Memelihara Diri Dari Dosa : Pena Hijau

Memelihara Diri Dari Dosa

20231020 palestin free palestine
Kami Bersamamu Palestin – Free Palestine…
20 Oct 2023
20231103 kebaikan derma masjid
Bersegera Melakukan Kebaikan
3 Nov 2023
20231020 palestin free palestine
Kami Bersamamu Palestin – Free Palestine…
20 Oct 2023
20231103 kebaikan derma masjid
Bersegera Melakukan Kebaikan
3 Nov 2023
20231027 taubat dosa doa
icon follow us

Memelihara Diri Dari Dosa | Antara sifat manusia adalah mudah leka dan alpa sehingga melakukan perbuatan-perbuatan yang melanggari hukum Allah subhanahu wa ta’ala.

Sebagai umat Islam, kita telah diajar dan dididik untuk sentiasa memelihara diri dan memantapkan iman supaya menjadi orang yang benar-benar bertaqwa dan mentaati perintah Allah.

Allah telah menjelaskan melalui ayatnya dalam al-Quran berkaitan azab terhadap orang yang melakukan perbuatan dosa dan maksiat. Malangnya, masih ada juga di antara kita yang terus melakukan perbuatan munkar dan maksiat dengan sengaja bahkan ada yang melakukannya secara terang-terangan.

Kita sebagai orang Islam sewajarnya sedar bahawa semua perbuatan buruk kita bakal diadili oleh Allah subhanahu wa ta’ala di Akhirat nanti.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Zalzalah, ayat 8 :

وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍۢ شَرًّۭا يَرَهُۥ ٨

“Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

Janganlah kita lupa bahawa hasil pendapatan dari sumber yang haram, boleh mengakibatkan penderitaan ke atas diri sendiri dan ahli keluarga kerana setiap suap dari sumber yang haram, maka api nerakalah balasannya. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram, maka neraka lebih layak baginya”

(Hadis riwayat at-Thobaroni)

Sebagai contoh; pelaku rasuah, penyalahgunaan kuasa, pengamal riba atau penipu dalam perniagaannya, walaupun mereka mendapat keuntungan wang ringgit, harta melimpah, hidup mewah, perbuatannya tidak diketahui dan terlepas dari tindakan pihak berkuasa, namun balasan akibat perbuatan dosanya tetap ada.

Seseorang yang melakukan maksiat atau dosa diwajibkan bertaubat kepada Allah subhanahu wa ta’ala dengan segera. Ia adalah bagi mengelakkan diri dari ditimpa azab kemurkaan Allah subhanahu wa ta’ala lantaran dosa yang telah dilakukan.

Ketahuilah bahawa taubat atau kembali patuh kepada Allah subhanahu wa ta’ala mempunyai beberapa syarat dan peraturan. Ia telah dijelaskan oleh para Ulama Islam di dalam karangan mereka. Antara syarat tersebut adalah :

  1. Seseorang yang telah melakukan kesalahan dosa hendaklah menyesal di atas perbuatan berkenaan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi
  2. Mengucapkan istighfar (permohonan ampun) di atas dosa kesalahan itu
  3. Memperbaiki perbuatan dan tingkahlaku supaya ia dapat menghapuskan kesan kesalahan yang telah dibuat
  4. Mengembalikan hak dan milik orang yang dibuat kesalahan terhadapnya, di samping meminta kemaafan darinya

Justeru, marilah sama-sama kita menghayati sabda Baginda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala (bersedia) menerima taubat dari seseorang hamba selama mana nyawanya belum berada di kerongkongnya”

(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Marilah kita berusaha mengawal dan memelihara diri daripada perkara-perkara yang boleh menyebabkan berlakunya maksiat dan dosa. Antara kaedah dan cara terbaik ialah;

  1. Sentiasa merasakan muraqabah Allah subhanahu wa ta’ala (iaitu kita diawasi dan diperhatikan) olehNya, Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat
  2. Mengingatkan diri tentang nikmat-nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah subhanahu wa ta’ala kepada kita seperti nikmat tubuh badan, nikmat sihat, nikmat hidup, nikmat rezeki dan sebagainya. Apakah setelah kita menikmati pelbagai anugerah tersebut, adakah wajar bagi kita melakukan penderhakaan kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan tidak bersyukur kepadaNya?
  3. Memperbanyakkan ingat kepada kematian kerana ia sahajalah pemutus segala keinginan hawa nafsu dan syahwat haiwaniah
  4. Menginsafi bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan masa untuk mengabdikan diri kepada Allah subhanahu wa ta’ala, manakala yang kekal abadi ialah kehidupan di akhirat kelak, di mana setiap kita akan diadili di hadapan Allah subhanahu wa ta’ala.

Kesimpulannya, kita perlu berusaha untuk menjadikan diri sebagai hamba Allah yang dikasihiNya dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi laranganNya. Di samping sentiasa beristigfar dan berdoa ke hadrat Allah subhanahu wa ta’ala semoga kita sentiasa mendapat pengampunan, perlindungan, barakat dan rahmat daripadaNya. Mohonlah kepadaNya semoga negara kita dipeliharaNya dari sebarang bala bencana, selamat daripada azab seksa dan beroleh keamanan dan kesejahteraan.

Amin Ya Rabbal Alamin.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Memelihara Diri Dari Dosa
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more