Haji Muhammad bin Ahmad Al-Kelantani - Tokoh Al-Quran : Pena Hijau

Haji Muhammad bin Ahmad Al-Kelantani – Tokoh Al-Quran

Capture Unforgettable Moments In Perfect Photo Print With Photobook
7 Jan 2020
kenangan mengusik jiwa
Kenangan Mengusik Jiwa
1 Mar 2020
Capture Unforgettable Moments In Perfect Photo Print With Photobook
7 Jan 2020
kenangan mengusik jiwa
Kenangan Mengusik Jiwa
1 Mar 2020
tuan guru hj muhammad bin ahmad al-kelantani

tuan guru hj muhammad bin ahmad al-kelantani

icon follow us

Haji Muhammad bin Ahmad Al-Kelantani atau Pak Cu Haji Mat bin Lebai Ahmad bin Tok Kweg Mat Yatim (Rujukan : Ismail Che Daud (2007), Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (2), Kelantan, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu, hlm 101)  atau Haji Mat Pintu Geng adalah seorang ulama dan ahli dalam ilmu al-Quran. Beliau telah mengajar al-Quran mengikut kaedah Tajwid. Beliau ada menandakan Qiraat Tujuh di dalam al-Quran kegunaannya. Haji Muhammad telah mengarang sebuah kitab Tajwid penting bertajuk Muqaddimah al-Mubtadi Fi Tajwid al-Quran.

Haji Muhammad telah dilahirkan pada tahun 1307H, bersamaan tahun 1889M di Kampung Paloh, Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan. Ayah beliau ialah Lebai Ahmad bin Kweng Enche Mohd Yatim berasal dari Kelantan manakala ibu beliau bernama Siti Aminah binti Wan Abu Bakar berasal dari Pattani, Thailand dan merupakan keturunan Pulau Sumbawa, Jawa Indonesia (Rujukan : Temuramah bersama Ustaz Zainuddin Hj Mahmood, cucu kepada Tuan Guru Hj Muhammad pada hari Jumaat, 25 Jun 2010, jam 10.00 pagi, bertempat di rumah Ustaz Zainuddin di Pintu Geng, Kota Bharu). Lebai Ahmad meninggal di Mekah pada musim haji. Pada waktu itu, Haji Muhammad masih kecil lagi dan berusia tujuh tahun manakala ibu beliau meninggal dunia semasa beliau berusia sepuluh tahun.

Tuan Guru Haji Muhammad merupakan anak tunggal kepada Lebai Ahmad dan Siti Aminah. Selepas ibunya meninggal dunia, beliau dipelihara oleh sepupunya yang bernama Halimah berdasarkan hasil wawancara penulis dengan anak beliau iaitu Haji Abdul Rahman bin Haji Muhammad di Pintu Geng pada 5 September 1982.

Pada masa kecilnya, Haji Muhammad belajar al-Quran dengan Tuan Guru Haji Idris Pasir Kota yang alim dalam ilmu al-Quran, ilmu Fiqh, ilmu Nahu, ilmu Usul dan lain-lain. Haji Idris ini tinggal tidak jauh daripada rumah Haji Muhammad. Jaraknya hanya kira-kira ½ batu saja.

Setelah beliau belajar al-Quran dan kitab-kitab daripada Tuan Guru Haji Idris itu, tanggal 4 Sya’ban 1329H bersamaan 30 Julai 1911M, beliau melanjutkan pelajarannya ke Tanah Suci Mekah. Ketika itu beliau berusia 22 tahun. Beliau menyambung pelajarannya ke tanah suci Mekah al-Mukarramah. Beliau belajar di sana selama kira-kira lima tahun. Di antara guru-gurunya ialah Tok senggora (Haji Abdullah) dan Haji Umar, seorang ulama dan ahli al-Quran yang berasal dari Kampung Kota, Kelantan. Dengan Haji Omar inilah Haji Muhammad mendapat ilmu al-Quran yang banyak.

