Islam Memelihara Keamanan Dan Silaturrahim : Pena Hijau

Islam Memelihara Keamanan Dan Silaturrahim

ANE 20230803 aqidah islam
Menjaga Aqidah Islam
3 Aug 2023
20230824 kemerdekaan
Hayatilah Erti Kemerdekaan
24 Aug 2023
ANE 20230803 aqidah islam
Menjaga Aqidah Islam
3 Aug 2023
20230824 kemerdekaan
Hayatilah Erti Kemerdekaan
24 Aug 2023
ANE 20230811 silaturrahim
icon follow us

Islam Memelihara Keamanan Dan Silaturrahim | Islam merupakan satu-satunya agama yang diredai oleh Allah subhanahu wa ta’ala yang diakhiri risalah wahyu-Nya dengan kebangkitan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam. Baginda Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam merupakan cerminan kepada ajaran yang ingin diturunkan oleh Allah kepada manusia, baik dari segenap aspek kehidupan, kekeluargaan, kemasyarakatan, kenegaraan, sebagai seorang pendidik, suami, bapa dan pemimpin kepada ummah. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam adalah contoh terbaik dalam mengamalkan kandungan al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Qalam, ayat 4 :

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍۢ ٤

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.

Saidatina Aisyah pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam, beliau menjawab : كان خُلُقُه القُرآنَ (Maksudnya : Akhlak Baginda shollallahu ‘alaihi wa salam  adalah al-Quran).

Antara langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam setelah berhijrah ke Madinah ialah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Baginda memahami bahawa Madinah yang terdiri daripada Aus ( الأَوْس ), Khazraj ( الْخَزََْخرجَْ ), Yahudi Bani Quraizah ( بني قُرَيْظَة ), Bani Qainuqa’ ( بني قَيْنُقَاع ), Bani Nadhir ( بَنِيْ النَضِيْر ) dan kabilah Badawi yang berada di sekitarnya perlulah disatukan di bawah satu perlembagaan yang menyatakan hak dan tanggungjawab setiap individu terhadap negaranya. Hal ini membawa kepada pembentukan piagam Madinah yang dianggap sebagai perlembagaan dan asas pembentukan negara Islam Madinah. Kekuatan Madinah adalah pada persaudaraan umat Islam yang menjaga kestabilan dan keamanan negara.

Imam Ibn Kathir rhm telah meriwayatkan dalam tafsir beliau : bahawa satu hari seorang lelaki daripada Yahudi lalu di hadapan sekumpulan pemuda daripada Aus dan Khazraj sedang duduk bersama-sama dan berbual dengan penuh sifat kasih sayang dan persaudaraan. Yahudi ini tidak senang dengan apa yang dilihatnya, lalu dia menghantar seorang lelaki untuk duduk dalam kumpulan tersebut agar membangkitkan cerita peperangan Bu’ath (بعاث ) yang berlaku antara Aus dan Khazraj pada masa dahulu. Lelaki tersebut cuba mengapi-apikan antara mereka sehingga hampir membawa kepada peperangan. Perkara ini segera diberitahu kepada Rasulullah SAW lalu Baginda datang mendamaikan mereka dan membacakan firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 103 :

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍۢ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ١٠٣

Maksudnya : Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Sebagai seorang umat Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam, kita wajar mengikut setiap akhlak dan tingkah laku yang diajar oleh Baginda. Tindakan Baginda mendamaikan antara Aus dan Khazraj menunjukkan betapa pentingnya persaudaraan sesama Islam dijaga. Sebarang anasir jahat dan bisikan musuh Islam hendaklah ditepis dengan bersungguh-sungguh daripada masuk ke dalam masyarakat Islam. Mereka tahu bahawa selama umat Islam bersatu, mereka tidak akan dapat menggugat akidah tauhid dan menguasai kepimpinan negara.

Peristiwa kejatuhan Khilafah Uthmaniah patut menjadi iktibar kepada umat Islam. Antara perkara yang membawa kepada kejatuhannya ialah perbalahan dalaman masyarakat Turkey bagi menjatuhkan khalifah. Dengan berakhirnya khilafah Uthmaniah, maka umat Islam sudah tidak mempunyai tempat pergantungan lagi melainkan diri mereka sendiri dalam negara-negara kecil yang mereka berada; masing-masing ingin menjaga kepentingan sendiri sehinggakan mudah untuk dikuasai oleh musuh.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam bersabda (yang bermaksud) :

Hampir-hampir kamu akan diranyah oleh umat-umat daripada segenap pelusuk, seperti hidangan yang dikerumuni oleh orang ramai.  Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, adakah kerana bilangan kita sedikit? Jawab Baginda : Tidak, tetapi ramainya kamu hanya seperti buih ketika banjir (tidak teguh, mudah dibawa ke hulu ke hilir dan senang hancur).

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Hari ini, walaupun kita berbeza dari sudut pandangan dan pemikiran dalam sesuatu perkara, namun persaudaraan Islam adalah lebih utama untuk dipelihara. Janganlah kiranya perbezaan pandangan dan fahaman itu berterusan sehingga membawa kepada permusuhan dan perbalahan yang tidak berkesudahan. Adakah persengketaan ini diredai oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam andainya Baginda masih hidup? Sedangkan sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud :

Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketahuilah bahawa musuh Islam inginkan umat Islam terus bersengketa agar mereka terhalang daripada memikirkan tentang agama, bangsa dan negara. Sedangkan keamanan dan kesejateraan negara kita adalah satu nikmat yang tidak ternilai yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.

Sebagai kesimpulannya, sesungguhnya setiap tindakan kita tidak terlepas daripada dicatat oleh malaikat. Justeru, semaikanlah kesatuan dan hubungan silaturrahim sesama Islam agar kita semua memperoleh redha Allah di dunia dan akhirat. Hayatilah firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Al-Hujurat ayat 10 :

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ١٠

Maksudnya : Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Islam Memelihara Keamanan Dan Silaturrahim
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more