknat dan dikutuk di dunia dan di akhirat serta disediakan azab yang penuh kehinaan.

Firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab ayat 57 :

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina”.

Akhir-akhir ini, dunia dipanaskan dengan isu penghinaan terhadap Nabi SAW oleh orang kafir. Penghinaan ini merupakan suatu yang sangat biadap dan seluruh umat Islam berkewajipan untuk mengutuk dengan sekeras-kerasnya.

Beberapa laporan kepada pihak berkuasa telah dibuat di seluruh negara Islam bagi membantah tindakan bacul dan jijik tersebut. Kita menuntut pihak berkuasa mengenakan tindakan hukuman yang keras dan tegas terhadap penghina Rasulullah SAW bagi menghalang perkara yang sama berulang lagi pada masa akan datang.

Kita menghargai dan turut bersama-sama dengan umat Islam di beberapa negara Eropah dan negara umat Islam lain yang telah mengambil suatu ketetapan bahawa sesiapa sahaja yang menghina Nabi Muhammad SAW dalam bentuk perkataan atau media, maka ia bukan lagi menjadi kebebasan sebaliknya menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum termasuk penjara.

Sesungguhnya menghina Nabi SAW suatu jenayah berat dan sangat keji. Umat Islam pasti marah bila ia berlaku, dan segera bangkit bertindak sedaya upaya termasuk berkorban jiwa dan raga. Kemarahan ini bukan kerana emosi, tetapi kerana keimanan dan kasih sayang yang tiada penghujung kepada junjungan Rasulullah SAW. Pada masa yang sama, marilah kita menghayati sunnah Baginda dalam semua aspek kehidupan kita dengan membudayakan akhlak Rasulullah SAW.

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah”.

(Surah al ahzab ayat 21)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Kasihilah Pencinta Rasulullah SAW Dan Bencilah Penghina Rasulullah SAW
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more