Setelah kembalinya beliau di tanah air, beliau telah dijodohkan dengan Hajah Lijah binti Yahya yang merupakan anak saudara kepada Tuan Guru Haji Idris Pasir Kota. Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan lima orang cahaya mata, empat orang lelaki dan seorang perempuan. Mereka ialah :

  1. Ibrahim bin Haji Muhammad (1914-1946)
  2. Haji Daud bin Haji Muhammad (1919-1993)
  3. Haji Abdul Rahman bin Haji Muhammad (1924-1990)
  4. Hajjah Zainab bin Haji Muhammad (1929-2004)
  5. Abdullah bin Haji Muhammad (1934-1936)

Tuan Guru Haji Muhammad banyak mencurahkan bakti dalam bidang al-Quran, keilmuan dan kemasyarakatan. Beliau membuka sebuah pondok di Kampung Pintu Geng, Kota Bharu pada tahun 1920M. Pondok ini berkembang dan maju, kerana beliau mempunyai kemampuan mengajar dalam bahasa Arab dan Melayu. Di samping mengajar kitab, beliau juga mengajar al-Quran. Ketika itu kebanyakan guru agama mengajar kitab sahaja, tanpa mengajar al-Quran.

Bagi memudahkan murid-muridnya dan penduduk sekitar Kampung Pintu Geng, Haji Muhammad telah membina sebuah madrasah bersebelahan rumahnya. Pada awalnya, Haji Muhammad ingin mendirikan Masjid Mukim Pintu Geng bersebelahan rumah beliau dan pusat pondok yang diasaskannya.  Namun pihak Majlis Ugama Islam tidak dapat memberi kebenaran dengan alasan jarak yang dekat Masjid Bunut Payung.

Kebiasaanya Haji Muhammad mengajar al-Quran selepas sembahyang Zuhur sehingga waktu asar pada setiap hari melainkan pada hari Jumaat. Oleh kerana kemahsyurannya dalam ilmu Qiraat, maka ramai juga murid-murid yang datang belajar Qiraat dengan beliau, termasuk murid-murid dari Pondok Bunut Payong, Pondok Kenali dan lain-lain.

Kebanyakan mereka yang datang belajar dengannya belajar secara mengaji berbalik. Namun demikian ada juga yang datang berbeluh. Murid-murid yang belajar berbeluh beliau mengajar dengan membaca al-Quran kemudian diikuti oleh murid beberapa kali. Tetapi mengajar berbalik, dua atau tiga murid membaca dalam satu masa, jika ada yang tersilap baca beliau menegurnya. Pada akhir hayatnya beliau hanya mengajar secara berbalik sahaja kerana guru-guru yang dapat mengajar berbeluh sudah ramai.

Naskhah al-Quran kepunyaan Haji Muhammad ini ditandai dengan tanda-tanda Qiraat kepada para pelajarnya. Al-Quran ini ada disimpan oleh anaknya, Hajah Zainab binti Haji Muhammad yang juga seorang guru al-Quran. Haji Muhammad mengajar al-Quran selama empat puluh tahun lebih.

Di samping mengajar al-Quran, beliau juga mengarang sebuah buku Tajwid seperti disebut di atas. Buku ini digunakan untuk menjadi panduan dalam pelajaran Tajwid. Buku ini selesai dikarang pada tahun 1341H, hari Selasa bersamaan dengan 8 Jamadil Awal.

Di dalam bukunya itu, beliau menulis : “Ketahui olehmu hai thalib (murid), bahawasanya menuntut ilmu Tajwid itu fardhu ain atas tiap-tiap orang Islam, lelaki dan perempuan yang mukallaf keduanya pada jumlah atas tiap-tiap yang mempunyai qiraah, yakni jika bacaan itu sunat sekalipun atas orang yang tiada baik bacaannya“.

