Mengingati Kemenangan Badar Kubra : Pena Hijau

Mengingati Kemenangan Badar Kubra

20240328 nuzul quran
Menghayati Peristiwa Nuzul Al-Quran
13 Mar 2025
20240322 ramadhan puasa
Muhasabah Akhir Ramadhan
27 Mar 2025
20240328 nuzul quran
Menghayati Peristiwa Nuzul Al-Quran
13 Mar 2025
20240322 ramadhan puasa
Muhasabah Akhir Ramadhan
27 Mar 2025
20250320 peperangan badar al kubra
icon follow us

Mengingati Kemenangan Badar Kubra | Setiap kali kedatangan bulan Ramadhan, akan mengingatkan kita kepada suatu peristiwa besar yang berlaku pada bulan ini, yang  menghendaki kita sama-sama merenungi dan mengambil pengajaran daripadanya. Peristiwa besar itu ialah peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah. Peristiwa di mana Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersama para Sahabat telah bertempur dengan pasukan musyrikin Mekah di bawah teriknya sinar matahari di suatu tempat yang bernama Badar iaitu lebih kurang 150 km daripada kota Madinah.

Peristiwa Badar al Kubra ini sebenarnya menjadi mercu tanda kehebatan kalimah tauhid di mata dunia dan merupakan titik tolak atau  penentu kepada perjuangan Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dalam menyebarkan risalah Islam. Pertarungan Badar al Kubra berlaku dalam suasana yang sangat sengit dan mendebarkan, sehingga Baginda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bermunajat merintih kepada Allah dengan mengangkat kedua-dua tangan Baginda yang mulia dengan kata-kata :

“Ya Allah, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepada ku. Ya Allah, kurniakanlah apa yang telah Engkau janjikan kepada ku . Ya
Allah, jika Engkau binasakan pasukan ini, nescaya tiada lagi manusia yang akan menyembahMu di bumi ini”

Bersempena bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita mengimbau peristiwa sirah ini lantaran banyaknya pengajaran yang boleh diteladani sekiranya kita menelitinya dengan sinar iman dan mata hati.

Peristiwa yang bersejarah ini bermula setelah Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam mendengar berita bahawa satu rombongan perniagaan Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufian bin Harb sedang dalam perjalanan pulang dari Syam menuju ke Mekah. Peluang itu diambil oleh Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersama-sama 313 orang Sahabat keluar ke Badar bagi mengambil barangan perniagaan tersebut sebagai gantian harta orang Islam yang dirampas oleh musyrikin Mekah setelah umat Islam berhijrah ke Madinah.

Ekoran daripada itu, Abu Sufian telah menghantar utusan ke Mekah untuk meminta bantuan dan pertolongan. Walaupun rombongan Abu Sufian telah terselamat dari sekatan Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, namun Abu Jahal yang memimpin hampir seribu bala tentera lengkap bersenjata terus bergerak dari Mekah ke Badar dengan hati yang penuh dendam untuk menghancurkan umat Islam.

Keangkuhan mereka ini digambarkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam al Quran, Surah Al Anfal ayat 47 :

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ خَرَجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِم بَطَرًۭا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌۭ ٤٧

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji) serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka kerjakan”

Untuk menghadapi saat yang getir ini, Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam segera mengadakan mesyuarat dan meminta pandangan para Sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Sejarah Badar mencatatkan bagaimana Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam pada awalnya memilih kawasan mata air yang paling dekat sebagai kawasan kubu tentera Islam, lalu seorang Sahabat yang bernama al-Hubab bin al-Munzir RA melontarkan pandangannya,

“Wahai Rasulullah, adakah tempat ini telah ditetapkan oleh Allah atau ianya satu pandangan dan strategi dalam peperangan?”

Lalu jawab Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam,

“Bahkan ianya adalah pandangan dan strategi dalam peperangan”

Lalu tegas al-Hubab lagi,

“Wahai Rasulullah, ini bukanlah tempat yang sesuai, bawalah tentera-tentera Islam mara hingga sampai ke kawasan mata air yang paling hampir dengan kaum Quraisy lalu kita singgah di situ dan kita musnahkan telaga-telaga yang ada di belakangnya. Kemudian kita bina satu kolam yang kita penuhkan dengan air. Nanti kita akan memerangi mereka dalam keadaan kita dapat minum dan mereka tidak dapat minum”

Lalu jawab Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam,

“Wahai Hubab sesungguhnya kamu telah memberi pandangan yang baik”

Para Sahabat semuanya telah memberi ikrar taat setia sehidup semati tetap berdiri teguh bersama Rasululah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dalam menghadapi tentera pimpinan Abu Jahal tersebut. Inilah kehendak Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dan para Sahabatnya.

Pada pagi Jumaat 17 Ramadhan, dalam keadaan Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dan para Sahabat sedang letih serta penat, dalam keadaan tiada kelengkapan
peralatan perang, serta serba kekurangan, Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam telah menyusun dan mengatur barisan tentera Islam dengan susunan yang kemas dan rapi.

Setelah itu, berlakulah pertempuran sengit. Tentera Islam mengambil tindakan bertahan. Sementara Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam terus-menerus  bermunajat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sehinggalah Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengabulkan doa Baginda, dengan menghantar tentera malaikat yang turun berduyun-duyun membantu tentera Islam. Hal ini telah diabadikan melalui firman Allah dalam Surah alAnfal, ayat 9 :

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَٱسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّى مُمِدُّكُم بِأَلْفٍۢ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُرْدِفِينَ ٩

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya) : Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut”

Peperangan Badar berakhir dengan terbunuhnya Abu Jahal dan sekaligus memberi kemenangan yang nyata kepada tentera Islam. Peperangan Badar menyaksikan pasukan musyrikin mengalami kekalahan yang amat memalukan. Seramai 70 orang pembesar musyrikin telah terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Sementara itu hanya 14 orang tentera Islam telah gugur syahid.

Semoga semangat dan roh kemenangan Badar al-Kubra yang berlaku dalam bulan Ramadhan akan dapat memberi semangat kepada kita untuk lebih menghayati dan mendokong syariat Islam dengan sepenuhnya. Dengan ini sahajalah, agama Islam akan terbela, syariatnya akan tertegak dan rahmatnya akan dapat dinikmati dalam negara kita oleh semua lapisan masyarakat, InsyaAllah.

Berdasarkan peristiwa peperangan Badar ini, marilah sama-sama kita merenungi beberapa pengajaran sebagai bekalan dan panduan dalam
kehidupan harian kita :

  1. Kitta hendaklah sentiasa bersikap terbuka dan menerima pandangan orang lain dalam membuat sesuatu keputusan.
  2. Umat Islam hendaklah sentiasa berusaha dan bertawakkal kepada Allah dalam menghadapi sebarang ancaman terhadap Islam di sepanjang zaman.
  3. Sesuatu kebenaran itu akan tertegak dengan perancangan yang rapi lagi tersusun, sebagaimana kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah : “Kebenaran tanpa perancangan yang rapi akan kalah kepada kebatilan yang tersusun rapi“.
  4. Kita mestilah yakin bahawa sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala Maha Berkuasa memberi pertolongan dan kemenangan kepada perjuangan Islam sekalipun jumlah pendokongnya kecil dan kekuatannya terhad.
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Mengingati Kemenangan Badar Kubra
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more