Keuntungan Yang Berlipat Ganda, Adakah Termasuk Dalam Kategori Riba’? : Pena Hijau

Keuntungan Yang Berlipat Ganda, Adakah Termasuk Dalam Kategori Riba’?

Bagaimana berada dalam masa yang anda ada?
12 Sep 2020
Mohamed Salah, pemain bola sepak inspirasi dunia
13 Sep 2020
Bagaimana berada dalam masa yang anda ada?
12 Sep 2020
Mohamed Salah, pemain bola sepak inspirasi dunia
13 Sep 2020
Keuntungan Yang Berlipat Ganda, Adakah Termasuk Dalam Kategori Riba’?
icon follow us

Dalam perniagaan, berapakah keuntungan yang dibolehkan dalam Islam untuk diambil oleh si penjual? Dan apakah itu riba dan keuntungan yang bagaimana yang dikatakan riba?

Sebagai contoh: Jika harga sehelai tudung ialah RM20, berapa yang boleh saya jual kepada pelanggan? Berapakah harga yang sepatutnya saya jual agar tidak dikatakan atau termasuk dalam kategori riba? Mohon pencerahan daripada Datuk. Sekian, terima kasih.

Pada asalnya, tiada had khusus bagi keuntungan dalam Islam. Namun apabila melibatkan penipuan, menganiaya orang lain, dan harga terlampau tinggi bagi barang-barang keperluan, maka di sana fiqh membincangkan hak khiyar (pilihan untuk membatalkan akad) bagi pihak yang terperdaya.

Berikut kami sebutkan beberapa contoh berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/42) tentang aktiviti memanipulasi harga secara salah untuk mendapatkan keuntungan:

keuntungan

********

Talaqqi al-Rukban (Memintas pedagang): Seorang peniaga memintas para pedagang yang bakal datang ke kawasannya. Dia memperdaya mereka dengan mengatakan barangan yang bakal mereka jual sudah bertimbun di kawasannya dan dijual dengan harga yang rendah. Perbuatan peniaga ini bertujuan membeli barangan tersebut dengan harga yang lebih rendah daripada harga asal.

BACA JUGA : Ini Pinjaman Kerajaan Tanpa Faedah Peniaga Wajib Rebut, Tak Payah Jumpa AhLong!

Jual beli tersebut sah tetapi haram kerana wujudnya unsur penipuan. Apabila para pedagang tadi tiba ke kawasan perniagaan dan mengetahui harga pasaran yang sebenar selain menyedari mereka telah ditipu (maghbunun), mereka berhak menuntut khiyar dan membatalkan jual beli tadi. Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah RA berkata:

“Nabi SAW melarang manusia memintas dagangan, jika ia dipintas oleh seseorang dan orang ini membelinya maka pemilik barangan tadi berhak menuntut khiyar jika dia tiba di pasar.” [Riwayat Muslim (no.1519)]

********

Ihtikar: Ia bermaksud membeli barangan yang disenaraikan sebagai makanan asasi daripada pasaran ketika barangan tersebut amat diperlukan oleh pengguna. Barangan tersebut dihimpun dan disorok dengan tujuan mendapatan keuntungan dengan menaikkan harganya berlipat kali ganda dan kemudian dijual sedikit demi sedikit dengan mengeksploitasi keperluan orang ramai. Perbuatan seperti ini adalah haram berpandukan hadith Nabi SAW:

“Monopoli hanya dilakukan oleh orang yang bersalah.” [Riwayat Muslim (no.1605)]

Jika orang ramai amat memerlukan makanan asasi tersebut atau keadaan menjadi dharurat, orang yang memonopoli tadi boleh dipaksa (oleh pemerintah untuk) menjual barangan tersebut dengan harga yang munasabah. Jika dia ingkar, hakim boleh menjual barangan tersebut bagi pihaknya dan hasil jualan diserahkan kepadanya.