Beliau juga telah memetik kata-kata Syeikh Abu al-‘Uzza al-Qalansyi yang berkata : “Bahawa Tajwid akan al-Quran itu fardhu seperti sembahyang, telah datang oleh akhbar (hadis) dan ayat. Dan yang mengingkari akan Tajwid itu maka iaitu kafir“.

Haji Muhammad juga menjelaskan : “Bahawasanya wajib atas orang yang membaca al-Quran itu bersungguh-sungguh pada memeliharakan segala hurufnya daripada makhrajnya dan sifatnya. Maka tiada hasil yang demikian itu dengan semata-mata mendengar dan melihat daripada kitab atau fikiran melainkan dengan menerima daripada mulut guru yang sahih bacaan“.

Haji Muhammad juga telah menjelaskan hukum bacaan al-Quran cara berlagu dengan katanya : “Sunat mengelokkan suara dengan membaca al-Quran dan menghiaskan dia atas muafakat dengan Tajwid, dan telah menas oleh Imam al-Syafie r.a di dalam Mukhtasarnya akan bahawasanya tiada mengapa dengan berlagu selama tiada keluar bacaan daripada had al-Quran. Dan jika tiada maka adalah berlagu itu haram“.

Haji Muhammad bin Ahmad al-Kelantani juga telah menyebut nama-nama Imam Qurra’ Tujuh yang masyhur, iaitu :

  1. Nafi’ Abi Nu’aim di Madĩnah al-Munawwarah.
  2. Ibnu Kathir Abi ‘Abdillah di Mekah al-Mukarramah.
  3. Abu ‘Amru bin al-‘Ala di Basrah.
  4. Ibnu ‘Ãmir Abdullah di Syam.
  5. ‘Ãsim bin Abi al-Najud di Kufah.
  6. Hamzah bin Habib al-Zayyat di Kufah.
  7. Kisai ‘Ali al-Nahwiyy di Kufah.

Haji Muhammad bin Ahmad al-Kelantani meninggal dunia pada jam 8.53 pagi Selasa 11 Ramadhan tahun 1387H bersamaan 12 Disember 1967M di rumahnya ketika berusia 80 tahun. Beliau dikebumikan pada jam 3.50 petang pada hari yang sama di Tanah Perkuburan Chengal, Pintu Geng. Beliau meninggalkan beberapa orang muridnya yang menjadi guru al-Quran iaitu anak-anaknya sendiri iaitu :

  1. Haji Daud (Imam Masjid Mukim Pintu Geng)
  2. Haji Abdul Rahman
  3. Hajah Zainab

serta beberapa orang lagi muridnya yang terkenal seperti :

  1. Haji Harun Ahmad, Imam Pulau Panjang
  2. Haji Ibrahim bin Haji Harun, Bunut Payong
  3. Haji Md. Salleh Haji Hassan, Bechah Peleting, Tanah Merah
  4. Haji Mat Haji Samat, Imam Tua Kok Lanas
  5. Haji Said bin Yusuf, Guchil, Kuala Krai.

Madrasah yang telah dibina beliau telah mengalami beberapa fasa penambahbaikan sejak tahun 1965. Pada awal tahun 1980an, Haji Daud, anakanda Hj Muhammad telah mengambil daya usaha untuk menjadikan madrasah Hj Muhammad sebagai masjid kecil yang kemudiannya diberi nama sebagai Masjid Muhammad Ahmadi sampailah ke hari ini.

 

Rujukan :

  1. Al-Basirah Volume 6, No. 1, pp: 63-77, December 2016 – Sumbangan Haji Muhammad bin Ahmad Al Kelantani (1887-1967m) dalam Bidang Pengajian al-Quran
  2. Shaharuddin Saad, Data-Data Tokoh Ulama Tajwid Tersohor Di Alam Melayu. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Hlm 234-238
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Haji Muhammad bin Ahmad Al-Kelantani – Tokoh Al-Quran
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more