Meneruskan Kembara Taqwa : Pena Hijau

Meneruskan Kembara Taqwa

20240407 kisah mata hati khalifah umar tentera islam
Mata Hati Khalifah Umar Al-Khattab
7 Apr 2024
20240413 kata hikmah perantauan
Untaian Kata Hikmah – Perantauan
13 Apr 2024
20240407 kisah mata hati khalifah umar tentera islam
Mata Hati Khalifah Umar Al-Khattab
7 Apr 2024
20240413 kata hikmah perantauan
Untaian Kata Hikmah – Perantauan
13 Apr 2024
20240412 kembara taqwa
icon follow us

Meneruskan Kembara Taqwa | Kita baru sahaja selesai menyempurnakan ibadat puasa Ramadan selama sebulan. Oleh itu, marilah kita menilai sejauh manakah pencapaian ibadat yang telah kita laksanakan sepanjang bulan tersebut. Marilah kita menghisab diri sendiri dengan seadil-adilnya, apakah puasa yang telah kita tunaikan dalam masa sebulan itu telah berjaya menanamkan sifat taqwa di dalam diri kita?

Semasa berpuasa, kita sanggup bersabar menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa lantaran mengabdikan diri kepada Allah subhanahu wa ta’ala, walaupun perkara-perkara tersebut memang digemari oleh nafsu kita. Oleh yang demikian, setelah menjalani didikan Ramadan selama sebulan tersebut, adakah kita bersedia untuk terus patuh, beristiqamah menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya dalam kehidupan kita selepas Ramadan?

Semoga didikan taqwa di bulan Ramadan lepas, menjadikan kita lebih berhati-hati dari menghampiri maksiat dan dosa kepada Allah. Jika tidak, adalah dibimbangi puasa yang kita tunaikan selama ini hanya sekadar memberikan lapar dan dahaga kepada kita.

Sayugialah kita memperteguhkan pengabdian diri kepada Allah subhanahu wa ta’ala walaupun Ramadan telah berakhir; dengan kita menginsafi keagungan-Nya (Allah) dan menilik kedudukan diri kita sendiri. Dialah yang mencipta diri kita dan Dialah sahaja yang mengurniakan segala nikmat kepada kita. Tanpa kurnia Allah, diri kita tidak wujud dan tidak boleh berbuat apa-apa. Tanpa rezeki kurniaan-Nya, diri manusia tidak akan mempunyai apa-apa pun.

Yakinlah bahawa Allah itu Maha Penyayang kepada hamba-Nya. Semua perkara yang diperintah Allah, termasuk yang dihalalkan dan yang diharuskan adalah membawa kebaikan. Sementara semua perkara yang dilarang dan diharamkan akan membawa keburukan, sama ada kita mengetahui hikmah dan tujuannya, mahupun tidak.

Justeru, apakah kita bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab terhadap Allah dengan penuh ikhlas dan khusyuk kepada-Nya? Apakah kita akan terus kekal mengejar taqwa, dengan mengabdikan diri dan beribadat kepada-Nya? Marilah kita menyahut seruan Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 21 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ٢١

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”

Sebagai penutup, marilah kita meneruskan kembara taqwa yang kita lakukan di bulan Ramadan, pada bulan-bulan yang mendatang dengan kita melakukan perkara-perkara berikut :

  1. Meneruskan keindahan sikap sabar kita dengan istiqamah kekal sebagai insan muslim penyabar dalam menunaikan segala suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya, sabar dalam mengharungi segala ujian kehidupan di bulan-bulan yang akan datang.
  2. Menyuburkan keghairahan kita memakmurkan masjid dan surau dengan kita melakukan solat lima waktu secara berjemaah dan menghadiri majlis-majlis ilmu.
  3. Mengekalkan kecemerlangan membaca dan bertadarus Al Quran dengan kita terus menjadikan Al Quran teman hidup seharian kita, membaca dan memahami kandungannya, serta berusaha menjadikannya panduan atau petunjuk dalam kehidupan kita.
  4. Terus memperkuatkan hubungan dengan Allah ( حبل من الله ) yang telah kita bina sebelum ini dengan melakukan solat sunat, zikrullah, bersedekah dan puasa sunat, terutama puasa enam di bulan Syawal.
  5. Memperteguhkan hubungan sesama manusia ( حبل من الناس ), seperti mana yang kita lakukan di bulan Ramadan, dengan kita memperkuatkan tali silaturrahim, menjalin ikatan ukhuwwah sesama muslim dan tolong menolong sesama kita.

Semoga rumah-rumah Allah bakal menjadi saksi bahawa kita masih kekal mengimarahkannya dengan solat berjemaah pada setiap waktu. Mushaf al-Quran juga akan terus menjadi teman dan dibaca setiap hari pada masa-masa yang kita jadualkan. Tabung-tabung khairat dan sahabat-sahabat kita yang kesempitan hidup pula, bakal terus menerima sikap budiman kita. Ameen Ya Rabbal Alamin.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Meneruskan Kembara Taqwa
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more