Timbul persoalan; sekiranya berlaku kenaikan harga bagi barang yang bukan keperluan, seperti tudung dengan rekaan tertentu, dan bukan bekalan kain yang merupakan keperluan asas masyarakat, apakah Kerajaan berhak menentukan harga barang? Bagi menjawab soalan ini, kami menyebut hadis Anas bin Malik RA:

“Pernah terjadi kenaikan harga pada masa Rasulullah SAW, maka orang-orang berkata: Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga untuk kami. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah Sang Penetap Harga, Penggenggam, Pembentang dan Pemberi Rezeki. Aku berharap bertemu dengan Tuhanku dan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntut perbuatan zalim yang aku pernah lakukan kepadanya, baik berupa darah (qisas) maupun harta.” [Riwayat al-Tirmidhi (no.1235). Beliau berkata hadis ini hasan sahih.]

Hadis ini adalah dalil bahawa haram bagi pemerintah untuk menetapkan harga barang mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab. Pendapat yang lemah mengatakan bahawa dibenarkan ke atas pemerintah untuk menetapkan harga pada waktu ghala’ (gawat) bagi makanan.

Sekiranya imam menetapkan harga barang dan peniaga menyelisihi perintah berkenaan, dibenarkan kepada pemerintah untuk mengenakan hukuman ta`zir kepadanya. Walau bagaimanapun, hukum jual beli itu adalah sahih, mengikut pendapat yang asah (lebih sahih). Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (3/65-66) oleh Muhammad al-Zuhaili.

********

Saiyidina al-Zubair bin al-`Awwam RA pernah membeli sebidang tanah di hutan dengan harga 170,000 dirham, kemudian anaknya Abdullah RA menjualnya selepas kematian al-Zubair dengan harga 1,600,000 dirham. Jumlah itu adalah 9 kali ganda! [Riwayat al-Bukhari (no.3129).]

Berkata Imam Abu Ishak al-Syirazi dalam al-Muhazzab (2/57): “Barangsiapa yang membeli barang dagangan, diharuskan ke atasnya untuk menjualnya dengan harga modal, dengan harga yang lebih rendah, atau yang lebih tinggi, berdasarkan sabda Baginda SAW : Jika berbeza jenis (pada barang ribawi), maka jual belilah bagaimana yang kalian inginkan.[2]”

Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya al-Ulum al-Din (2/79) menerangkan bahawa pada asalnya ghabn (penyamaran harga dalam berniaga) adalah dibenarkan selagi mana masih boleh diterima pada adat kebiasaan.

Ini kerana tujuan perniagaan itu sendiri adalah untung, yang melibatkan ghabn walaupun sedikit. Kata beliau, sebahagian ulama mengehadkan untung pada satu pertiga harga barang, jika lebih maka boleh khiyar, tetapi itu bukan pendapat mazhab al-Syafie. Itu hanya had ihsan. Namun, keharusan ini terikat dengan syarat tidak berlaku penipuan dan kezaliman.

Kesimpulan:

Kami cenderung kepada pendapat bahawa mengambil untung berlipat kali ganda dalam perniagaan adalah bukanlah sejenis riba dan diharuskan selagi mana tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman.

Ini kerana keuntungan itu sendiri bersifat relatif dan tidak boleh dibandingkan secara mutlak dengan harga pasaran sebelum ditolak hasil jualan itu dengan perbelanjaan yang perlu ditanggung peniaga sebelum mendapatkan keuntungan bersih.

Ini berbeza mengikut zaman, tempat dan jenis barang jualan itu sendiri. Namun, kami juga ingin berpesan agar para peniaga agar memperbanyakkan sedekah bagi menyucikan harta yang diperolehi, seperti mana sabda Rasulullah SAW;

“Wahai para peniaga! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu hadir dalam aktiviti jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah.” [Riwayat al-Tirmidhi (no.1208) daripada Qays bin Abi Gharazah RA, dengan sanad hasan sahih]

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada orang ramai yang baru belajar berniaga dan ingin mengaut keuntungan.

Wallahua`lam.

Semoga Bermanfaat!

BACA JUGA: Azizan Osman Teruk Dikritik Netizen Kerana Persenda Peniaga Tak Buat ‘Sales’ RM1 Juta Sebulan!

Sumber : Kataustaz.com

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Keuntungan Yang Berlipat Ganda, Adakah Termasuk Dalam Kategori Riba’?
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more