Manfaatkan Cuti Sekolah Dengan Perkara Berfaedah : Pena Hijau

Manfaatkan Cuti Sekolah Dengan Perkara Berfaedah

20231027 taubat dosa doa
Menyambut Tahun Baharu, Menjadi Insan Yang Lebih Baik
9 Jan 2025
20231027 taubat dosa doa
Menyambut Tahun Baharu, Menjadi Insan Yang Lebih Baik
9 Jan 2025
20250116 cuti sekolah
icon follow us

Musim cuti sekolah adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak kita. Saban hari mereka pergi ke sekolah dengan membawa buku-buku dan pulang ke rumah pada waktu petang. Setiap kesungguhan dan penat lelah dalam menuntut ilmu pasti akan diganjari dengan pahala oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Apabila tiba musim cuti sekolah, anak-anak perlu diingatkan agar jangan terus meninggalkan pelajaran. Masa berada di rumah ketika cuti sekolah mestilah dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran. Sesungguhnya masa muda perlulah digunakan untuk menimba ilmu pengetahuan.

Pada masa yang sama, anak-anak perlu diberi pesanan bahawa semakin banyak ilmu yang dipelajari, semakin kerdil diri kerana ilmu Allah Subhanahu Wa Ta’ala amat luas umpama lautan yang tidak bertepian.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 109 :

قُل لَّوْ كَانَ ٱلْبَحْرُ مِدَادًۭا لِّكَلِمَـٰتِ رَبِّى لَنَفِدَ ٱلْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَـٰتُ رَبِّى وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِۦ مَدَدًۭا ١٠٩

“Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”

Waktu cuti sekolah adalah masa terbaik untuk ibu bapa menjalankan tugas mendidik anak-anak sendiri. Inilah peluang terbaik untuk ibu bapa mendidik anak-anak terutama tentang perkara asas dalam Islam. Lihatlah cara anak-anak berwudhuk, menunaikan solat, dan semaklah bacaan al-Quran mereka.

Peluang untuk membaca al-Quran bersama anak-anak boleh dilakukan ketika cuti sekolah. Mulakanlah dengan membaca ayat-ayat lazim serta membaca terjemahannya untuk dihayati bersama ahli keluarga. Jika perkara ini boleh dijadikan amalan harian, in sha Allah, rumah kita akan terus disinari cahaya keberkatan al-Quran.

Seorang sahabat Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bernama Abu Hurairah Rodhiallahu ‘Anhu berpesan sepertimana dinukilkan dalam Musannaf Ibni Abi Syaibah yang maksudnya :

”Rumah yang dibaca di dalamnya al-Quran, akan diberikan kelapangan (keluasan jiwa) buat ahlinya, bertambah kebaikannya dan dihadiri oleh para malaikat”

Masa cuti sekolah juga perlu digunakan untuk mendekatkan anak-anak dan ahli keluarga dengan masjid. Bawalah anak-anak ke masjid terutama untuk solat berjemaah supaya hati mereka akan sentiasa berpaut dengan rumah Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Masjid juga boleh merancang pengisian yang bermanfaat untuk anak-anak. Ceramah agama perlu dikaitkan dengan hal ehwal anak-anak seperti pengkisahan hidup Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, hubungan Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dengan anak-anak kecil , supaya mereka berasa ingin datang ke masjid.

Dekatkanlah diri anak-anak dengan masjid supaya mereka membesar dalam keadaan jiwa yang suka melakukan ibadah. Sesungguhnya salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala di akhirat nanti ialah :

“Pemuda yang hidupnya taat beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Anak-anak juga boleh dilibatkan dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat ketika mereka sedang bercuti sekolah. Aktiviti seperti Kem Pemantapan Solat, Kem Tahfiz Qur’an, Musabaqah Tilawah Qur’an, Pertandingan Azan dan Doa, nasyid dan qasidah, bersukan dan sebagainya wajar disertai oleh anak-anak. Antara contoh seperti Program Smart Tahfiz 8.0 anjuran Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Mustafa yang akan diadakan pada 19-30 Januari ini di Masjid Mukim Wakaf Bharu dan Masjid An-Nur Kota Kubang Labu.

Mereka perlu dilibatkan dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menguatkan rohani agar lahir nanti golongan remaja Muslim yang soleh. Jika masa mereka diisi dengan perkara berfaedah, maka kuranglah mereka memegang telefon atau gajet yang melalaikan fikiran serta menghabiskan masa.

Maka peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan anak-anak tidak mengidap ketagihan gajet dan media sosial ketika usia mereka yang masih muda. Mereka perlu sentiasa dinasihati agar tidak leka dengan bermain telefon atau mengadap komputer lebih-lebih lagi apabila masuknya waktu solat.

Anak-anak merupakan amanah Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada kita sebagai ibu bapa. Masa membesar mereka perlu dipenuhi dengan tarbiah Islamiah agar diri terhindar daripada anasir-anasir jahat yang boleh merosakkan pemikiran dan akhlak mereka. Ingatkanlah kepada anak-anak bahawa setiap perbuatan mereka sentiasa dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Justeru, anak-anak perlu sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik dan sentiasa dibimbing untuk melakukan kebaikan. Mudah-mudahan masa cuti sekolah mereka dapat diisi dengan perkara bermanfaat, dan akhirnya nanti mereka menjadi anak-anak yang berjaya di dunia dan akhirat.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Manfaatkan Cuti Sekolah Dengan Perkara Berfaedah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more