Muhasabah Akhir Ramadhan : Pena Hijau

Muhasabah Akhir Ramadhan

20250320 peperangan badar al kubra
Mengingati Kemenangan Badar Kubra
20 Mar 2025
20230908 taubat istiqamah solat
Berlalunya Ramadhan Bukan Pengakhiran Ibadah
3 Apr 2025
20250320 peperangan badar al kubra
Mengingati Kemenangan Badar Kubra
20 Mar 2025
20230908 taubat istiqamah solat
Berlalunya Ramadhan Bukan Pengakhiran Ibadah
3 Apr 2025
20240322 ramadhan puasa
icon follow us

Muhasabah Akhir Ramadhan | Cepat sungguh masa berjalan. Sehari ke sehari, seminggu ke seminggu. Dan malam ini, kita telah berada pada hari ke 27 Ramadhan, minggu terakhir bulan Ramadhan tahun 1446 Hijrah. Persoalannya sekarang, bagaimanakah penghayatan Ramadhan kita pada tahun ini? Apakah yang telah dirancang sepanjang Ramadhan ini telah dilaksanakan? Bagaimana amal ibadat kita? Bagaimana puasa, solat terawih, qiamullail, tilawah dan tadarus al-Quran, sedekah dan iktikaf. Sudahkah kita lakukan dengan sebaiknya?

Andainya kita telah laksanakan dengan sempurna, maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan kasih-sayangNya, dikurniakan kepada kita nikmat beribadat. Nikmat yang tidak ternilai harganya. Kerana dengan rahmat dan kemurahanNya jua, kita diberikan kekuatan menunaikan ibadat puasa dengan sempurna dan dapat pula menghidupkan malam Ramadhan dengan amal ibadat secara berterusan.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman di dalam Surah Ibrahim ayat 7 :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ ٧

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu : ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras'”

Namun begitu, dalam usaha kita berbuat kebaikan dan ibadat di bulan yang mulia ini, jangan sekali-kali kita merasa hebat dengan diri  sendiri. Jangan sekali-kali ada perasaan sombong, riya’, sum’ah dan ujub, kerana itu semua adalah antara perangkap syaitan yang boleh merosakkan pahala ibadat kita.

Secara zahirnya, memang kaki kita yang melangkah ke masjid surau. Memang tubuh badan kita yang mengerjakan sembahyang fardhu berjamaah dan menunaikan solat terawih setiap malam, di samping berpuasa sepanjang hari. Namun, jangan melihat semua usaha itu  semata-mata atas kemampuan diri kita. Hakikatnya semuanya itu adalah daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ

Tiada daya dan upaya kita, melainkan daripada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung

Sekiranya kita dapati amal soleh dan ibadah yang sepatut dilakukan sepanjang Ramadhan ini masih kurang, inilah saatnya untuk kita perbaiki dan membuat pecutan akhir. Berdoalah kita dengan sesungguh hati, semoga Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang mengampuni kealpaan dan kelalaian kita serta menyempurnakan kekurangan amal ibadah kita.

Berdoalah semoga Allah memanjangkan umur kita dalam iman dan islam. Berdoa jugalah ke hadhrat Allah semoga kita diberi rezeki menemui malam Lailatul Qadar dan dapat pula beribadat padanya.

Di samping berdoa, kita hendaklah :

Pertama : Kuatkan azam dan semangat untuk betul- betul merebut tawaran rahmat, keampunan dan kebebasan daripada api neraka seperti yang dijanjikan oleh Baginda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam di saat-saat akhir bulan Ramadhan ini.

Kedua : Mari kita meningkatkan amal ibadat, terutama qiyam Ramadhan di malam-malam hari.

Ummul Mukminin Aisyah Rodhiallahu ‘Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam begitu bersungguh- sungguh beribadat pada malam Ramadhan berbanding malam- malam yang lain, terutamanya pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan.

(Hadits riwayat Imam Muslim : No. 1175)

Ketiga : Banyakkanlah berzikir dan beristighfar ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Teruskan membaca al-Quran dan tidak berhenti sekadar bertadarus di bulan Ramadhan.

Kesimpulannya, di saat-saat terakhir ini hendaklah kita mempertingkatkan amal ibadat kita dan berdoalah agar kita dapat menemui Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan penuh kegembiraan sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Rodhiallahu Anhu :

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَيْنِ إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ اللَّهَ فَرِحَ

“Ada dua kegembiraan yang akan dikecapi oleh orang yang berpuasa. Pertama : Kegembiraannya ketika berbuka puasa dan kedua : Kegembiraannya ketika berhadapan dengan Tuhannya kelak”

(Riwayat al-Bukhari, No. 1904 & Muslim, No. 1151)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Muhasabah Akhir Ramadhan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more