Menggapai Lailatul Qadar : Pena Hijau

Menggapai Lailatul Qadar

al quran
Al-Quranul Karim Bukan Sekadar Untuk Dibaca
6 Apr 2023
ANE 20230420 tazkirah ramadhan
Tazkirah Ramadhan 1444H
21 Apr 2023
al quran
Al-Quranul Karim Bukan Sekadar Untuk Dibaca
6 Apr 2023
ANE 20230420 tazkirah ramadhan
Tazkirah Ramadhan 1444H
21 Apr 2023
malam lailatul qadar
icon follow us

Ramadhan merupakan bulan yang paling istimewa berbanding bulan-bulan yang lain. Antara keistimewaan bulan Ramadhan ialah terdapat satu malam yang dikenali sebagai Lailatul Qadar. (Baca Fadhilat Amalan Lailatul Qadar). Allah SWT menjanjikan sesiapa yang beribadat dan memperolehi Lailatul Qadar mendapat kelebihan lebih daripada seribu bulan.

Jumhur ulama berpendapat bahawa malam Lailatul Qadar berada pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Disebabkan itu, Rasulullah SAW memperbanyakkan amal ibadat pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Bahkan kelebihan Lailatul Qadar turut dirakamkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sesiapa yang bangun untuk mengerjakan ibadat pada Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, akan diampunkan dosanya yang terdahulu”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW sangat menggalakkan umat Islam untuk merebut kelebihan malam Lailatul Qadar tersebut. Terdapat pelbagai cara bagi menghidupkan 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Antaranya :

Pertama : Memperbanyakkan membaca al-Quran. Al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk menjadi petunjuk kepada sekalian makhluk. Justeru, bacalah al-Quran sebanyak-banyaknya, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang mana pahalanya digandakan. Apatah lagi al-Quran itu sendiri diturunkan pada bulan Ramadhan. Firman Allah SWT dalam ayat 185 Surah al-Baqarah :

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ

Maksudnya : Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah).

Kedua : Melazimi zikrullah. Antara zikir yang boleh diamalkan oleh umat Islam bagi menghidupkan Lailatul Qadar antaranya ialah beristighfar, bertahlil, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ketiga : Memperbanyakkan berdoa. Doa merupakan tanda pengantungan dan pengharapan seorang hamba kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam ayat 60 Surah Ghafir :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya : Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan doa permohonan kamu.

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah RAnha pernah bertanya perkara ini kepada Nabi Muhammad SAW dan baginda menyuruh Saidatina Aisyah Ranha berdoa dengan doa :

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

Maksudnya : Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.

(Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Keempat : Melazimi solat-solat sunat. Antara amalan dan ibadat yang sangat baik dilakukan ketika malam bulan Ramadhan ialah dengan memperbanyakkan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Tarawih, Tahajjud, Tasbih, Taubat, Witir dan sebagainya.

Kelima : Solat tarawih bersama imam sehingga selesai. Solat Sunat Tarawih mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana ia hanya boleh dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja, tidak seperti solat-solat sunat yang lain.

Dalam konteks di Malaysia, lazimnya Solat Sunat Tarawih dilakukan secara berjemaah di masjid atau surau. Malangnya realiti semasa menunjukkan bahawa umat Islam hanya bersemangat mengerjakan Solat Sunat Tarawih ketika awal-awal bulan Ramadhan sahaja.

Melangkah 10 malam terakhir bulan Ramadhan, kehadiran umat Islam di masjid dan surau mulai menyusut dan berkurang. Perkara sebegini sangat mendukacitakan. Sepatutnya umat Islam perlu terus istiqamah mengerjakan Solat Sunat Tarawih apatah lagi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan sehingga selesai bersama imam. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesiapa yang bersolat bersama imam sehingga imam selesai, ditulis baginya berqiamullail sepanjang malam”

(Hadis riwayat Abu Dawud dan at-Tarmizi)

Kesimpulan

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghidupkan 10 malam terakhir bulan Ramadhan dengan meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT seolah-olahnya Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terakhir kita. Semoga dengan kesungguhan kita mengerjakan amal ibadat, kita berjaya menggapai malam Lailatul Qadar. Aminnn…

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Menggapai Lailatul Qadar
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more