
Ibadah Haji Membentuk Jati Diri Muslim
6 Jun 2025
Teguh Menghadapi Ujian Kehidupan
19 Jun 2025

Peranan Umat Islam Dalam Isu Palestin | Marilah kita mendengar peringatan dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah An-Nisa ayat 75 :
وَمَا لَكُمْ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا مِنْ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهْلُهَا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّۭا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥
“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Mekah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami dari (ancaman musuh)”
Ayat ini merujuk kepada peringatan penting daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada umat Islam berkenaan kewajipan mereka untuk membela saudara Islam yang ditindas oleh golongan kuffar.
Pada hari ini, seluruh dunia menyaksikan bagaimana serangan kejam yang dilakukan oleh negara haram Israel terhadap penduduk Palestin. Mereka telah mendirikan negara haram, melakukan kezaliman dan kekejaman. Merekalah juga yang mencetus dan mendokong ideologi seperti kapitalisme, komunisme dan sosialisme. Mereka juga melahirkan fahaman ateis yang tidak percaya kepada Tuhan, serta golongan hedonis yang tidak mengenal halal dan haram. Mereka menjadikan manusia seperti binatang. Walau bagaimanapun, Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjamin akan ada sekumpulan umat Islam yang teguh mempertahankan Palestin. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
لا تزالُ طائفةٌ من أمتي ظاهرينَ على الحقِّ، لعدوِّهم قاهرينَ، لا يضرُّهم من خالفهم، إلا ما أصابهم من لأواءَ، حتى يأتيَهم أمرُ اللهِ وهم كذلك
قيل: يا رسولَ اللهِ، وأين هم؟
قال: ببيتِ المقدسِ، وأكنافِ بيتِ المقدسِ“Akan sentiasa ada satu golongan dari umatku yang bangkit menegakkan kebenaran, mengalahkan musuh mereka. Mereka tidak akan dimudaratkan oleh orang yang menentang mereka, kecuali sedikit kesusahan yang menimpa mereka, sehinggalah datangnya urusan Allah sedangkan mereka tetap dalam keadaan itu.” Para sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, di manakah mereka itu?” Rasulullah menjawab : “Di Baitul Maqdis dan kawasan-kawasan sekitarnya.”
(Riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad, Hadis no. 22320)
Pada zaman kegemilangan Islam, ketika umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam, tidak diizinkan walaupun seorang Muslim dihina. Peristiwa yang berlaku pada zaman Khalifah Al-Mu’tasim di bawah pemerintahan Abbasiyah menjadi bukti. Ketika seorang wanita Muslimah berniaga di pasar di sebuah negara bukan Islam, pakaiannya tiba-tiba tersingkap, lalu dia diejek oleh orang-orang bukan Islam. Dengan penuh rasa malu dan marah, dia pun menjerit : “Wahai Mu’tasim, tolonglah aku!”
Seorang pemuda Islam yang menyaksikan peristiwa itu segera pergi ke Baghdad untuk menghadap Khalifah Al-Mu’tasim dan melaporkan bagaimana seorang wanita Muslimah telah dihina di pasar serta menyeru khalifah untuk membantunya.
Lalu, Khalifah Al-Mu’tasim bangun dari tempat duduknya dan berkata : “Ya, wahai ibu!”
Lalu, baginda menggerakkan tenteranya untuk menghukum sebuah negeri yang telah menghina seorang wanita Muslimah itu.
Apakah peranan yang boleh kita lakukan untuk membantu saudara kita di Palestin?
Kita sebagai umat Islam haruslah berperanan dalam membantu saudara kita di Palestin dan golongan muslim yang tertindas antaranya :
- Sentiasa mengambil peduli perkembangan saudara kita di Palestin dan lain-lain.
- Menyebarkan kesedaran tentang kemuliaan Baitul Maqdis dan kewajipan membebaskannya dari cengkaman Zionis Israel.
- Menghulurkan sokongan moral dan bantuan material kepada saudara kita di sana melalui saluran yang dipercayai.
- Terus memberi tekanan ekonomi dan politik ke atas negara haram Israel dan sekutu mereka.
- Sentiasa menitipkan doa dan solat hajat agar Allah Subhanahu Wa Ta’ala menganugerahkan kemenangan kepada saudara kita di sana.
Semua peranan ini hanya akan dapat dilaksanakan sekiranya kita memperteguhkan iltizam terhadap segala tuntutan agama Islam dalam kehidupan. Hanya dengan Islam sahajalah kita dapat mengecapi kejayaan dan kegemilangan hakiki di dunia dan di akhirat.