Kukuhkan Perpaduan, Elakkan Perpecahan
12 Aug 2022Pengisian Anugerah Kemerdekaan
25 Aug 2022Keseimbangan dan kesederhanaan merupakan suatu tuntutan dalam Islam bagi menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Fitrah manusia yang sejahtera memerlukan keseimbangan dalam semua urusan hidupnya, justeru Allah SWT menjadikan agama Islam yang dianuti ini sebagai agama yang seimbang yang sesuai dengan kehendak fitrah manusia.
Antara kesimbangan yang dituntut oleh Islam dalam hidup ini ialah :
Pertama : Menjaga keseimbangan antara masa bekerja dengan kerehatan tubuh badan, selaras dengan tujuan Allah SWT menciptakan siang dan malam. Siang waktu untuk bekerja dan malam waktu untuk berehat. Firman Allah dalam surah al Qasas ayat 73
وَمِن رَّحْمَتِهِۦ جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Dan di antara rahmat pemberian Nya, ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia Nya, dan juga supaya kamu bersyukur”.
Kedua : Menjaga keseimbangan dalam menunaikan hak-hak yang perlu ditunaikan, iaitu hak Allah, hak diri sendiri dan juga hak keluarga. Janganlah terlalu mementingkan hak tertentu sehingga mengabaikan hak yang lain. Jadikanlah kisah yang berlaku antara dua orang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Salman al Farisi dan Abu al Darda’ sebagai pengajaran dan pengiktibaran.
Salman dan Abu al Darda’ merupakan dua orang sahabat yang dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah. Setelah lama berpisah Salman pun pergi menziarahi Abu al Darda’ pada suatu hari, lalu mendapati Abu al Darda’ hanya memenuhi keseluruhan masanya untuk beribadat kepada Allah SWT, siang berpuasa, malam Qiamullail, tanpa mempedulikan hak-hak isteri dan keluarga, maka berlakulah dialog antara dua sahabat ini. Pada penghujung ziarah tersebut Salman menasihatkan Abu al Darda’ supaya mengimbangi antara hak-hak tersebut dengan katanya : “Bahawa sesungguhnya bagi Tuhanmu hak yang wajib engkau tunaikan, bagi dirimu hak yang wajib engkau tunaikan dan bagi isterimu hak yang wajib engkau tunaikan, oleh itu berikanlah setiap yang berhak itu haknya”.
Kemudian mereka datang berjumpa dengan Rasulullah dan menceritakan hal tersebut kepada Baginda, lalu Baginda SAW bersabda :
صَدَقَ سَلْمَانُ (Benarlah tindakan Salman itu).
(H.R. Bukhari)
Kisah tersebut menunjukkan bahawa walaupun beribadat kepada Allah SWT merupakan suatu tuntutan yang besar, namun ia tidak seharusnya sampai mengabaikan keperluan diri dan keperluan keluarga, justeru bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup, imbangkanlah antara tanggungjawab beribadat kepada Allah, tugasan harian, dan menunaikan hak keluarga.
Ketiga : Menjaga keseimbangan antara pengurusan kewangan dan perbelanjaan, iaitu dengan cara bersederhana, tidak boros dan tidak kedekut. Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 67 :
وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا۟ لَمْ يُسْرِفُوا۟ وَلَمْ يَقْتُرُوا۟ وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”.
Keempat : Menjaga keseimbangan antara tuntutan rohani dan jasmani. Allah SWT menjadikan manusia ini terdiri daripada roh dan jasad, justeru manusia perlu menjaga kedua-duanya dengan seimbang, supaya hidup sentiasa dalam keadaan tenang dan aman damai. Untuk menjaga kerohanian, maka disyariatkan ibadat-ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat, haji, zikir dan sebagainya yang menjadi asbab kepada ketenangan jiwa.
Untuk menjaga jasmani pula, Allah SWT mengharuskan perkahwinan, makan minum, berhias diri dan sebagainya yang menjadi keperluan naluri fitrah manusia yang sejahtera. Oleh itu jika tuntutan rohani dan jasmani tidak diimbangkan, seseorang manusia tidak akan dapat hidup aman damai dan bahagia, kerana bertentangan dengan fitrah.
Rasulullah SAW menegur tiga golongan sahabat yang bertindak keterlaluan dalam melaksanakan ibadat kepada Allah, dengan berpuasa sepanjang masa, qiamullail sepanjang masa dan tidak berkahwin selama-lamanya. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Adakah kamu berkata begini-begini? Ketahuilah, demi Allah, aku lebih takut kepada Allah dan lebih bertakwa kepada Nya daripada kamu, tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku tidur dan aku berkahwin dengan kaum wanita, oleh itu sesiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan dari orang yang mengikut sunnahku”.
(H.R. Bukhari)
Kesimpulannya, keseimbangan merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan. Tanpa keseimbangan, manusia tidak akan
dapat mengecapi nikmat kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.
وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ٢٠١
أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌۭ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ ٢٠٢“Dan di antara mereka pula ada yang berdoa : Wahai Tuhan kami; berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.