
Solat Menjamin Ketenangan Hidup
24 Jan 2025
Rahsia Ibadah Dalam Islam
23 Feb 2025

Vape Memudaratkan Kesihatan Dan Kesejahteraan Hidup | Akhir-akhir ini, gejala hisap vape menjadi satu trend dan telah merebak dengan begitu cepat. Sama ada golongan dewasa, pelajar hatta kanak-kanak telah mula mengenali dan menghisap vape sebagai alternatif kepada rokok. Hal ini terjadi kononnya atas sebab menjauhi amalan merokok dan gejala hisap dadah. Apa yang membimbangkan, kesan vape bukanlah sedikit, malah boleh membawa kepada masalah kesihatan, kecelaruan mental, gangguan emosi dan juga fikiran.
Apa itu vape?
Vape adalah alat yang digunakan untuk merokok secara elektronik, juga dikenali sebagai rokok elektronik atau e-cigarette. Alat ini berfungsi dengan memanaskan cecair di dalamnya lalu menghasilkan wap yang dihirup pengguna. Cecair ini biasanya mengandungi nikotin, perisa (flavor) dan bahan-bahan berbahaya.
Vape mengandungi pelbagai perisa antaranya perisa buahan, gula-gula dan juga bahan-bahan seperti mushroom atau cendawan halusinogenik. Cendawan ini mengandungi bahan kimia yang mempengaruhi otak, menyebabkan halusinasi atau khayalan dan menghilangkan kewarasan akal penggunanya. Keadaan inilah akhirnya membawa emosi tidak stabil dan tindakan luar kawalan lalu memudaratkan diri, ahli keluarga dan masyarakat umum.
Bahaya dan pengaruh penggunaan vape ini telah terbukti wujud apabila terdapat kes-kes berlaku di beberapa negeri. Terdapat satu kes di mana enam pelajar sekolah menengah didapati muntah selepas berkongsi menggunakan vape. Seorang lagi pelajar dilihat dalam keadaan khayal dengan mata merah dan tidak dapat berdiri atau berjalan dengan betul. Hal ini turut dikaitkan dengan penggunaan vape perisa cendawan yang dicampurkan dan dijual kepada pelajar-pelajar sekolah.
Kes lain pula melibatkan penemuan bahan kimia dalam cecair perisa yang mana kandungannya hampir 75% boleh menyebabkan gangguan pernafasan serius yang mampu membinasakan tubuh serta otak. Malangnya perisa ini kerap digunakan para remaja sebagai perisa vape mereka. Lebih membimbangkan, pengguna tidak mengetahui apakah kandungan dalam perisa vape mereka, siapa pembuatnya, status halalnya, apakah pula bahan yang dicampurkan di dalamnya sama ada bahan berbahaya seperti dadah, syabu atau sebagainya.
Selain bahaya cecair vape, turut terdapat kes pelajar yang menerima jahitan di bibir kerana alat vape digunakan meletup sewaktu disedut. Kesemua kes ini menunjukkan bahawa gejala vape ini sangat membahayakan kesihatan serta memudaratkan. Lantaran itulah, Majlis Fatwa Kebangsaan bersama KKM pada 21 Disember 2015 telah memutuskan bahawa penggunaan vape adalah haram. Pengharaman ini bersandarkan beberapa dasar hukum dalam kaedah fiqh iaitu membahayakan kesihatan, membazir dan tidak terbukti berupaya membantu rawatan penagihan rokok dan sebagainya. Pengharaman ini turut bertepatan dengan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah, ayat 195 :
وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ ١٩٥
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”
Manakala hadis Nabi SAW pula menyebut yang bermaksud :
“Tiada kemudaratan (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudaratan (tanpa hak)”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Hadis ini juga menunjukkan pengharaman melakukan kemudaratan secara umum sehingga nas hadis ini dijadikan salah satu kaedah fiqh.
Dalam isu vape ini, walaupun terdapat sebahagian masyarakat yang berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok tegar agar berhenti daripada merokok. Lalu rokok elektronik digunakan sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Namun perlu diingat, anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana terdapat bahan dalam cerair vape turut boleh menyebabkan ketagihan dan mudarat kepada kesihatan manusia.
Penggunaan vape, terutamanya yang mengandungi bahan-bahan psikoaktif seperti cendawan halusinogenik, boleh mendatangkan kesan buruk yang serius kepada pelajar, baik dari segi kesihatan mental, fizikal dan juga prestasi akademik. Pengambilan bahan ini boleh menyebabkan ketagihan, kerosakan otak dan risiko kesihatan yang lebih luas, serta menjejaskan kehidupan sosial dan masa depan pelajar, bahkan masyarakat seluruhnya.
Oleh itu, marilah kita meninggalkan penggunaan rokok elektronik, vape atau apa jua bahan yang memudaratkan. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau cecair vape, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka.
Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin ya Rabbal Alamin.