Penghayatan Ibadat Korban : Pena Hijau

Penghayatan Ibadat Korban

20220623 awal zulhijjah
Kelebihan 10 Awal Zulhijjah
24 Jun 2022
20220707 hari arafah
Kelebihan Hari Arafah Dan Keajaiban Doa
8 Jul 2022
20220623 awal zulhijjah
Kelebihan 10 Awal Zulhijjah
24 Jun 2022
20220707 hari arafah
Kelebihan Hari Arafah Dan Keajaiban Doa
8 Jul 2022
icon follow us

Bulan Zulhijjah adalah bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Tiga perkara besar yang pasti diingati ialah ibadat haji, solat sunat Aidiladha dan ibadat korban. Ibadat korban yang telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam sebagai cara untuk hamba mendekatkan diri kepada Allah SWT dan berbuat kebajikan sesama hamba Allah.

Ibadat korban menurut istilah syarak bermaksud sembelihan haiwan ternak yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah pada waktu-waktu yang dikhaskan. Perintah melaksanakan ibadat korban difirmankan Allah dalam Surah Al-Kauthar ayat ke-2 :

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ

“Maka tunaikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban”

Menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama’, melaksanakan korban ini adalah sunat yang sangat dituntut bagi mereka yang berkemampuan. Waktu pelaksanaannya bermula daripada terbit matahari dan berlalu kadar masa dua rakat solat sunat Aidiladha serta khutbahnya dan  berakhir dengan terbenamnya matahari pada hari ke tiga Tasyriq iaitu pada 13 Zulhijjah. Haiwan ternak yang diharuskan korban ialah unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.

Ibadat korban menghidupkan ajaran Nabi Ibrahim AS iaitu kepatuhan tidak berbelah bagi kepada perintah Allah SWT. Ia bagi memperingati pengorbanan baginda yang diperintahkan Allah SWT menyembelih anaknya Ismail AS sebagai korban, bertujuan menguji keimanan mereka berdua kepada Allah SWT. Kisah ini diabadikan Allah SWT di dalam al-Quran. FirmanNya dalam Surah al Saaffat, ayat 102 :

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.”

Sebagai ganjaran terhadap pengorbanan (keimanan dan kepatuhan) mereka, Allah SWT menggantikannya dengan seekor binatang. Firman Allah SWT dalam Surah al-Saaffat, ayat 103-107:

فَلَمَّآ أَسْلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ ١٠٣
وَنَـٰدَيْنَـٰهُ أَن يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ ١٠٤
قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ١٠٥
إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلَـٰٓؤُا۟ ٱلْمُبِينُ ١٠٦
وَفَدَيْنَـٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍۢ ١٠٧

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.” Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.”

Rasulullah SAW menganjurkan supaya umatnya melaksanakan ibadat yang agung ini. Ia adalah amalan terbaik yang paling besar pahala untuk dilaksanakan pada hari raya Idiladha dan hari-hari tasyriq. Umat disarankan agar bermurah hati, menjauhi sifat kedekut,  memperbanyakkan kesyukuran dan memupuk semangat pengorbanan di dalam melaksanakan perintah Allah swt. Mereka dianjurkan untuk berkongsi rezeki dan nikmat Allah bersama dengan manusia lain terutama golongan yang memerlukan. Binatang yang telah dikorbankan akan menjadi saksi di akhirat kelak terhadap amalan ketaatan yang telah dilaksanakan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Tiadalah amal anak Adam di hari raya korban yang lebih dikasihi Allah dari mengalirkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya pastilah binatang korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya. Bahawasanya darah haiwan korban itu diterima di sisi Allah sebelum ia jatuh ke tanah. Justeru, bermurah hatilah kamu (untuk melakukan ibadat korban)”.

(Hadis Riwayat al Tirmizi dan Ibnu Majah)

Pelaksanaan ibadat korban hendaklah dilakukan dengan ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Ia sebenarnya adalah gambaran kepatuhan hamba kepada perintah Allah SWT agar amalannya diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hajj, ayat 37 :

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Selain itu ia bermaksud memberi kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan dan menanamkan rasa kasih sayang antara pihak yang berkorban dengan yang menerima pemberian daging korban itu. Ia adalah satu bentuk pengorbanan harta dan jiwa kerana bukan semua bersedia untuk memberi atau berkongsi apa yang dimilikinya.

Kesimpulannya, penghayatan melalui ibadat korban ini mengandungi rahsia, falsafah dan hikmat yang terlalu bernilai. Antaranya:

  1. Ia adalah bukti keislaman dengan bermaksud penyerahan diri yang bulat hanya kepada Allah SWT. Ia juga petanda iman iaitu kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada perintah dan janji Allah SWT.
  2. Ibadat korban pastinya mendidik nilai kesyukuran terhadap kurniaan dan rezeki Tuhan dan menjauhi sifat kufur nikmat, apatah lagi menyombong diri dengan sedikit kekayaan dan lebihan harta yang dimiliki.
  3. Melaksanakan ibadat korban merupakan satu bentuk kepedulian sosial dan kecaknaan dalam hidup bermasyarakat.
  4. Ibadat ini juga menyemarakkan akhlak terpuji dan nilai murni dalam diri seorang muslim mencontohi keperibadian mulia Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang sentiasa mengutamakan kecintaan dan ketaatannya kepada perintah Allah SWT dalam urusan kehidupan.

Semoga ibadat korban dapat dihayati sebaiknya dalam meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dan mendamaikan hubungan sesama hamba Allah.

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ ۗ فَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ فَلَهُۥٓ أَسْلِمُوا۟ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُخْبِتِينَ

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat ”.

(Surah al Hajj ayat 34)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Penghayatan Ibadat Korban
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more