Kelebihan 10 Awal Zulhijjah : Pena Hijau

Kelebihan 10 Awal Zulhijjah

nabi muhammad saw
Kasihilah Pencinta Rasulullah SAW Dan Bencilah Penghina Rasulullah SAW
17 Jun 2022
Penghayatan Ibadat Korban
1 Jul 2022
nabi muhammad saw
Kasihilah Pencinta Rasulullah SAW Dan Bencilah Penghina Rasulullah SAW
17 Jun 2022
Penghayatan Ibadat Korban
1 Jul 2022
20220623 awal zulhijjah
icon follow us

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Zulhijjah, yang merupakan salah satu bulan haram iaitu bulan yang dihormati dan dimuliakan oleh Allah SWT. Bulan yang mana pada 10 hari awalnya mempunyai banyak kelebihan di sisi Allah, sehingga Allah SWT bersumpah dengannya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Fajr ayat 1-2 :

وَٱلْفَجْرِ ١ وَلَيَالٍ عَشْرٍۢ ٢

“Demi waktu fajar dan malam yang 10 (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)”

Imam Ibnu Kathir Rahimullah berkata : “Yang dimaksudkan ayat tersebut ialah fajar hari nahar (hari raya korban) dan malam 10 hari awal bulan Zulhijjah”. Rasulullah SAW pula memperakui tentang kelebihannya dengan bersabda yang bermaksud :

“Hari yang paling utama di dunia adalah hari-hari 10 awal Zulhijjah”

(Hadis Riwayat Al-Bazzaar dan Ibnu Hibbaan)

Al-hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqolaani Rahimullah pula berkata : “Bahawa sebab-sebab kelebihan 10 hari pertama bulan ZUlhijjah ialah; terhimpun padanya segala ibadah utama iaitu ibadah solat, puasa, sedekah dan ibadah haji, sedangkan perhimpunan beberapa ibadah dalam satu masa seperti ini tidak ada pada masa-masa yang lain”.

Oleh itu, marilah sama-sama kita rebutkan peluang kelebihan yang ada pada 10 hari awal bulan Zulhijjah ini, dengan memperbanyakkan amalan-amalan yang baik sama ada yang wajib atau yang sunat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Tidak ada amal soleh yang paling disukai oleh Allah daripada amal soleh yang dilakukan pada 10 hari ini (10 hari awal bulan Zulhijjah), para sahabat bertanya ya Rasulullah : termasuk berjihad pada jalan Allah? Baginda SAW menjawab : termasuk berjihad pada jalan Allah kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan dirinya dan hartanya lalu dia tergugur mati syahid di medan perang”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Antara amalan-amalan yang dituntut pada 10 hari awal bulan Zulhijjah ialah :

Pertama : Melaksanakan solat-solat fardhu secara berjemaah dan memperbanyakkan solat sunat.

Kedua : Berpuasa sunat 9 hari awal bulan Zulhijjah, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada isteri Rasulullah SAW beliau berkata yang bermaksud :

“Adalah Rasulullah SAW berpuasa 9 hari bulan Zulhijjah, hari ‘Asyura, 3 hari setiap bulan dan hari isnin awal bulan dan hari khamis”

(Riwayat Abu Daud)

Ibu Rajab Al-Hanbali berkata : “Berpuasa pada 9 hari pertama bulan Zulhijjah merupakan amalan yang selalu dilakukan oleh Abdullah bin Umar”.

Imam Nawawi pula berkata : “Bahawa berpuasa pada hari-hari tersebut sangat dituntut, terutama sekali berpuasa pada hari yang kesembilan iaitu hari Arafah bagi yang lain daripada orang yang mengerjakan haji”.

Ketiga : Memperbanyakkan takbir, tahmid dan bertahlil pada hari-hari tersebut, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Tiada hari yang paling agong di sisi Allah SWT dan tiada hari yang amalan padanya paling disukai Allah lebih daripada hari-hari yang 10 ini (10 hari awal Zulhijjah), oleh itu maka perbanyakkan padanya tahlil, takbir dan tahmid.”

(Riwayat Ahmad)

Keempat : Memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain seperti qiamullail, bersedekah, membaca al-Quran, melakukan ibadah korban dan sebagainya, kerana amalan-amalan sunat merupakan amalan yang boleh mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah serta dicintai oleh Allah. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan hambaKu sentiasa mendekatkan dirinya kepada Ku dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya, maka apabila Aku mencintainya Aku akan menjaga telinga, mata, tangan dan kakinya. Jika ia meminta daripada Ku nescaya Aku memberikannya dan jika dia meminta perlindungan Ku nescaya Aku melindunginya”

(Riwayat Al-Bukhari)

Ibnu Rajab Al-Hanbali berkata : “Qiamullail pada 10 malam awal Zulhijjah adalah sunat yang sangat dituntut dan diriwayatkan berdoa padanya diperkenankan. Begitu juga apa yang dikatakan oleh Imam As-Syafie dan ulama-ulama lain”.

Kesimpulannya, rebutlah peluang yang ada pada 10 hari awal bulan Zulhijjah tahun ini seperti berpuasa sunat 9 hari awal bulan, mendirikan solat secara berjemaah, qiamullail, bersedekah, berzikir, berdoa, berkorban dan sebagainya. Semua itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh demi mendapat kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT pada hari-hari tersebut.

Bagi mereka yang hendak melaksanakan ibadat korban, disunatkan untuk tidak memotong kuku dan mencukur rambut atau bulu bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga selesai menyembelih korban.

وَقُلِ ٱعْمَلُوا۟ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.

Surah At-Taubah ayat 105

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Kelebihan 10 Awal Zulhijjah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more