Kecelaan Mempersendakan Agama Islam
22 Jul 2022Tauladan Keperibadian Muhajirin Dan Ansar
5 Aug 2022Alhamdulillah, kita bakal memasuki tahun baru Hijrah 1444. Di sebalik pelbagai cabaran serta musibah yang telah melanda negara kita, tanggungjawab dan peranan sebagai hamba Allah perlu diteruskan di atas muka bumi ini. Apa yang Allah nilai pada diri kita bukanlah banyak atau sedikit amalan yang dikerjakan, namun kualiti, istiqamah dan keikhlasan terhadap setiap pekerjaan tersebut. Justeru, kita tiada pilihan selain memastikan setiap pekerjaan kita diterima oleh Allah dengan mengikuti sunnah Baginda SAW dalam semua aspek kehidupan.
Peristiwa hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah berlaku bukan secara kebetulan. Sebaliknya penuh dengan strategi dan perancangan tersusun rapi bagi mencapai objektif dakwah Islam. Keutamaan dan kelebihan melakukan hijrah telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran :
وَمَن يُهَاجِرْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يَجِدْ فِى ٱلْأَرْضِ مُرَٰغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِنۢ بَيْتِهِۦ مُهَاجِرًا إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ يُدْرِكْهُ ٱلْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Mengambil iktibar ayat di atas, peristiwa hijrah tetap relevan dengan konteks kehidupan sekarang atau pun pada masa akan datang. Ini kerana, nilai-nilai yang terkandung dalam peristiwa hijrah tetap sesuai dijadikan panduan dan rujukan. Atas dasar iman, para sahabat Baginda SAW sanggup meninggalkan kampung halaman, harta benda, rela berpisah dengan orang yang tersayang semata-mata memenuhi perintah Allah SWT. Peristiwa hijrah juga menjadi pemangkin kepada kita untuk melaksanakan sesuatu ibadah itu dengan ikhlas semata-mata mengharapkan redha Allah.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Saidina Umar Al-Khattab yang bermaksud :
“Setiap amalan perbuatan itu bergantung niatnya dan bagi setiap orang mendapatkan apa yang diniatkan. Barangsiapa yang niat berhijrah kepada (keredhaan) Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya pada Allah dan rasul-Nya. Brangsiapa yang niat hijrahnya untuk mendapatkan dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya sesuai apa yang dia niatkan”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Terdapat pelbagai pengajaran yang boleh dijadikan iktibar melalui peristiwa hijrah Nabi SAW.
Pertama : Strategi yang penuh tersusun dan kemas adalah penting dalam melaksanakan sesuatu urusan. Nabi SAW telah melakukan perancangan hijrah yang cukup mantap antaranya menyediakan pengganti untuk berada di tempat tidur Nabi SAW, kaedah menghantar bekalan makanan, mengatur laluan perjalanan, memilih pemandu jalan, bersembunyi di Gua Tsur dan sebagainya.
Justeru itu, dalam mengurus kehidupan setiap manusia ada strategi dan perancangan agar setiap objektif dapat dicapai dengan jayanya.
Kedua : Pengorbanan perlu ada dalam mencapai matlamat kehidupan. Melalui penghijarahan Nabi SAW, Baginda dan para sahabat RAhum telah melakukan pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta lalu menjadi titik tolak perubahan dan kejayaan penyebaran syiar Islam ke seluruh dunia.
Ketiga : Pentingnya sifat sabar dan tawakkal yang tinggi kepada Allah SWT. Nabi SAW telah mencontohkan kesabaran melalui pelbagai kesukaran ketika berhijrah seperti diancam bunuh, dikejar musuh, perjalanan yang jauh dan sebagainya.
Keempat : Keperluan kepada sokongan dan dokongan pelbagai pihak. Nabi SAW memberi teladan bahawa hijrah yang dilakukan memerlukan sokongan dan dokongan pelbagai lapisan usia, jantina, agama dan sebagainya untuk mencapai misi hijrah.
Abu Bakar As-Sidik dan Usman bin Affan adalah golongan yang berpengaruh dalam aspek kekuasaan dan kewangan. Manakala Ali bin Abi Talib yang masih belia menggantikan tempat tidur Nabi SAW. Asma’ binti Abu Bakar pula berperanan menghantar bekalan makanan. Abdullah bin Uraiqith walaupun bukan Islam berperanan sebagai pemandu jalan menuju ke Madinah.
Begitu juga dalam kehidupan, manusia sentiasa perlukan sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak untuk dibantu agar berjaya dalam setiap kerja dan misi hijrah yang dilakukan.
Kelima : Mewujudkan semangat persaudaraan dan kerjasama erat. Nabi SAW telah mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin serta menggalakkan budaya memberi bantuan. Peristiwa hijrah telah mendidik sifat keprihatinan dan kepedulian masyarakat tanpa mengiri latar belakang dan keturunan. Apa yang penting, setiap muslim perlu sentiasa peduli dengan nasib masyarakat di sekeliling mereka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Perumpamaan kaum mukmin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakitnya dengan berjaga malam dan demam”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kesimpulan yang boleh kita ambil adalah :
- Peristiwa hijrah mengajar kita bahawa tiap-tiap orang yang beriman itu akan sentiasa diuji berdasarkan kepada tahap keimanan masing-masing
- Kita perlu sentiasa memperbetulkan niat yang ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan agar ia diterima oleh Allah
- Tiap-tiap orang Islam bertanggungjawab dalam memperbetulkan keadaan akhlak umat Islam yang semakin lama semakin pincang ini.
- Semangat persaudaraan dan kerjasama perlu diperkuatkan sesama umat Islam, lebih-lebih lagi di zaman penuh dengan fitnah ini.
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.